Categories
SELANGOR

KRT Golden Villa bantu agih air kepada penduduk

KLANG, 7 SEPT: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Golden Villa mengambil inisiatif membantu penduduk di pangsapuri itu mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh gangguan.

Seorang daripada ahlinya, Mohd Rosle Manhuri, 46, berkata pihaknya memahami kekangan dihadapi Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) yang perlu mengedar air ke banyak kawasan yang turut mengalami nasib sama.

Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan air minuman kepada penduduk Pangsapuri Golden Villa, Klang pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita faham situasi dihadapi Air Selangor yang ada kalanya menyebabkan bantuan lewat, jadi KRT di sini ambil inisiatif mencari sendiri sumber air dari luar untuk diagihkan kepada penduduk.

“Kami juga gunakan pengangkutan sendiri sama ada kereta atau lori untuk ambil air bawa ke tempat kami,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan air minuman dan makanan asas daripada isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, S Mogan Raj, 19, berkata mereka berterima kasih dengan keprihatinan Masdiana dan pihak yang tampil memberikan bantuan kepada penduduk.

“Setiap kali berlaku gangguan bekalan air pasti ada bantuan diberikan dan ini sememangnya meringankan beban kami,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sejak 3 September lalu susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis perluas program ke daerah dan DUN, galak penyertaan bukan ahli

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bercadang memperluaskan program di seluruh daerah dan dewan undangan negeri (DUN) pada masa akan datang.

Yang Dipertuanya berkata seperti mana Majlis Tadabbur al-Quran hanya dilaksanakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar namun selepas ini bercadang menganjurkanya ke DUN.

“Cadangan ini bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan dan tidak tertumpu dalam kalangan ahli Pekawanis sahaja. Insya-Allah bulan depan kita akan turun padang ke beberapa kawasan dan laksanakan program menarik,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada Media Selangor.

Beliau berkata Ziarah Medik turut diadakan bagi menyantuni pesakit terutamanya penghidap buah pinggang dan kanser.

“Program ini bagi menggalakkan penglibatan menyeluruh ahli malah lima biro diwujudkan iaitu Biro Perayaan dan Kebudayaan, Biro Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar, Biro Pendidikan dan Kerohanian, Biro Sukan dan Rekreasi serta Biro Media,” jelasnya.

Pada 15 Ogos lalu, Pekawanis mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini dan dirasmikan Yang Amat Mulia Tengku Putri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Masdiana berharap ahli baharu Pekawanis dapat memberi komitmen terbaik selaras dengan moto iaitu “Sentiasa Peka dengan Kebajikan Rakyat”.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penghuni Rumah Puteri Arafiah siapkan 400 PPE untuk petugas hadapan

SHAH ALAM, 28 MEI: Penghuni Rumah Puteri Arafiah (RPA) berjaya menyiapkan 400 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan lalu.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata PPE terbabit disumbangkan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengawal penularan Covid-19.

“Susulan arahan kerajaan tidak membenarkan rentas negeri, penghuni RPA tidak dapat pulang menyambut raya bersama keluarga. Jadi peluang ini dimanfaatkan untuk tujuan itu selain menyiapkan projek biskut raya,” katanya ketika sesi temu bual dalam talian di program Cendol Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

RPA adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri bawah 21 tahun anjuran Pekawanis yang ditubuhkan sejak Jun 2011 bagi membimbing serta memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan elemen pembangunan modal insan juga rohani.

Sementara itu, isteri Dato’ Menteri Besar memaklumkan Pekawanis akan menjalankan program membantu ibu tunggal secara dalam talian yang sudah dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Isteri MB anggap peluang bersama keluarga hikmah terbesar ketika PKP

SHAH ALAM, 23 APRIL: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar menyifatkan peluang bersama keluarga di rumah antara hikmah terbesar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datin Seri Masdiana Muhamad berkata sebagai suri rumah, beliau meneruskan rutin menyediakan keperluan Dato’ Seri Amirudin Shari dan enam anaknya yang masih bersekolah.

“Melihat sendiri perkembangan keluarga adalah hikmah terbesar. Saya buat pelbagai aktiviti di rumah seperti bersenam dan paling seronok apabila memasak bersama dengan mencuba pelbagai resepi.

“Pernah satu hari anak-anak masak kari dan buat roti canai, walaupun tidak menjadi tetapi habis juga dimakan kerana kita menghargai usaha mereka,” katanya melalui program bual bicara dalam talian bersama Institut Darul Ehsan Selangor hari ini.

Masdiana yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor berkata mereka sekeluarga kerap solat berjemaah dan ada kala anak sulung menjadi imam.

Katanya, anak-anak juga diajar mengaji dan menonton televisyen bersama ketika waktu senggang.

Pada masa sama, Masdiana turut menasihatkan ibu bapa memanfaatkan Selangor Tutor iaitu pembelajaran dalam talian secara percuma yang disediakan Kerajaan Selangor ketika PKP.

“Ibu bapa perlu berani meneroka teknologi seperti ini kerana tidak mustahil suatu hari nanti kita mungkin hanya perlu bekerja dan belajar dari rumah,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Program Pusat Wanita Berdaya perlu ditambah baik ikut masa

SHAH ALAM, 8 MAC: Modul Pusat Wanita Berdaya (PWB) perlu ditambah baik dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan era, kata yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor.

Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program memperkasa wanita perlu dibuat agensi itu secara berterusan supaya golongan tersebut tidak terpinggir serta dapat melibatkan diri dalam semua bidang.

“Dahulu kita terpaksa masuk ke kampung untuk mencari golongan wanita atau ibu sebagai peserta program komuniti ini.

“Namun keadaan telah berubah yang mana kumpulan berkaitan berlumba-lumba menyertai PWB,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Sedekad PWB di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Masdiana turut melancarkan logo PWB sempena sepuluh tahun penubuhan pusat komuniti tersebut.

Beliau berkata wanita adalah tulang belakang negara dan slogan ‘wanita berdaya wanita berdikari’ telah membuahkan hasil selepas sedekad penubuhan PWB.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis beri nafas baharu program tadabbur

SHAH ALAM, 20 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) melancarkan logo sekretariat tadabbur bagi memberi nafas baharu kepada program itu, kata yang dipertuanya.

Masdiana Muhamad berkata pembaharuan program ilham penasihat pertubuhan Datin Seri Shamshida Taharin itu seiring kemajuan negeri dan memberi ruang kepada peserta menghayati kitab Allah.

“Bermula tahun ini, program tadabbur akan diisi dengan ceramah daripada pendakwah terkenal bagi memastikan peserta lebih menjiwai nilai kehidupan Islam,” katanya selepas Majlis Tadabbur Al-Quran dan tazkirah khas sempena tahun baharu di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini.

Hadir sama penaung Pekawanis Yang Amat Mulia Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Program yang semakin dikenali ramai mencatatkan kehadiran 800 peserta hari ini.