Categories
GLOBAL

110 disahkan maut nahas udara terburuk Cuba

HAVANA 20 MEI : Pihak berkuasa Cuba mengesahkan bahawa nahas pesawat Boeing 737 yang berlaku dua hari lalu telah meragut 110 nyawa dengan 99 daripadanya adalah rakyat tempatan, sekali gus menjadikan ia tragedi udara terburuk pernah berlaku di negara kepulauan Caribbean itu dalam tempoh 30 tahun.

Susulan nahas, kerajaan Cuba turut mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung selama dua hari bermula semalam, manakala pihak berkuasa yang bertungkus lumus mengenal pasti kesemua mangsa mengesahkan 15 daripada mereka berjaya dikenali setakat ini.

Terdahulu pihak berkuasa pada sidang media semalam di lapangan terbang memberitahu, tiga daripada penumpang yang maut dalam penerbangan domestik ke Holguin itu adalah warga asing, masing-masing dua daripada Argentina dan seorang dari Mexico manakala dua lagi mangsa memegang taraf pemastautin tetap serta berasal dari Republik Sahrawi.

Kesemua enam kru pesawat Boeing berusia hampir 40 tahun itu yang berasal dari Mexico turut terkorban dalam tragedi berkenaan.

Siasatan mendapati pesawat terbabit yang beroperasi di bawah syarikat penerbangan tempatan, Cubana sebenarnya disewa dari sebuah syarikat kecil berpangkalan di Mexico, dikenali sebagai Damojh.

Sementara itu ketua hospital berhampiran memberitahu, tiga penumpang wanita tempatan disahkan terselamat tetapi masih berada dalam keadaan kritikal berikutan kecederaan parah pada hampir keseluruhan anggota badan.

Seorang pelajar, Katherine Lucia Martinez, 18 memberitahu, neneknya adalah antara mangsa yang disahkan maut dalam kemalangan ngeri itu.

“Ini satu kematian yang sangat tidak dijangka. Beliau tidak sepatutnya menerima nasib seburuk ini,” katanya sambil menangis teresak-esak di dada bapanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Amerika usir 15 diplomat Cuba susulan insiden misteri

WASHINGTON 4 OKT: Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pengusiran 15 diplomat Cuba, menuduh Havana gagal melindungi diplomatnya susulan insiden misteri apabila kakitangan kedutaan itu jatuh sakit.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara Rex Tillerson berkata, AS akan terus mengekalkan hubungan diplomatik dengan Cuba walaupun saiz misi negara itu di Havana akan dikurangkan kepada jumlah minimum, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Keputusan dibuat berikutan kegagalan Cuba mengambil langkah wajar melindungi diplomat kami sejajar dengan pematuhan mengikut Konvensyen Vienna.

“Arahan itu akan memastikan kesamaan dalam operasi diplomatik masing-masing. Sehingga kerajaan Cuba dapat memberi jaminan keselamatan diplomat kami di Cuba, kedutaan kami akan dikurangkan kepada kakitangan kecemasan bagi meminimumkan jumlah diplomat berisiko terdedah kepada bahaya,” kata Tillerson dalam satu kenyataan.

Sonic Attack2Serangan itu, pada mulanya digambarkan sebagai berpunca daripada sejenis peranti akustik, menjejaskan sekurang-kurangnya 22 kakitangan kedutaan AS di Havana sejak beberapa bulan lalu.

Mereka yang terbabit dalam insiden itu mengalami gejala fizikal termasuk sakit telinga, hilang pendengaran, pening, sakit kepala, keletihan, isu kognitif dan sukar tidur.

=EZY=

Categories
GLOBAL

‘Serangan Sonik’: AS cadang tutup pejabat kedutaan di Cuba

HAVANA 19 SEPT: Amerika Syarikat (AS) bercadang untuk menutup pejabat kedutaan di Cuba selepas kakitangannya dilaporkan mengalami masalah kesihatan yang didakwa oleh Washington sebagai ‘serangan sonik’.

Setiausaha Negara, Rex Til­lerson berkata, keputusan sama ada untuk menutup kedutaan itu di sini sedang ‘dinilai’, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Lebih 20 kakitangan pejabat kedutaan itu mengalami masalah kesihatan antaranya gangguan otak, hilang pendengaran, pening kepala dan loya.

Para pegawai AS percaya terdapat peralatan yang digunakan untuk menjejaskan kesihatan mereka namun Cuba menafikan sebarang penglibatan dalam isu itu.

Sonic Attack2Sekurang-kurangnya dua warga Kanada turut mengalami gejala yang sama.

“Ini merupakan isu serius yang menjejaskan beberapa individu,” katanya kepada CBS.

Walaupun siasatan telah dilakukan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Polis Royal Canadian Mounted dan pihak berkuasa Cuba, tetapi masih belum ada penjelasan lengkap punca insiden yang tercetus sejak hujung tahun lalu.

Presiden Cuba, Raul Castro dilaporkan secara peribadi memberi jaminan kepada pihak Kedutaan AS bahawa Cuba tidak terlibat dalam serangan tersebut.

AS membuka semula kedutaannya di sini pada tahun 2015 selepas membekukan hubungan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Pada tahun lalu, bekas Presiden AS, Barack Obama menjadi Presiden AS pertama melawat negara ini selepas lawatan bekas Presiden Calvin Coolidge pada tahun 1928.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Pesawat tentera Cuba terhempas, korban lapan nyawa

HAVANA, 30 APRIL: Sekurang-kurangnya lapan individu terbunuh selepas pesawat tentera Cuba terhempas di kawasan lereng bukit di barat wilayah Artemisa, semalam, lapor AP News.

Tentera Cuba dalam kenyataan berkata, pesawat AN-26 buatan Soviet itu berlepas dari lapangan terbang Playa Baracoa berhampiran Havana, pada jam 6.38 pagi waktu tempatan sebelum terhempas di Candelaria, kira-kira 65 kilometer (km) dari lapangan terbang itu.

Ketika insiden berlaku, cuaca dilaporkan baik dan cerah.

Ekoran itu, tentera menubuhkan suruhanjaya khas bagi menyiasat kejadian terbabit.

Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa tidak mendedahkan maklumat kejadian.

Pada November 2010, pesawat AeroCaribbean dari Santiago menuju ke Havana terhempas dalam cuaca buruk ketika melalui kawasan tengah Cuba dan mengorbankan semua 68 penumpang, termasuk 28 warga asing.

Kejadian itu dianggap sebagai bencana udara paling dahsyat dalam tempoh dua dekad.

Sementara pada 1989, pesawat tempahan khas Cubana de Aviacion yang dalam penerbangan dari Havana ke Milan, Itali jatuh terhempas sebaik sahaja berlepas, mengorbankan 126 penumpang.