Categories
SELANGOR

Kejohanan Cub Prix AAM tampil aksi sengit pelumba

Oleh: HAFIZAN TAIB

SERDANG, 12 MAC: Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini kembali menjadi tumpuan apabila Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas pusingan pertama bermula hari ini dan esok.

Ia menjanjikan saingan sengit di kalangan pelumba yang menjadikan acara pembuka tirai sebagai medan membuktikan kemampuan bersama jentera masing-masing dalam kedudukan pungutan mata sebelum meneruskan saingan dalam pusingan seterusnya.

cuprix selangor 2Litar di Selangor ini terpilih sekali lagi ekoran kejayaan penganjuran dan sambutan hangat diterima tahun lalu disamping komitmen Kerajaan Negeri bagi melahirkan pelumba muda serta memajukan sukan permotoran yang menarik minat golongan muda dan belia di negara ini.

Kejuaran musim ini terus mengekalkan enam kelas perlumbaan iaitu perlumbaan terbuka CP130, CP115, Wira dan Pro-Am selain perlumbaan kategori pengeluar, Honda dan Yamaha.

Sesi ujian masa bagi setiap kategori dilangsungkan hari ini bagi menentukan kedudukan pelumba bagi perlumbaan peringkat akhir esok.

Antara pelumba menjadi tumpuan musim ini ialah juara bertahan CP130, Ahmad Fazrul Sham dari pasukan Yamahalube AHM, Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing), Mohamad Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Panag), Muhammad Fitri Ashraf Razali (Petronas Yamah-CKJ) dan beberapa pelumba lain.

pelumba selangor cuprix 1Ternyata siri perlumbaan ini berjaya menarik tumpuan umum khususnya anak muda yang hadir memenuhi kawasan litar dan dijangka bertambah apabila acara akhir diadakan esok.

Selain perlumbaan, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan untuk tarikan pengunjung seperti pameran dan jualan barangan berkaitan motosikal serta aktiviti jualan “Karnival Harga Patut” yang menyediakan jualan barangan harian.

Tidak ketinggalan ruangan “Kids Zone” yang menampilkan pelbagai watak animasi popular seperti Chichi Chacha, Duniai Eicak dan Awang Kenit.

Selepas Selangor, siri perlumbaan 10 pusingan ini diteruskan di Pulau Pinang, Perlis dan Kelantan untuk separuh musim pertama sebelum berhenti rehat menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.

Ia bersambung pada Julai dengan Perak mengambil giliran diikuti, Terengganu, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan kembali ke Perak pada November untuk aksi penamat musim.

EZY

Categories
SELANGOR

Cub Prix: Format kelayakan kategori Wira ditukar, lebih mencabar

SHAH ALAM 9 MAC: Pelumba kategori Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berhadapan cabaran baru apabila kedudukan grid perlumbaan akhir menggunakan sistem kelayakan ‘Shoot-Out’ bermula pusingan pertama.

Pengarah Safe AIM Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg, berkata sebelum ini kedudukan grid perlumbaan akhir kategori Wira menggunakan sesi kedudukan pelumba dalam sesi saringan.

Namun bagi menjadikan saingan lebih kompetitif, pelumba Wira bakal menjalani sesi kelayakan Shoot Out seperti digunakan bagi kategori CP115.

Cub PrixKatanya, pengenalan sesi Shoot Out dalam kategori khusus kepada pelumba berusia 13 hingga 17 tahun ini menyaksikan lima pelumba terbaik dari setiap kumpulan dalam sesi ujian masa akan layak ke sesi Shoot Out bagi menentukan kedudukan petak mula perlumbaan akhir.

“Perlumbaan Wira merupakan kelas awal untuk pelumba muda beraksi dalam kejuaraan ini. Disebabkan mereka kurang berpengalaman, jadi kami perlu memberikan lebih banyak sesi saringan untuk mereka menghadapi sebarang tekanan sewaktu berlumba.

“Bagaimanapun, kejayaan siri satu pengeluar dikendalikan pengeluar jentera merubah situasi perlumbaan. Pelumba Wira kebanyakannya datang daripada kelas satu pengeluar dan mempunyai pengalaman berlumba.

“Jadi sesi saringan diguna pakai sebelum ini tidak lagi sesuai. Dengan memperkenalkan sesi Shoot Out ini, pelumba cuba mendapatkan aksi terbaik setiap kali mereka berada di litar,” katanya.

Perlumbaan itu bakal diadakan di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini.

Peminat sukan permotoran boleh menyaksikan perlumbaan secara percuma di Litar Maeps yang menyajikan cabaran berbeza dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix.

Litar sepanjang 1.110km ini mempunyai laluan lurus panjang dan berbukit serta beberapa selekoh sempit dan mencabar.

“Pelumba baru semakin bertambah setiap tahun. Momentum sukan permotoran berterusan meskipun terdapat pelbagai halangan dan cabaran,” kata Ron.

Parkir dan masuk adalah percuma kepada pengunjung Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor negeri pertama perkenal barisan pelumba Cub Prix

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 4 MAC: Selangor dijangka memberi saingan sengit pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim 2016 dengan membariskan lebih 10 pelumba yang merupakan anak jati negeri itu menerusi lapan pasukan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus, berkata program yang julung-julung kali diadakan itu adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri melahirkan jaguh sukan negara dalam pelbagai bidang termasuk dalam arena sukan pemotoran.

“Belum ada Kerajaan Negeri lain ambil langkah seperti ini dengan mengadakan program memperkenalkan pelumba dan pasukan yang menyertai Cub Prix.

20160304_160439“Melalui program seperti ini, kita dapat mencungkil ramai bakat baru dalam sukan lumba motor dan sekaligus mampu membendung anak muda terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram dan sebagainya,” kata Mohd Zubir.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim 2016, Pusingan Pertama dan memperkenalkan pasukan serta pelumba dari Selangor di Metro Point, Kajang di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan berusaha menyemarakkan sukan pemotoran di negeri itu dengan mengadakan program memperkenalkan pelumba Selangor bagi musim 2016.

Katanya lagi, pusingan pertama kejohanan bakal dilangsungkan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 12 – 13 Mac 2016 dan diikuti sembilan pusingan lain yang diadakan di seluruh negara.

Antara pasukan dan barisan pelumba Selangor yang hadir, Abd Muhaimin Roslan (Klang) dari pasukan Petronas Maju Motor, Mohamad Azhar Abdul Jalil (Klang), Muhammad Adib Rosley dan Mohamad Izzat Zaidi Salehan mewakili Motor Zeneos Yamaha YY Pang Racing.

Muhammad Zaqhwan Zaidi yang berasal dari Semenyih dan Sasitharen Sukumaran (Puchong) kedua-duanya dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing dan Norizman Ismail (Banting) dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dan lain-lain turut hadir dalam majlis sama.

EZY