Categories
SELANGOR

MBSA Edar 500 Jalur Gemilang Sempena Kemerdekaan

SHAH ALAM 3 OGOS : Sempena sambutan hari kemerdekaan kali ke 55 pada 31 Ogos ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan 500 bendera Jalur Gemilang di Dataran Shah Alam pagi tadi.

Program yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan bertujuan mengajak rakyat mengingati hari kemerdekaan dengan bersama-sama memasang bendera di kenderaan rasmi MBSA dan kenderaan awam.

Mohd Atan berkata jalur gemilang itu diedarkan sebagai simbolik dan sokongan MBSA kepada Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.

Dengan mengambil contoh pergolakan yang berlaku di luar negara, beliau mengajak rakyat di seluruh negara mengingati pentingnya kemerdekaan pada setiap lapisan masyarakat.

“Ini kerana kita perlu menjaga keamanan agar tidak berlaku pergolakan seperti negara luar. Ia penting untuk negara kita dan kita patut bersyukur dengan keadaan ini,” katanya.

Mohd Atan turut menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta, kedai, sekolah dan tadika serta di kawasan perumahan.

“Kita juga berharap masyarakat di sekitar Shah Alam agar dapat memasang bendera dengan cara yang betul dan tidak menggunakan bendera yang lusuh bagi menerapkan rasa bangga dan hormat pada negara,” katanya.

Selain itu, MBSA akan mengedarkan poskad khas kepada pemilik premis di sekitar kawasan pentadbiran MBSA sebagai hebahan kepada pemilik premis.

Disamping itu, MBSA juga akan memasang Jalur Gemilang gergasi di Wisma MBSA.