Categories
NASIONAL

Cub Prix: Nazirul Izzat belajar timba pengalaman senior

SHAH ALAM 29 APR: Hasil tunjuk ajar pelumba senior, rookie CP130, Nazirul Izzat Mohd Bahauddin berharap dapat meraih keputusan lebih baik menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, minggu ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Racing itu percaya prestasinya mampu berkembang dengan baik hasil didikan pengurus, Soong Chee Kieong dan rakan sepasukan, Norizman Ismail, Elly Idzlianizar Ilias dan Hafiz Nor Azman.

Nazirul Izzat (93, Belakang, timba pengalaman dari pelumba senior“Ini musim pertama saya bersama pasukan ini dan juga musim pertama dalam kelas paling mencabar, CP130. Jadi banyak perlu dipelajari.

“Berada dalam satu pasukan yang mana pelumbanya mempunyai karakter berbeza-beza banyak memberi kelebihan kepada saya untuk belajar menjadi pelumba lebih baik,” kata pelumba berusia 16 tahun itu.

“Contohnya, abang Norizman merupakan pelumba tenang, tetapi pantas dan bijak mengatur strategi. Dia merupakan pelumba berpengalaman dan pernah memegang rekod sebagi pelumba termuda memenangi gelaran keseluruhan kelas perdana ini. Dia cukup berpengalaman.

“Manakala Hafiz pula masih muda dan gaya dia berlumba pula cukup agresif. Dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik setiap kali berada di litar. Jadi banyak yang saya dapat pelajari dari mereka semua. Mereka juga tidak kedekut untuk memberi tunjuk ajar,”

Bercerita lanjut tentang aksi kelas CP130, Nazirul Izzat yang juga adik kepada pelumba wanita, Nasha Edziera Mohd Bahauddin menjelaskan dia sendiri pada mulanya tidak menyangka mewakili pasukan memenangi pelbagai gelaran dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia ini.

“Mereka memerlukan pelumba muda untuk dibangunkan bersama pasukan. Ketika ini mereka mempunyai Hafiz manakala Norizman dan Elly adalah pelumba senior, jadi mungkin sebab itu saya dipilih untuk bersama mereka.

“Namun, pada masa sama saya juga perlu membuktikan yang saya mampu untuk melakukan sesuatu dan meningkatkan prestasi dari satu perlumbaan ke perlumbaan lain,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Cub Prix: Empat pelumba wanita uji kemampuan

SHAH ALAM 29 APR: Penglibatan pelumba wanita di dalam bidang sukan permotoran bukan perkara baru, sebaliknya semakin hari sukan dimonopoli oleh lelaki semakin diterima dan mendapat sambutan dari golongan wanita.

Saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 menyaksikan pertambahan kepada empat pelumba wanita mengambil bahagian berbanding hanya dua pelumba pada musim lepas.

From right, Fifie, Fatimah, Nasha and AinaMereka ialah Siti Norafizah Mohamad, Siti Fatimah Husna Muslim, Nasha Edziera Bahauddin dan Nuraina Halisya Hamirudin, keempat-empatnya beraksi dalam kelas perlumbaan terbuka.

Antara nama sering mencuri tumpuan ialah Siti Norafizah atau lebih dikenali sebagai Fifie.

Mula beraksi dalam kejuaraan Cub Prix pada tahun 2011, pelumba berusia 21 tahun itu berjaya memecah dominasi lelaki sejak mula berkecimpung dalam kategori Wira dan beralih ke kelas Pro-AM sebelum berjaya menarik minat pasukan BHPetro Dash Tabuan Racing untuk beraksi dalam kelas CP115 bermula musim ini.

“Perlumbaan di litar seperti ini selalunya memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai saiz tubuh yang kecil dan ringan,” jelas Fifie yang membuktikan kemampuan dengan meraih enam podium di dalam kelas Pro-Am pada musim lepas.

