Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Ramal belanja lebih RM300,000 agih bantuan sejak pandemik

SHAH ALAM, 8 NOV: Lebih RM300,000 diperuntuk untuk agihan bakul makanan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal yang terjejas pendapatan akibat pandemik sejak Mac tahun lalu.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata pihaknya turut mengagihkan pelitup muka, kit saringan kendiri Covid-19.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha dalam memberi galakan supaya masyarakat menjaga tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Mazwan menjelaskan pihaknya juga memperuntukan RM45,000 untuk membeli komputer riba yang diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Setakat ini sebanyak 20 komputer riba sudah diagihkan sejak September lalu. Seramai 10 lagi penerima akan menerima komputer riba pada bulan ini,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 bilion melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.

 

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sungai Ramal, Pekawanis bantu 20 pesakit kronik

SHAH ALAM, 8 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) melawat 20 pesakit kronik menerusi program Ziarah Medik pada akhir Oktober lalu.

Mazwan Johar berkata semua pesakit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menerima bantuan wang tunai RM250 bagi membeli ubat dan keperluan diri.

“Pesakit yang dibantu ini biasanya menghidap penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, kanser dan terlantar sakit.

“Selain bantuan daripada Pekawanis, pejabat DUN juga menyumbang bakul makanan dan kit saringan kendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Mazwan, pihaknya bersama Pekawanis akan melawat 10 lagi pesakit dalam masa terdekat untuk diagihkan bantuan sekali gus meringankan beban.

Pekawanis memperuntukan sejumlah RM220,000 bagi membantu pesakit kronik di 44 DUN pada tahun ini di bawah program Ziarah Medik Pekawanis.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban pesakit untuk membeli ubat-ubatan iaitu setiap pesakit diberi RM250 untuk membeli ubat dan barangan keperluan harian.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Sungai Ramal buka kaunter bantu orang ramai daftar vaksin

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal membuka kaunter pendaftaran vaksin Covid-19 bagi mengalakkan orang ramai mendaftar selain mendapat pendedahan mengenai wabak.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata kaunter berkenaan dibuka sejak bulan lalu di lokasi tumpuan ramai seperti pasar dan masjid.

“Pada mulanya kita dapati ramai yang tidak tahu cara mendaftar jadi saya dengan kerjasama Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, kami buka kaunter untuk memudahkan orang ramai mendaftar.

“Ada kalangan mereka tidak mempunyai telefon, jika ada pun telefon jenis lama jadi kita bantu daftar secara manual dengan harapan kita dapat meningkatkan lebih ramai mendaftar vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Mazwan berkata beliau berharap orang awam yang belum mendaftar untuk segera berbuat demikian demi manfaat semua pada masa hadapan.

“Kita perlu berlumba-lumba memulihkan diri supaya kita dapat kembali berurusan seperti sedia kala dengan dunia luar, lagi lambat kita sesuaikan diri maka lagi lambat pembangunan negara kita.

“Kita perlu patuhi piawaian antarabangsa yang mensyaratkan individu itu dikira selamat adalah dengan vaksin,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Serbu lubuk dadah, ADN mahu Sungai Ramal ‘bersih’

SHAH ALAM, 24 FEB: Lubuk dadah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor pada 20 Februari lalu.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata serbuan susulan Hulu Langat antara kawasan yang mencatatkan gejala penagihan dadah terburuk di negeri ini.

“Operasi seumpama ini pernah dilaksana tetapi ia kembali berulang, justeru kita mahu menangani permasalahan dengan lebih cekap dan tegas.

“Terima kasih AADK kerana mendengar suara saya dan Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming untuk membersihkan kawasan ini daripada anasir tidak sihat,” tulisnya di Facebook.

Operasi disertai lebih 150 anggota AADK Daerah Hulu Langat, Railway Assets Corporation, Pejabat Daerah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang, polis dan askar wataniah.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Ramal sambut merdeka, kekal patuh SOP

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sambutan Hari Kebangsaan diraikan penuh meriah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal namun masih mengikut tatacara operasi piawai (SOP), kata ahli dewan negerinya.

Mazwan Johar berkata acara itu disambut di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi semalam dalam jumlah pengunjung yang kecil menepati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Terima kasih kepada pengunjung yang hadir memberi sokongan dan semangat walaupun ia perlu disambut dalam norma baharu,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut mengedar jersi kemerdekaan, pelekat bendera Malaysia dan buah-buahan kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan.

Dalam majlis sama, laungan Merdeka sebanyak tujuh kali turut dilaungkan Mazwan diikuti pengunjung.

Katanya, diharap program itu berjaya menyumbang dan membangkitkan semangat serta jiwa patriotik dalam kalangan penduduk DUN Sungai Ramal khususnya.