Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim sedia pelan tindakan tangani isu daging seludup

PUTRAJAYA, 29 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pelan tindakan khusus untuk menangani isu daging seludup yang tidak berlogo dan diiktiraf, bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 5 Januari ini bagi menjayakan pelan berkenaan.

Menurutnya fokus perbincangan bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing, langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini, serta Pelan Tindakan Bersepadu berhubung pengimportan dan produk daging.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan turut menyentuh isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar, serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pengimportan dan pengedaran.

“Selain itu, perbincangan meja bulat juga akan diadakan antara pengimport dan pengedar daging serta produk daging, dengan KPDNHEP, Maqis dan JKDM pada 11 Januari,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Jakim juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim Logistik (Pergudangan) dan mensyaratkan pemegang sijil mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan),” menurutnya.

Menerusi pelan tindakan itu juga, Abdul Aziz berkata Jakim akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktirafnya, dan menurutnya sehingga hari ini, 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara telah diiktiraf.

“Dengan ini, pengguna boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran; dan pengimport mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia bagi mengelak kerugian dan keraguan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata lawatan ke rumah sembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.

”SOP terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari depan,” katanya dan menambah pihaknya berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP Selangor rampas roti, kek guna logo halal tidak sah

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas produk roti dan kek dianggarkan bernilai RM10,000 dari sebuah kilang kerana disyaki menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan berkata serbuan ke atas premis terletak di Ampang dilakukan pada 3 petang tadi oleh lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan 10 pegawai Jabatan Agama Islam Selangor hasil aduan orang ramai.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 10,000 unit produk merangkumi 50 jenis roti dan kek telah siap dibungkus dengan turut diletakkan logo halal selain yang diiktiraf Jakim.

“Kilang ini sudah beroperasi sejak 20 tahun lepas dan hasil keterangan daripada pemilik kilang, mereka pernah memohon sijil halal pada 2012 tetapi gagal memperolehnya kerana tidak mematuhi syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) terutamanya berhubung kebersihan premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut, hari ini.

Muhamad Zikril berkata pihaknya juga mendapati tiada penambahbaikan dilakukan oleh pemilik premis sejak permohonan itu dilakukan bagi membolehkan kebenaran menggunakan logo halal yang sah diberikan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 4 Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) 2011.

Katanya, peraturan itu memperuntukkan hukuman denda RM200,000 hingga RM10 juta bagi syarikat dan denda RM100,000 hingga RM5 juta atau penjara tiga hingga lima tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan.

Selain kesalahan menggunakan logo halal tidak diiktiraf, beliau berkata premis berkenaan juga didapati menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan dan tindakan sitaan ke atas 17 alat penimbang bernilai RM2,500 turut diambil mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

Muhamad Zikril berkata tahap kebersihan kilang berkenaan yang kurang memuaskan turut akan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan kerana ia di luar bidang kuasa KPDNHEP.

“Didapati roti tidak ditutup selepas siap dibakar, selain terdapat kesan air dari bumbung yang bocor,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Guna logo halal tidak sah, lebih 1,000 kotak muruku disita

SHAH ALAM, 2 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam menyita 1,098 kotak muruku menggunakan logo halal tidak diiktiraf di sebuah premis di Kajang.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata rampasan bernilai RM14,819 dijual meluas di pasar raya, kedai serbaneka dan kedai runcit sekitar Hulu Langat serta e-dagang Shopee.

“Syarikat ini menggunakan label nama wanita Islam sebagai strategi pemasaran untuk mengelirukan masyarakat bahawa ia keluaran muslim dan boleh dimakan tanpa was-was.

“Semakan melalui sistem MYe-Halal Malaysia juga mendapati premis terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Kajang dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

Tindakan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda maksimum RM200,000.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata premis yang memiliki majoriti pekerja asing itu juga berada dalam keadaan kotor terutama di kawasan pemprosesan makanan.

Justeru, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 11(1)b selain diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Semakan logo dan produk halal boleh dibuat melalui portal www.halal.gov.my atau hubungi Bahagian Pengurusan Halal Jais di talian 03-55143760/3486.