Nama Nasha juga merupakan antara nama yang sinonim dengan perlumbaan Cub Prix.

Mula berlumba sejak penghujung 2009, Nasha memulakan aksinya di dalam kelas Wira dan kini beraksi di dalam kategori Pro-Am dan turut berjaya meraih dua podium dalam kategori tersebut pada musim lepas.

Dua lagi pelumba, Siti Fatimah Husna Muslim dan Nuraina Halisha Hamirudin mula beraksi pada tahun ini apabila Siti Fatimah membawa cabaran pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ di dalam kategori CP115 dan Nuraina merupakan pelumba bersendirian di dalam kategori Wira.

EZY

Categories
NASIONAL

Cub Prix: Hentikan aksi bahaya, senior beri amaran rookie

SHAH ALAM 26 APR: Menjelang Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Kangar, Perlis, minggu ini, pelumba senior memberi peringatan kepada rookie, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Hafiz Nor Azman agar menghentikan aksi merbahaya mereka sewaktu di litar.

Kedua-dua pelumba muda itu dilihat menunjukkan aksi merbahaya dan kurang semangat kesukanan sejak pusingan pertama kategori CP130 di Selangor.

Ia apabika ketika itu Kasma (PETRONAS Yamaha Maju Motor) yang bermula dari petak pertama seakan sengaja menghalang dan menyebabkan Hafiz (Harian Metro Y-TEQ terjatuh sebaik perlumbaan akhir bermula sewaktu berjaya menjuarai perlumbaan tersebut.

SHZ_1655Aksi serupa dilakukan Hafiz yang bertindak menghalang Kasma sewaktu pelumba dilepaskan pada perlumbaan akhir pusingan kedua di Batu Kawan tempoh hari.

Bimbang dengan kurangnya semangat kesukanan ditunjukkan kedua-duanya, rakan senior di dalam pasukan masing-masing memberi peringatan agar beraksi lebih matang dan mempunyai semangat kesukanan tinggi bagi menghadapi perlumbaan akan datang.

“Mereka seakan bermusuh dan saling berbalas tindakan, dan ini harus dihentikan segera! Ia bukan sahaja membahayakan mereka, malah pelumba lain.

“Di Batu Kawan, saya sendiri juga hampir menjadi mangsa sewaktu pelumba mula bersaing sebaik lampu merah dipadamkan,” jelas rakan sepasukan Kasma yang juga pendahulu keseluruhan CP130, Ahmad Fazli Sham.

SHZ_2990“Kedua-dua mereka ini merupakan antara pelumba muda berbakat, jadi tindakan seperti itu tidak diperlukan untuk mereka memenangi perlumbaan.
“Sebagai pelumba senior, kami faham mereka masih muda dan kurang kesabaran memandangkan kami juga adakalanya berperasaan begitu sewaktu muda dahulu.

“Namun Kasma dan Hafiz perlu belajar beraksi lebih disiplin dan semangat kesukanan tinggi, baru mereka lebih disegani. Saya berharap permulaan begitu agresif dan merbahayakan seperti ini tidak lagi berlaku pada perlumbaan di Kangar dan pusingan akan datang,” katanya.

Sementara itu, pelumba senior Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail berharap sebarang aksi berbahaya kepada pelumba dan melanggar peraturan perlumbaan perlu diambil tindakan tegas.

“Kami harap steward AAM perlu mengambil tindakan lebih tegas bagi mengawal situasi ini. Jika perlu, kedua-duanya perlu dikenakan tindakan jika terbukti aksi seperti ini boleh mendatangkan bahaya kepada pelumba lain.”

Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bakal berlangsung di Kangar, Perlis pada 30 April dan 1 Mei ini. Masuk adalah percuma.

EZY

Categories
SELANGOR

King Of 2T mengaum lagi Mei ini, janjikan kelainan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 APR: Litar Rakyat Kuala Selangor bakal bergema lagi dengan menjanjikan kelainan dalam pusingan kedua King Of 2T pada 28 Mei nanti.

