Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan banding vaksin, terima suntikan demi keselamatan

SHAH ALAM, 9 JUN: Masyarakat dinasihat tidak membandingkan jenis vaksin sama ada Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, kata Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut Dato’ Dr Khalid Ibrahim sebaliknya mereka perlu menerima suntikan dan melengkapkan kedua-dua dos bagi mencapai imuniti kelompok di samping menjaga keselamatan nyawa sendiri dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak.

“Vaksin mana sangat berkesan adalah vaksin yang kamu terima, saya minta anda semua tidak membandingkan jenisnya, yang penting adalah keselamatan nyawa,” katanya menerusi siaran langsung ‘Forum Covid-19: Vaksin Mana Yang Terbaik’ menerusi Facebook malam tadi.

Selain itu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat tidak seharusnya menyebarkan berita palsu yang hanya akan menakutkan segelintir individu untuk menerima vaksin.

“Sebagai contoh, vaksin AstraZeneca sebelum ini ada kes mati di beberapa negara selepas menerima suntikan tersebut. Namun, hakikatnya sekarang apabila kerajaan buka secara sukarela ramai orang berebut untuk dapatkannya.

“Saya menyeru anda semua jangan mengemparkan sesuatu perkara sebaliknya terima apa sahaja vaksin diperoleh,” katanya.

Setakat 6 Jun lalu, seramai 238,474 petugas barisan hadapan serta 248,013 warga emas dan golongan berpenyakit di negeri ini telah menerima satu dos vaksin.

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS catat nilai kompaun RM30,750 larangan merokok

SHAH ALAM, 3 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan 150 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM30,750 sepanjang penguatkuasaan larangan merokok sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, penguatkuasaan telah dijalankan di 562 premis mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Penguatkuasaan serentak telah berjalan di seluruh negeri melibatkan seramai 147 pegawai diberikuasa.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh notis kesalahan itu melibatkan orang belum dewasa dan salah seorang daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun RM250 dan bagi orang belum dewasa adalah RM50,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak 20 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM5,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dengan 18 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan dua notis kerana menyediakan kemudahan merokok.

Dr Khalid berkata, JKNS memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 56 kelahiran bayi Merdeka

SHAH ALAM, 31 OGOS: Seramai 56 bayi selamat dilahirkan hari ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-62 di hospital kerajaan di Selangor, bermula 12 tengah malam sehingga 8 pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, bayi berkenaan dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Selayang dan Hospital Kajang.

“Daripada 56 kelahiran itu terdiri daripada 21 lelaki dan 35 perempuan.

“Tiga daripadanya lahir menerusi pembedahan manakala dua pasangan kembar bayi lelaki berbangsa Melayu selamat dilahirkan di Hospital Selayang dan Kajang,” katanya dalam kenyataan.

Secara jumlah keseluruhan, 45 bayi berbangsa Melayu, tujuh India, dua Cina sementara masing-masing satu Myanmar dan Indonesia.