Categories
GLOBAL

‘Serangan Sonik’: AS cadang tutup pejabat kedutaan di Cuba

HAVANA 19 SEPT: Amerika Syarikat (AS) bercadang untuk menutup pejabat kedutaan di Cuba selepas kakitangannya dilaporkan mengalami masalah kesihatan yang didakwa oleh Washington sebagai ‘serangan sonik’.

Setiausaha Negara, Rex Til­lerson berkata, keputusan sama ada untuk menutup kedutaan itu di sini sedang ‘dinilai’, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Lebih 20 kakitangan pejabat kedutaan itu mengalami masalah kesihatan antaranya gangguan otak, hilang pendengaran, pening kepala dan loya.

Para pegawai AS percaya terdapat peralatan yang digunakan untuk menjejaskan kesihatan mereka namun Cuba menafikan sebarang penglibatan dalam isu itu.

Sonic Attack2Sekurang-kurangnya dua warga Kanada turut mengalami gejala yang sama.

“Ini merupakan isu serius yang menjejaskan beberapa individu,” katanya kepada CBS.

Walaupun siasatan telah dilakukan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Polis Royal Canadian Mounted dan pihak berkuasa Cuba, tetapi masih belum ada penjelasan lengkap punca insiden yang tercetus sejak hujung tahun lalu.

Presiden Cuba, Raul Castro dilaporkan secara peribadi memberi jaminan kepada pihak Kedutaan AS bahawa Cuba tidak terlibat dalam serangan tersebut.

AS membuka semula kedutaannya di sini pada tahun 2015 selepas membekukan hubungan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Pada tahun lalu, bekas Presiden AS, Barack Obama menjadi Presiden AS pertama melawat negara ini selepas lawatan bekas Presiden Calvin Coolidge pada tahun 1928.

=EZY=