Ketua Sukan Pemotoran Wadacs Resources, Asmawi Askor, berkata antara kelainan pada pusingan kedua berlangsung selama dua hari itu adalah mengembalikan semula kategori One Made Yamaha (2T) dan One Made Suzuki (2T).

Kejohanan Motor 2T di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor (ASRI) (4)“Memang ada kejutan dan sensasi besar pada pusingan kedua King Of 2T nanti. Peminat lumba motor jangan lepaskan peluang ini untuk lihat sendiri apakah kejutannya nanti,” kata Asmawi ketika dihubungi SelangorKini.

Kategori One Made Yamaha 2T dan One Made Suzuki 2T mengingatkan kembali terhadap pelumba cub prix terkenal di era 90an seperti Shahrun Nizam, Wazi Abd Hamid, M. Meganathan dan ramai lagi pada awal kemunculan kejohanan Malaysia Cub Prix.

Pada pusingan pertama King Of 2T pada 10 April lalu, seramai 179 pelumba daripada team persendirian mempamerkan aksi masing-masing pada kejuaraan yang julung-julung kali diadakan.

Selain pelumba Selangor, kejuaraan itu turut menarik minat pelumba dari Johor, Melaka, Perak, Pahang, Perlis, Kedah dan lain-lain.

EZY

Categories
NASIONAL

Pelumba persendirian gembira terima bantuan Kerajaan Negeri

BATU KAWAN 19 APR: Seramai 12 pelumba persendirian kelahiran Pulau Pinang gembira dengan insentif khas diterima sewaktu beraksi di pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, minggu lepas.

Sumbangan berjumlah RM5,000 diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai sumbangan khas dan dibahagi sama rata kepada 12 pelumba persendirian kelahiran negeri itu beraksi dalam perlumbaan kelas terbuka.

NRP_5816Pelumba persendirian membawa maksud kepada mereka mengambil bahagian di dalam siri perlumbaan kebangsaan ini tanpa bantuan pasukan professional ataupun penaja.

“Kami gembira kerana merupakan pelumba awal yang menerima sumbangan seperti ini,” jelas penerima sumbangan yang juga merupakan pemenang tempat kedua kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am, Muiz Al-Atrash Ghani.

“Sumbangan ini merupakan yang pertama dilakukan mana-mana Kerajaan Negeri kepada pelumba persendirian seperti kami dan ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos perlumbaan seperti yuran pendaftaran, pengangkutan dan kos logistik lain.

“Diharap selepas ini lebih banyak negeri menjadi hos kepada kejuaraan ini melakukan apa dilakukan Kerajaan Pulau Pinang. Siapa tahu mungkin satu hari nanti bintang sukan permotoran Malaysia akan lahir dari kalangan mereka yang memulakan karier secara persendirian,” katanya.

Saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan pada 16 dan 17 April lepas berjaya menarik minat 153 penyertaan dalam enam kategori pertandingan. Pusingan 3 bakal berlangsung di Kangar, Perlis pada 30 April dan 1 Mei ini.

EZY

Categories
NASIONAL

Cub Prix AAM: Fazli tawan Batu Kawan kali ketiga

BATU KAWAN 18 APR: Ahmad Fazli Sham mencatat rekod tersendiri apabila muncul pelumba terbanyak memenangi perlumbaan kelas perdana CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setelah meraih kemenangan ketiga di Litar Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor berusia 34 tahun itu menamatkan 18 pusingan perlumbaan di litar sepanjang 1.265km itu dengan masa 16’18.041s, 2.088s dihadapan pencabar terdekat, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 16’20.129s. Md Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) di kedudukan ketiga dengan masa 16’20.196s.

CP130Peringkat awal perlumbaan menyaksikan dua pelumba muda, Hafiz Nor Azman dan Kasma Daniel Kasmayuddin bersaing sengit di hadapan sebelum masalah mekanikal jentera Kasma memaksa juara pusingan pertama itu menarik diri dari perlumbaan seawal pusingan ketiga.

