Categories
AGENSI SELANGOR

Kluster Teratai: KKM kesan 150 kes Covid-19 dalam komuniti, babit dua generasi

SHAH ALAM, 2 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 150 kes Covid-19 yang dikenal pasti sebagai jangkitan dalam komuniti berpunca daripada Kluster Teratai.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini KKM menjalankan 6,609 saringan untuk Kluster Teratai dan daripada jumlah itu sebanyak 5,083 dikesan positif.

Katanya penularan itu berlaku berikutan terdapat 164 pekerja warga tempatan dalam kluster berkenaan yang tidak tinggal di asrama seperti pekerja warga asing.

“Kesemua pekerja berkenaan pulang ke rumah masing-masing sekali gus menjangkiti ahli keluarga mereka.

“Siasatan dibuat menemui jangkitan terbabit menyebabkan dua generasi dijangkiti sekali gus menyebabkan lebih kurang 150 kes membabitkan warganegara,” kata ketua pengarah kesihatan dalam sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang membuat saringan di peringkat komuniti di Meru, Klang bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kita berharap dapat membendung penularan jangkitan dalam komuniti. Setakat ini, hanya komuniti terlibat di Selangor dan Kuala Lumpur kerana pekerja tempatan pulang ke rumah di kawasan itu dan jangkitan bermula dalam keluarga serta komuniti,” katanya.

Kluster Teratai dikesan pada 7 November lalu membabitkan pekerja kilang Top Glove di Jalan Teratai, Meru, Klang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan Saringan Komuniti Bersasar diketahui seawal 8 malam ini

KLANG, 2 DIS: Penduduk Meru yang menjalani Saringan Covid-19 Bersasar secara percuma boleh menyemak keputusan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seawal jam 8 malam ini.

Pengurus Besar Klinik Selcare Mahdzir Ibrahim berkata keputusan dipapar lebih awal berikutan penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) semasa proses saringan.

“Enam makmal mudah alih disediakan di lokasi saringan untuk melakukan ujian sampel dan keputusan boleh diperoleh dalam tempoh 20 hingga 30 minit sahaja.

“Bagaimanapun, kita minta semua penduduk segera beredar selepas menjalani saringan bagi mengelak kebolehjangkitan Covid-19 sekiranya ada individu disahkan positif,” katanya ketika meninjau program itu di pekarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 hari ini.

Terdahulu, seramai 430 penduduk dari Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai menjalani saringan bermula 9 pagi hingga 2 petang yang dikendalikan 35 petugas kesihatan Selcare serta Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Mahdzir menambah operasi kali ini berbeza kerana menggunakan aplikasi milik Kerajaan Negeri yang mana penduduk dikehendaki membuka akaun SELangkah dan mendaftarkan diri sebelum saringan.

“Penggunaan SELangkah akan berterusan selepas ini supaya keputusan makmal boleh diperoleh secara dalam talian dengan lebih mudah oleh pemegang akaun,” katanya.

Orang ramai boleh mengakses https://screening.selangkah.my/login dengan memasukkan nama pengguna dan kata laluan yang didaftarkan.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Saringan Komuniti Bersasar dijalankan susulan kenaikan mendadak kes positif Covid-19 di Selangor melalui kluster Teratai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Situasi Covid-19 di Selangor terkawal, kes tinggi di kawasan PKPD

SHAH ALAM, 2 DIS: Situasi Covid-19 di Selangor masih terkawal meskipun jumlah kes harian mencatatkan peningkatan, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari peningkatan berkenaan kebanyakan berlaku dalam kawasan yang sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa keadaan masih terkawal kerana kes-kes terbaharu didapati di kawasan PKPD dan kita percaya pelaksanaan PKPD itu dapat mengurangkan risiko penularan wabak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Selangor merekodkan 891 kes baharu Covid-19, namun 795 kes berpunca daripada kluster-kluster sedia ada dengan 778 adalah daripada kluster Teratai membabitkan pekerja kilang Top Glove yang kini sedang menjalani PKPD.

Pada 25 November lalu, Amirudin juga memaklumkan Selangor bercadang melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti yang didapati merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Kerajaan Negeri juga bersedia untuk membiayai sebahagian kos operasi (pelaksanaan PKPD) sekiranya ia dilaksanakan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham lawat kawasan PKPD asrama Top Glove

SHAH ALAM, 28 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan lawatan kerja hari ini ke asrama Top Glove di Klang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pengurusan PKPD membabitkan asrama lelaki dan wanita kilang itu yang terletak di Jalan Teratai.

“Saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terlibat dan mendengar isu berbangkit agar operasi PKPD ini berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata pengurusan kesihatan di lokasi itu diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Klinik Kesihatan Meru, selain anggota kesihatan dari daerah luar serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan Covid-19, kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan home surveillance order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data,” katanya.

Rabu lalu, tujuh daripada 28 kilang Top Glove diarah tutup sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Setakat 24 November, seramai 4,036 orang disahkan positif wabak bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes harian turun, MB minta masyarakat terus patuh SOP

SHAH ALAM, 25 NOV: Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang awam terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) meskipun kes baharu Covid-19 negeri ini membabitkan Kluster Teratai menurun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bilangan kes hari ini melengkapkan keputusan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Top Glove, Klang yang berpunca dari kluster terbabit.

“Namun jaringan Kluster Teratai masih berpotensi menjangkiti kerana terdapat kes luar kawasan PKPD berkaitan kluster ini. Justeru kepatuhan SOP harus jadi keutamaan,” katanya di Twitter malam ini.

Hari ini, kes harian di Selangor turun mendadak kepada tiga angka apabila 115 kes dilaporkan berbanding 1,623 kes semalam menjadikan keseluruhan 12,693 kes.

Setakat semalam, sebanyak 5,795 ujian saringan di kawasan berkenaan dilakukan dengan 2,684 kes disahkan positif.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Teratai babit 2,524 kes positif, majoriti pekerja Top Glove

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 2,524 kes positif direkodkan dari kluster Teratai yang kebanyakannya dikesan dalam kalangan pekerja kilang Top Glove di Meru, Selangor.

Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah itu melibatkan 164 warganegara serta 2,360 warga asing, berusia antara dua hingga 68 tahun.

“Keseluruhan 5,767 individu disaring, 1,330 negatif manakala 1,913 masih menunggu keputusan.

“Kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat dikuarantin untuk mengelak jangkitan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kematian direkodkan dari kluster ini selain tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, kluster Teratai yang turut membabitkan jangkitan di Kuala Lumpur diisytiharkan pada 7 November dan bermula 17 November kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kilang Top Glove, Klang serta kawasan perumahan berhampiran.

Dr Noor Hisham berkata PKPD itu melibatkan kira-kira 5,900 penduduk serta 13,000 pekerja kilang berdasarkan maklumat pengurusan kilang.