Categories
AGENSI SELANGOR

Program Pusat Wanita Berdaya perlu ditambah baik ikut masa

SHAH ALAM, 8 MAC: Modul Pusat Wanita Berdaya (PWB) perlu ditambah baik dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan era, kata yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor.

Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program memperkasa wanita perlu dibuat agensi itu secara berterusan supaya golongan tersebut tidak terpinggir serta dapat melibatkan diri dalam semua bidang.

“Dahulu kita terpaksa masuk ke kampung untuk mencari golongan wanita atau ibu sebagai peserta program komuniti ini.

“Namun keadaan telah berubah yang mana kumpulan berkaitan berlumba-lumba menyertai PWB,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Sedekad PWB di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Masdiana turut melancarkan logo PWB sempena sepuluh tahun penubuhan pusat komuniti tersebut.

Beliau berkata wanita adalah tulang belakang negara dan slogan ‘wanita berdaya wanita berdikari’ telah membuahkan hasil selepas sedekad penubuhan PWB.

Categories
EXCO SELANGOR

Kejayaan Pusat Wanita Berdaya tarik minat negeri lain

SHAH ALAM, 8 MAC: Kejayaan Pusat Wanita Berdaya (PWB) melahirkan wanita berdaya dan berdikari telah menarik minat negeri lain untuk mempelajari program dijalankan agensi berkenaan, kata EXCO pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Selangor adalah negeri pertama yang mempunyai organisasi sebegitu di peringkat komuniti untuk meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad (dua, kanan) bersama Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) dan Rodziah Ismail (dua, kiri) serta Ahli Dewan Negeri Sementa Dr Daroyah Alwi (kiri) memotong pulut kuning sebagai simbolik sedekad Pusat Wanita Berdaya ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“PWB adalah badan pengerak wanita yang diwujudkan di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menawarkan pelbagai modul latihan.

“Malah ia kini menawarkan program kefahaman, latihan, ilmu kepimpinan dan undang-undang dalam bidang politik bagi mereka yang berminat,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Sedekad PWB di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Categories
SELANGOR

Rodziah : Kesaksamaan Gender Perlu Bagi Pembangunan Seimbang

 

SABAK BERNAM 15 OKT: Setiap rakyat tidak kira wanita atau lelaki hendaklah dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, mencapai kesaksamaan gender diantara rakyat merupakan satu perkara penting dalam mencorakkan pembangunan untuk dinikmati oleh semua rakyat di Selangor.

Katanya, kefahaman mengenai gender adalah penting untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik supaya rakyat di Selangor khususnya dapat bergerak ke arah yang lebih baik.

“Apabila kita berbicara mengenai gender ia mestilah berkaitan tentang lelaki dan wanita supaya ianya tidak menimbulkan konflik di masa akan datang dan rakyat akan terus maju bergerak seiiring dalam pembangunan negara.

“Ia turut dapat menghasilkan keadilan kepada semua pihak dimana tiada diskriminasi berlaku diantara lelaki dan perempuan kerana kedua-duanya faham mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Ada Apa Dengan Gender’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pusat Wanita Berdaya(PWB) di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar hari ini.

Kesaksamaan gender katanya, bukan bermaksud keadilan yang diberi sama-rata tetapi mengambil kira keperluan lelaki dan wanita secara adil dan saksama.

“Jika kita ingin menyediakan gymnasium bagi kaum lelaki dan wanita, peralatan di dalamnya semestinya berbeza kerana wanita mempunyai keupayaan yang terhad berbanding lelaki dan pembangunan seimbang perlu diambil kira tanpa melibatkan kerugian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, golongan wanita di negeri ini terus menerima manfaat daripada pelbagai program yang dirancang Kerajaan Negeri seperti Skim Kesihatan Wanita(SKW), Program Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), Pemberdayaan Ekonomi Ibu Tunggal SOHO-Selangor(PET SOHO-S) dan Pusat Wanita Berdaya(PWB).

Categories
SELANGOR

RM 1.33 Juta Untuk Bina Pusat Wanita Berdaya Di Seluruh Selangor

GOMBAK, 7 JULAI : Dalam masa tiga bulan, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor akan mendapat Pusat Wanita Berdaya (PWB) tersendiri bagi meningkatkan taraf socio-ekonomi wanita di seluruh Selangor.

Rancangan ini akan dijayakan dengan peruntukan RM 1.33 juta dari Geran SelangorKu bagi membina 35 PWB baru. Setakat ini Kerajaan Negeri sudah membina 21 PWB di sekitar Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail berkata misi Pemberdayaan Wanita Selangor akan menyaksikan PWB menjadi hub aktiviti wanita yang akan menghubung jalin wanita setempat dan di seluruh Selangor.

“Ia akan menjana kreativiti dan inovasi ke arah meningkat kualiti hidup wanita, keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka,” kata Rodziah di satu majlis penyampaian cek Geran Selangorku untuk PWB berjumlah RM 1.33 juta.

Cek tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini semalam.

Setiap PWB memberi peluang wanita menceburi bidang-bidang kemahiran seperti menjahit, memasak dan membuat kraftangan bagi menjana pendapatan tambahan bagi keluarga mereka.