Masalah itu bagaimanapun tidak memberi kelebihan untuk Hafiz menjarakkan diri di hadapan sebaliknya rakan sepasukan Kasma, Ahmad Fazli berjaya merapatkan jurang sebelum memintas pelumba itu pada pusingan kelima dan mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.

“Jentera kami begitu pantas. Jika bukan sebab masalah mekanikal, sudah tentu kami dapat ulang kemenangan satu – dua di pusingan pertama dahulu.

“Meskipun Hafiz bermula dengan agresif, saya yakin dia tidak dapat untuk menjarakkan diri dan hanya menunggu peluang untuk memintas, namun selepas Kasma terpaksa menarik diri dari perlumbaan, saya terpaksa bertindak. Tidak lama selepas itu saya berjaya memintas Hafiz dan mendahului perlumbaan,” jelas Fazli tentang kemenangan ketiganya di Batu Kawan.

CP130-02Tahun 2016 menyaksikan musim ke-15 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berlangsung di Batu Kawan. Dalam tempoh tersebut, hanya empat pelumba berjaya menang lebih dari satu perlumbaan termasuk Fazli, Norizman, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman. Fazli sebelum ini menang perlumbaan di batu Kawan pada tahun 2007 dan 2009.

Kemenangan ini meletakkan Fazli di tangga teratas keseluruhan dengan 45 mata diikuti Norizman dengan 31 mata dan Kasma ketiga, 25 mata.

Dalam kelas CP115, Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) menggunakan kelebihan beraksi di dalam hujan untuk menewaskan Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa keseluruhan 14’22.415s.

CP115-03Tengku Amirul yang bermula dari petak pertama menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 14’22.629s manakala pelumba persendirian, Md Haeikal Akmal Zakaria di tangga ketiga dengan masa 14’32.285s.

Tengku Amirul berada di tangga teratas keseluruhan dengan 45 mata diikuti Harith Farhan dengan 41 mata.

Dalam kategori Wira, hujan lebat sewaktu perlumbaan tidak menghalang pelumba-pelumba muda untuk mempamerkan aksi cemerlang dengan gelaran juara menjadi milik Md Shafiq Ezzariq dengan masa 12’02.299s.

Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda itu menewaskan pelumba persendirian, Md Afizi Supaat yang menamatkan perlumbaan dengan masa 12’02.358 manakala rakan sepasukan Shafiq, Md Anuar Ibrahim Pawi (adik kepada pelumba sensasi Negara, Khairul Idham Pawi) meneruskan kecemerlangan keluarga apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 12’05.164s.

Shafiq mengumpul 50 mata maksimum untuk menerajui kedudukan keseluruhan, 26 mata mengatasi S. Alif Nazirul S. Ismail dan seorang lagi rakan pasukan Shafiq, Saiful Azhary Muhamad, masing-masing terikat dengan 24 mata.

Keputusan:

CP130 (18 pusingan)

Akhir:

1. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 16’18.041s

2. Norizman Ismail (SGR) Honda 16’20129s

3. Md Azhar Abd Jalil (SGR) Yamaha 16’20.196s

4. Md Hafiz Nor Azman (PRK) Honda 16’20.468s

5. Md Adib Rosley (SGR) Yamaha 16’24.718s

Kedudukan Keseluruhan:

1. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 45 mata

2. Norizman Ismail (SGR) Honda 31 mata

3. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) 25 mata

4. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 22 mata

5. Md Hafiz Nor Azman (PRK) Honda 22 mata

CP115 (15 pusingan)

