Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Majikan diingat lengkapkan dos vaksin pekerja sebelum beroperasi

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majikan diingatkan supaya mengambil serius dalam memastikan semua pekerja mereka lengkap divaksin sebelum memulakan operasi perniagaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Rodziah Ismail berkata kegagalan majikan menitik berat isu vaksin terhadap pekerja akan menyebabkan imuniti kelompok tidak tercapai.

“Kerajaan pusat telah membuat polisi bahawa mana-mana individu tidak dibenarkan masuk ke beberapa jenis kedai yang memerlukan dua dos suntikan. Namun apabila disiasat terdapat dalam kalangan pekerja mereka sendiri belum lengkap.

“Saya cadangkan masyarakat jangan masuk ke kedai-kedai yang pekerjanya tidak divaksin dan melaporkannya kepada pihak berwajib,” katanya selepas meninjau program Selvax bergerak DUN Batu Tiga di Kompleks Padang Jawa semalam.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya kerajaan bertegas memastikan setiap pekerja perlu lengkap dua dos vaksin selain pelanggan.

Selvax bergerak DUN Batu Tiga memperuntuk sebanyak 300 dos suntikan pelalian untuk penduduk di kawasan tersebut dengan menggunakan sebuah klinik van bergerak yang dipinjamkan Hospital Avisena.

Selvax bergerak berlangsung selama seminggu melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Sungai Ramal buka kaunter bantu orang ramai daftar vaksin

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal membuka kaunter pendaftaran vaksin Covid-19 bagi mengalakkan orang ramai mendaftar selain mendapat pendedahan mengenai wabak.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata kaunter berkenaan dibuka sejak bulan lalu di lokasi tumpuan ramai seperti pasar dan masjid.

“Pada mulanya kita dapati ramai yang tidak tahu cara mendaftar jadi saya dengan kerjasama Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, kami buka kaunter untuk memudahkan orang ramai mendaftar.

“Ada kalangan mereka tidak mempunyai telefon, jika ada pun telefon jenis lama jadi kita bantu daftar secara manual dengan harapan kita dapat meningkatkan lebih ramai mendaftar vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Mazwan berkata beliau berharap orang awam yang belum mendaftar untuk segera berbuat demikian demi manfaat semua pada masa hadapan.

“Kita perlu berlumba-lumba memulihkan diri supaya kita dapat kembali berurusan seperti sedia kala dengan dunia luar, lagi lambat kita sesuaikan diri maka lagi lambat pembangunan negara kita.

“Kita perlu patuhi piawaian antarabangsa yang mensyaratkan individu itu dikira selamat adalah dengan vaksin,” katanya.