Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim sedia pelan tindakan tangani isu daging seludup

PUTRAJAYA, 29 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pelan tindakan khusus untuk menangani isu daging seludup yang tidak berlogo dan diiktiraf, bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 5 Januari ini bagi menjayakan pelan berkenaan.

Menurutnya fokus perbincangan bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing, langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini, serta Pelan Tindakan Bersepadu berhubung pengimportan dan produk daging.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan turut menyentuh isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar, serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pengimportan dan pengedaran.

“Selain itu, perbincangan meja bulat juga akan diadakan antara pengimport dan pengedar daging serta produk daging, dengan KPDNHEP, Maqis dan JKDM pada 11 Januari,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Jakim juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim Logistik (Pergudangan) dan mensyaratkan pemegang sijil mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan),” menurutnya.

Menerusi pelan tindakan itu juga, Abdul Aziz berkata Jakim akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktirafnya, dan menurutnya sehingga hari ini, 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara telah diiktiraf.

“Dengan ini, pengguna boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran; dan pengimport mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia bagi mengelak kerugian dan keraguan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata lawatan ke rumah sembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.

”SOP terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari depan,” katanya dan menambah pihaknya berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu seludup daging luar bidang kuasa Jakim

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Isu penyeludupan daging yang hangat diperkatakan sekarang adalah di luar bidang kuasa dan tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau berkata, peranan pasukan Jakim adalah memeriksa sama ada sesebuah rumah penyembelihan di luar negara, mematuhi hukum syarak dari aspek proses penyembelihan sehinggalah daging itu dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak dalam keadaan bebas cemar.

“Permit mengimport daging dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). Apabila produk itu sampai ke pintu masuk negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melihat dari segi cukai. Selepas produk daging itu berada di gudang di dalam negara ia adalah tertakluk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” kata Sirajuddin.

Beliau berkata demikian dalam segmen khas ‘Tanya Jakim bertajuk SOP Sijil Halal: Di Mana Silapnya?’ yang disiarkan secara dalam talian di akaun laman sosial Facebook Jakim hari ini.

Sirajuddin berkata Jakim menyedari banyak pihak mempersoalkan jabatan itu, apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu penyeludupan daging import, yang didedahkan media baru-baru ini dan tidak mendedahkan senarai nama syarikat atau jenama yang terlibat.

Menjawab persoalan itu, beliau berkata pihak berkuasa seperti KPDNHEP sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan akan mendedahkan hasilnya apabila siasatan kes berkenaan selesai.

“Biarlah siasatan dijalankan dengan cara terbaik tanpa gangguan. Berikan ruang agensi yang berkaitan untuk menyiasat. Maklum balas (Jakim) akan menimbulkan suasana tidak baik, kalau (Jakim) keluarkan kenyataan akan menjejaskan siasatan,” katanya.

Sejak isu tersebut timbul, banyak pihak mempersoalkan Jakim kerana mereka menganggap agensi itu bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses membawa masuk daging dari luar negara.

Ditanya sama ada benar atau tidak aktiviti penyeludupan daging itu sudah 40 tahun berlaku, beliau berkata perkara itu tidak dapat disahkan atau dinafikannya, kerana ia merupakan dakwaan dari pihak industri dan bukannya agensi atau badan penguat kuasa.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

-BERNAMA