Akhir

1. Md Harith Farhan Baharin (TRG) Honda 14’22.415s

2. Tengku Amirul Haffiruddin (TRG) Yamaha 14’22.629s

3. Md Haiekal Akmal Zakaria (JHR) Yamaha 14’32.285s

4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 14’35.099s

5. Md Iqbal Amri Abd Malek (PRK) Yamaha 14’36.478s

Kedudukan keseluruhan

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 45 mata

2. Md Harith Farhan Baharin (TRG) Honda 41 mata

3. Md Fareez Afeez (JHR) Yamaha 30 mata

4. Md Haiekal Akmal Zakaria (JHR) Yamaha 25 mata

5. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 18 mata

WIRA (12 pusingan)

Akhir

1. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 12’02.299s

2. Md Afizi Supaat (SGR) Yamaha 12’02.358s

3. Md Anuar Ibrahim Pawi (PRK) Honda 12’05.164s

4. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 12’05.223s

5. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 12’05.233s

Kedudukan keseluruhan

1. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 50 mata

2. S. Alif Nazirul S. Ismail (PNG) Yamaha 24 mata

3. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 24 mata

4. Md Afizi Supaat (SGR) Yamaha 20 mata

5. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) 20 mata

EZY

Categories
NASIONAL

Hafiz azam kekal kemenangan milik SCK

BATU KAWAN 16 APR: Hafiz Nor Azman berazam untuk kekalkan kemenangan milik pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing apabila berjaya mencatat masa terpantas CP130 pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu mencatat masa terpantas 53.151s mengatasi juara pusingan pertama, Kasma Daniel Kasmayudin dan rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) yang mencatat masa terbaik 53.405s dan 53.420s.

CP115-01Catatan ini mendatangkan keyakinan buat Hafiz untuk mengulangi pencapaian Elly Idzlianizar Ilias yang muncul juara di litar sepanjang 1.265km itu pada musim lepas.

Malang buat juara bertahan itu apabila gagal untuk melayakkan diri ke sesi kelayakan Superpole pada hari esok setelah sekadar mencatat masa ke-16 terpantas, 55.968s akibat masalah mekanikal jentera.

“Kerja keras pasukan sangat membantu saya pada hari ini. Kami melakukan perubahan dalam setiap sesi latihan dan berjaya melakukan catatan yang lebih pantas. Komunikasi diantara pasukan sangat baik,” jelas Hafiz.

Tambahnya, “Selepas melakukan masa terbaik 53.152s pada sesi latihan bebas kedua, terdapat tumpahan minyak di litar ketika sesi latihan bebas CP115 dan menimbulkan sedikit kebimbangn dikalangan pelumba.

Namun petugas perlumbaan berjaya memperbaiki keadaan jalan dengan baik sekali, cuma masalah cuaca terlalu panas mengganggu keseluruhan catatan masa pelumba.”

Pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing mempunyai rekod baik di Batu Kawan dengan rekod juara pada tahun 2006, 2010, 2013 dan 2015.

Sementara itu, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang, Tengku Amirul Haffirudin meneruskan kecemerlangan pusingan lepas apabila muncul pelumba terpantas dalam kategori CP115.

Tengku Amirul mencatat masa terpantas 54.151s, 0.488s lebih pantas berbanding Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) yang mencatat 54.639s dan pelumba FELDA PB Racing, Md Iqbal Amri Abd Malek dengan masa 54.863s.

Aksi cemerlang pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing diteruskan dalam kelas Wira menerusi trio Md Shafiq Ezzariq, adik pelumba Moto3 sensasi negara, Khairul Idham Pawi, Md Anuar Ibrahim dan Saiful Azhary Muhamad, masing-masing dengan catatan masa 55.335s, 55.732s dan 55.909s.

Saksikan perlumbaan akhir pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium negeri Batu Kawan pada hari esok, 17 April. Masuk adalah percuma.

