Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara teruskan inisiatif 2020 bantu rakyat terjejas Covid-19

PUCHONG, 1 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara tekad meneruskan inisiatif tahun lalu bagi membantu penduduk terutama mereka yang terjejas ekoran Covid-19.

Wakil rakyatnya, Ng Sze Han berkata program tersebut termasuklah Sayangi Kinrara, Dapur Kinrara dan Ziarah Medik Kinrara.

“Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita lancarkan program Sayangi Kinrara iaitu penyediaan peti makanan yang mana masyarakat kurang berkemampuan boleh datang pusat khidmat saya untuk ambil makanan.

“Kita turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai meletak makanan dalam peti tersebut,” katanya selepas melawat parkir kenderaan baharu di Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong semalam.

Sze Han menambah Dapur Kinrara pula beroperasi setiap Ahad, jam 12 tengah hari hingga 2 petang di Balai Masyarakat MBSJ, Puchong Jaya yang berfungsi memberi makanan kepada golongan memerlukan.

“Selain itu, Program Ziarah Medik Kinrara berkonsepkan beri bantuan kesihatan seperti kerusi roda dan lampin pakai buang dewasa kepada golongan memerlukan dengan membuat lawatan terus ke kediaman mereka,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Terjejas Covid-19, DUN Kinrara salur bekalan makanan

PUCHONG, 19 DIS: Pusat Khidmat DUN Kinrara mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu penduduk yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata usaha meliputi penyediaan peti makanan yang membekalkan barangan asas dan boleh diambil berulang kali jika perlu.

“Kita tidak agihkan bekalan dari rumah ke rumah tetapi keluarga terjejas boleh datang ambil makanan di pusat khidmat masyarakat,” kata Ng Sze Han ketika ditemui semalam.

EXCO kerajaan tempatan turut melaksana program Dapur Kinrara yang menyediakan makanan sayuran setiap Ahad bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang.

Sze Han memaklumkan sebanyak 137 pek makanan diagihkan setakat ini dan mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dapur Kinrara agih makanan percuma, bantu individu terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 10 DIS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mewujudkan dapur berpusat bagi mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan.

Wakil rakyatnya berkata insiatif Dapur Kinrara digerakkan pada setiap Ahad selepas ramai penduduk memohon bekalan makanan bermasak sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Ng Sze Han menjelaskan program itu dikendalikan sukarelawan di Balai Masyarakat Majlis Bandaraya Subang Jaya Majlis Perwakilan Penduduk Zon 10, Bandar Puchong Jaya.

“Makanan dengan menu vegetarian boleh didapati oleh semua lapisan masyarakat dari 12 tengah hari sehingga 2 petang.

“Saya akan cuba membantu sesiapa sahaja terutama yang hilang pekerjaan dan menggalakkan mereka membawa bekas makanan sendiri,” katanya ketika dihubungi.

EXCO kerajaan tempatan turut bersedia menambah bilangan hari dapur berpusat jika diperlukan selain mempelawa orang ramai menyumbang bahan masakan dan menjadi sukarelawan.