Keputusan ujian masa:
CP130
1. Md Hafiz Nor Azman (PRK) Honda 53.151s
2. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 53.405s
3. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 53.420s
4. Norizman Ismail (SGR) Honda 53.487s
5. Md Izzat Zaidi Salehan (SGR) Yamaha 53.563s

CP115
1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 54.151s
2. Md Harith Farhan Baharin (TRG) Honda 54.639s
3. Md Iqbal Amri Abd Malek (PRK) Yamaha 54.863s
4. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 54.943s
5. Md Muzakkir Mohamed (SGR) Yamaha 55.083s

WIRA
1. Md Shafiq Ezariq (SGR) Honda 55.335s
2. Md Anuar Ibrahim Pawi (PRK) Honda 55.732s
3. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 55.909s
4. Md Afizi Supaat (SGR) Yamaha 55.921s
5. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 55.985s

Categories
SELANGOR

Cub Prix: Penyertaan menggalakkan, 144 pelumba sertai saingan

SEPANG 15 MAC: Saingan pembukaan musim ke-23 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berakhir di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, menyaksikan kehadiran seramai 144 pelumba keseluruhan dalam kesemua kategori di grid perlumbaan.

Walaupun terdapat kebimbangan keadaan ekonomi ketika ini memberi kesan buruk kepada pasukan kecil dan pelumba persendirian, namun kebimbangan ini diatasi dengan jumlah kehadiran peserta yang memberangsangkan.

saingan kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am mendapat sambutan menggalakkan dari peserta persendirian“Kami tidak begitu bimbang dengan saingan kelas terbuka disertai pasukan profesional.

“Sebaliknya kami bimbang penyertaan kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am yang dikhususkan kepada pelumba persendirian dan tiada penaja,” jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Tambahnya apa mengejutkan, perlumbaan disertai pelumba separuh profesional atau amatur menerima penyertaan menggalakkan.

“Kami harap momentum ini berterusan di pusingan lain sepanjang tahun ini. Perlumbaan pusingan kedua berlangsung di Batu kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April ini.

“Pulau Pinang seringkali mendapat penyertaan menggalakkan di kalangan pelumba persendirian kerana berada di tengah bagi pelumba di utara,” katanya.

Katanya, selain pertambahan jumlah peserta persendirian, terdapat pertambahan di kalangan pasukan profesional bertanding.

Pasukan BHPetrol Dash Tabuan Racing tampil pertama kali dalam kelas CP115 dengan Md Izzat Rafiq dan Siti Norafizah Mohamad dan Mohd Arash Firdaus Suhaini di dalam kelas Wira.

Di dalam kelas Wira terdapat pertambahan pasukan ARD Performance dan Hyperlube PJM Racing turut berada di grid perlumbaan buat pertama kali.

EZY

Categories
SELANGOR

Cub Prix: Kasma Daniel cipta kejutan juara CP130

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 14 MAC: Pelumba muda Yamaha, Kasma Daniel Kasmayudin, mencipta kejutan apabila muncul juara dalam saingan kelas CP130 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Juara CP115 musim lalu yang berpindah ke kategori perdana kali ini memberikan cabaran hebat mengenepikan pelumba lebih senior dalam perlumbaan 18 pusingan itu bagi meraih kemenangan pertama.

Kasma in actionBeliau meninggalkan rakan sepasukan dari Petronas Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham untuk tempat kedua dan Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing), ketiga.

“Strategi pasukan menjadi dan saya gembira dengan kemenangan ini namun terkejut kerana berjaya menyaingi pelumba lebih senior.

“Jentera juga berfungsi baik membantu kemenangan ini dan momentum sama harap berterusan pusingan seterusnya,” kata pelumba 16 tahun itu.

Kasma Daniel berkata, kemenangan diraih tidak melekakan sebaliknya lebih bersedia kerana pasukan lain tentunya bakal mencabar hebat untuk kedudukan selesa dalam pungutan mata.

Bagi Fazli pula, kejayaan menduduki tempat kedua di sini memberi kelebihan dalam persiapan menghadapi perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang, April ini.

“Cuaca panas menghadirkan lebih cabaran kepada saya dan semua pelumba tetapi saya lebih bersedia selepas ini.

“Terima kasih kepada pasukan dengan kejayaan ini, saya agak ketinggalan di peringkat awal tetapi mengekalkan tunggangan konsisten mengejar pelumba di depan,” katanya.

Sementara itu, pelumba pilihan, Zaqhwan yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, dicabar sengit Abd Muhaimin Roslan dan Mohd Izzat Zaidi di awal perlumbaan, menyatakan beberapa insiden berlaku diawal perlumbaan menjejaskan peluang mendahului perlumbaan.

“Jika diikutkan memang tidak berpuas hati kerana saya beraksi di tempat sendiri tetapi tempat ketiga satu permulaan baik untuk pusingan selanjutnya.

“Saya lebih bersedia dengan aksi terbaik selepas ini selain berusaha mencabar kejuaraan,” kata juara 2014 menunggang jentera baru musim ini.

EZY

Categories
SELANGOR

Isu tajaan pelumba Cub Prix Orang Asal diselesaikan segera

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 14 MAC: Isu tajaan dihadapi pelumba muda Orang Asal, Azrul Affendi Hadi, 20, bagi menyertai siri perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016, dijangka berakhir dalam tempoh terdekat ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata pihaknya sedang mengusahakan perkara itu dan diyakini ianya mampu diselesaikan.

“Kita sedang uruskan bantuan kepadanya dan kini memasuki peringkat terakhir.

OA Racing Azrul“Saya dihubungi sejak tahun lalu dan percaya dalam masa kira-kira sebulan ini dapat diselesaikan supaya kita boleh memberikan sumbanganmeringankan bebanan pelumba terbabit,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.

Amirudin berkata demikian selepas selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dalam pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Azrul Affendi, juara kategori keseluruhan kategori Pro-Am tahun lalu berpindah ke kategori CP115 musim ini mewakili pasukan M Seki Leberty Honda.

Beliau bermula dengan nada hampa dalam pusingan pertama ini apabila gagal dalam sesi ujian masa dan sekadar menduduki tempat ke 17 dalam perlumbaan sebenar hari ini.

Bapanya, Hadi anak Jembik, 43, berharap masalah terbabit mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan pihak tertentu kerana perbelanjaan menyertai perlumbaan itu memerlukan perunutkan besar.

OA RacingKatanya, sejak beberapa tahun lalu anaknya berjaya menunjukkan prestasi membanggakan hingga muncul juara tetapi menghadapi isu tajaan hingga membantutkan usaha memajukan dirnya.

Azrul Affendi, pelumba OA Racing Team untuk kategori Pro-Am pernah mendapat sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebanyak RM30,000 setahun bagi 2013 dan 2014 juga daripada Jabatan Belia dan Sukan (RM7,000).

Bagaimanapun ia tidak mencukupi dan Hadi pernah berkorban menjual hartanah beberapa tahun lalu bagi memenuhi impian anaknya itu.

Pasukan M Seki Liberty Honda diwakilin Azrul Affendi ketika ini berharap beliau mendapatkan penaja bagi menyokong kerjayanya dalam siri kejuaraan Cub Prix seterusnya layak ke Asia Road Racing (ARR).

EZY

Categories
SELANGOR

Amirul ungguli cabaran Cub Prix kategori CP115

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 14 MAC: Tengku Amirul Haffiruddin mengenepikan saingan sengit pelumba lain untuk menjuarai pusingan pertama kategori CP115 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang menjuarai perlumbaan meninggalkan Md Fareez Afeez dari Felda PB Racing di tempat kedua dan pemenang ketiga, Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing).

CP115 winner, Tengku AmirulAmirul menganggap kemenangan itu akan menguatkan tekadnya untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam pusingan seterusnya selepas ini.

“Perlumbaan hari ini agak sengit bagi saya sejak dari awal hingga akhir.

“Saya sendiri tidak menyangka boleh menaiki podium dan muncul juara kerana mendapat cabaran hebat pelumba lain,” katanya.

Amirul bermula barisan depan tetapi agak ketinggalan kemudian berjaya memintas beberapa pencabarnya dan mendahului sejak pusingan kelima hingga garisan penamat dalam perlumbaan 15 pusingan itu.

Beliau berterima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik untuknya berjaya dalam perlumbaan itu.

Namun, katanya, pasukan lain tentunya lebih bersedia selepas ini dan berharap prestasi jenteranya lebih meningkat bagi menghadapi pusingan selanjutnya.

“Saya berusaha gigih untuk mengekalkan prestasi dan bersedia dari segi fizikal dan kercergasan diri.

“Pastinya perlumbaan selepas ini lebih mencabar kerana semua peserta berusaha memungut mata bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya kini mendahului dengan 25 mata.

Sementara itu dalam kategori Wira, pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Mohd Shafiq Ezzariq melintasi garisan penamat untuk muncul juara kelas berkenaan.

Beliau berjaya mengatasi pencabarnya, Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) pada kedudukan kedua dan S Alif Nazirul S. Ismail (Persendirian) di tempat ketiga.

EZY

Categories
SELANGOR

Cub Prix AAM: Zaqhwan ungguli ujian masa CP130

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 13 MAC: Pelumba Honda, Md Zaqhwan Zaidi, mempamerkan tunggangan kemas untuk mengungguli sesi ujian masa sepusingan kategori CP130 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Beliau mencatat masa terpantas 48.979s mengatasi pendatang baru dari pasukan Petronas Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin (49.059s) dan pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Md Hafiz Nor Azman (49.289s).

“Terima kasih kepada pasukan kerana tidak henti melakukan persiapan sebaik musim lalu berakhir.

“Ternyata segala kerja keras banyak membantu saya untuk kembali ke prestasi terbaik minggu ini dan berharap berterusan pada perlumbaan sebenar,” kata pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu.

cuprix selangor 2Juara keseluruhan musim 2014 itu bagaimanapun tidak diberi laluan mudah apabila dicabar hebat Kasma yang mencipta kejutan pada sesi latihan pertama di sebelah pagi dengan catatan masa terpantas 49.505s.

Biarpun gagal mengatasi catatan terbaik litar dicipta Hafiz (48.322s) pada musim lalu tetapi Zaqhwan gembira kerana catatan masa dibuat itu di atas litar dengan cuaca begitu panas dan suhu mencecah sehingga ke 40 darjah.

“Cengkaman tayar tidak begitu baik dengan suhu panas seperti ini ditambah dengan faktor permukaan jalan apabila saya sudah mencuba semaksimum mungkin untuk mencatat masa lebih baik namun tidak berjaya.

“Jika mencuba dengan lebih laju, tidak mustahil akan terjatuh,” katanya.

Dalam kategori CP115 pula, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang, Tengku Amirul Haffirudin mencatat masa terpantas sepusingan dengan 49.661s mengatasi Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) yang mencatat 49.922s dan pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Harith Farhan Baharin (49.999s).

Amirul, naib juara musim lalu, nyata lega dengan catatan masa dirakam mengatasi Azroy dengan kelebihan 0.261s untuk bermula di barisan hadapan dalam perlumbaan sebenar nanti.

Dalam kategori Wira, Mohd Shafiq Izzariq menceriakan pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing dengan catatan masa terpantas 51.012s.

Dua lagi pelumba dari pasukan sama, Saiful Azhary Muhamad dan Md Anuar Ibrahim Pawi mencatat 51.986s dan 52.011s untuk masa keempat dan kelima terbaik untuk berada dalam kelompok lima pelumba terpantas dalam kategori berkenaan.

Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) mencatat masa kedua terbaik dengan 51.170s diikuti catatan masa ketiga terbaik dibuat Mohd Afizi Supaat (Espada William Racing) iaitu 51.569s.

EZY