Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

32 maut akibat denggi sejak Jan, turun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 4 OGOS: Jumlah kematian akibat denggi di Selangor menurun dengan 32 kematian dicatatkan sejak awal Januari hingga 1 Ogos berbanding 36 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sehingga minggu epid (ME) 31 berbanding 44,401 kes tahun lalu.

“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 301 dengan perincian lokaliti panas sebanyak 37, wabak tidak terkawal (28), wabak terkawal (225) dan wabak baru (satu).

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling (12,138), Hulu Langat (6,485), Klang (6,105), Gombak (4,887) dan Sepang (1,896),” kata Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai memastikan tiada bekas atau tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman mereka, selain menggunakan racun pemusnah jentik-jentik.

“Masyarakat juga perlu guna semburan ‘indoor aerosol’ dalam rumah bagi membunuh nyamuk dewasa dan pihak pengusaha bas pengangkutan awam juga disaran melaksanakan semburan sama dalam kenderaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes wabak naik di Kuala Selangor lepas peniaga kunjungi pasar borong KL

SHAH ALAM, 3 MEI: Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan peningkatan kes Covid-19 di Kuala Selangor semalam ada kaitan dengan peniaga yang mengunjungi pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

Menurut portal Malaysiakini, jabatan tersebut membuat pemeriksaan dalam kalangan peniaga dan pemborong di seluruh negeri susulan dua kes positif Covid-19 di pasar Taman Megah dan Jalan Othman di Petaling Jaya.

Sementara itu, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata jangkitan turut membabitkan ahli keluarga peniaga.

Sebanyak 13 kes baharu wabak disahkan di daerah itu semalam, dengan 10 daripadanya di mukim Tanjong Karang manakala selebihnya di mukim Jeram dan Api-Api.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penjejakan kontak kluster pasar borong mendapati kes turut membabitkan peniaga dari luar Selangor hingga ke Bahau, Negeri Sembilan.

Malaysia mencatatkan 105 kes baharu semalam, kenaikan harian tiga digit pertama sejak 16 April.

Categories
SELANGOR

Daerah Gombak, Petaling catat peningkatan kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 26 APRIL: Hanya dua daerah iaitu Gombak dan Petaling merekodkan kenaikan kes Covid-19 di Selangor hari ini dengan jumlah keseluruhan enam kes berbanding satu semalam.

Gombak mencatatkan empat kes manakala dua lagi di Petaling menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,394 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Hulu Langat kekal dengan daerah yang mencatatkan jumlah kumulatif kes tertinggi sebanyak 473 kes dengan 85 daripadanya aktif serta tiga kematian.

Di Sepang pula 71 kes kumulatif dicatatkan Hulu Selangor 50 kes, Kuala Selangor (35) Kuala Langat (32) dan Sabak Bernam terendah dengan 23 kes.

Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan terdapat 230 kes aktif manakala 1,134 kes sembuh dan kekal dengan 17 kematian.

Bagi kes rakyat Malaysia pulang dari luar negara dan kuarantin di Selangor pula kekal 13 kes keseluruhan dengan 10 kes dari Indonesia dan bakinya dari Turki.

 

 

Categories
SELANGOR

Dua restoran kotor, ada tikus ditutup

SHAH ALAM, 28 FEB: Jabatan Kesihatan Selangor menutup dua restoran di daerah Klang kerana beroperasi dalam persekitaran kotor serta terdapat kehadiran tikus dan lipas, kata pengarahnya.

Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata arahan penutupan selama dua minggu dibuat mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 ketika Ops Aduan Premis Makanan di kawasan berkenaan pada 19 Februari lalu.

“Tiga premis makanan diperiksa dan dua daripadanya diarah tutup. Pemilik diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam operasi sama, katanya, sebuah lagi premis diberi empat notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana menggaji pekerja yang tiada latihan pengendali makanan, gagal mengekalkan kebersihan premis dan tong sampah tidak bertutup.

“Premis itu mempunyai tahap penilaian lebih 65 peratus dan empat notis kesalahan dikeluarkan di bawah peraturan sama iaitu Peraturan 11(1)(b) (menggaji pekerja tiada latihan pengendali makanan) serta 32(1)(b) (pekerja tidak memakai apron dan kasut),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 56 kelahiran bayi Merdeka

SHAH ALAM, 31 OGOS: Seramai 56 bayi selamat dilahirkan hari ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-62 di hospital kerajaan di Selangor, bermula 12 tengah malam sehingga 8 pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, bayi berkenaan dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Selayang dan Hospital Kajang.

“Daripada 56 kelahiran itu terdiri daripada 21 lelaki dan 35 perempuan.

“Tiga daripadanya lahir menerusi pembedahan manakala dua pasangan kembar bayi lelaki berbangsa Melayu selamat dilahirkan di Hospital Selayang dan Kajang,” katanya dalam kenyataan.

Secara jumlah keseluruhan, 45 bayi berbangsa Melayu, tujuh India, dua Cina sementara masing-masing satu Myanmar dan Indonesia.

Categories
SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor rampas produk kosmetik RM6.2 juta

SHAH ALAM, 27 MAC: Jabatan Kesihatan Selangor berjaya merampas pelbagai produk kosmetik yang tidak didaftarkan dianggarkan bernilai RM6.2 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang, di Klang, dekat sini kelmarin.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, serbuan di sebuah gudang yang menyediakan khidmat logistik di Taman Perindustrian Air Hitam, pada 11 pagi Isnin itu dijalankan oleh enam orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor selepas mendapat aduan orang awam.

“Dalam serbuan ini, sebanyak 28 jenis produk kosmetik yang diimport dari negara jiran dan tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM6.2 juta tdirampas.

“Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM melalui www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kematian akibat virus Nipah palsu

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Jabatan Kesihatan Selangor menafikan penularan mesej berlaku kematian ekoran jangkitan virus Nipah yang dikaitkan dengan bungkusan makanan daun pisang.

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung mesej yang tersebar luas itu dan mendapati ia tidak benar.

“Berdasarkan pemantauan notifikasi diterima, tiada kes atau kematian diterima Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia membabitkan penyakit atau kejadian keracunan makanan yang disyaki daripada penggunaan daun pisang atau kes disyaki menghidap jangkitan virus Nipah,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita atau mesej yang belum tentu kesahihannya.

“Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan berita tidak tepat tanpa mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa seorang wanita mengalami sesak nafas dan meninggal dunia selepas memakan nasi dibungkus menggunakan daun pisang yang disyaki mempunyai virus Nipah, di Rawang, baru-baru ini.

Categories
SELANGOR

Denggi: 3 kawasan catat kes tertinggi hingga 21 Februari

Oleh: MARNIZA OTHMAN

SHAH ALAM, 4 MAC: Daerah Hulu Langat, Gombak dan Sepang mencatat jumlah kes denggi tertinggi sehingga 21 Febuari lalu.

denggi editBerdasarkan laporan laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Hulu Langat tertinggi dengan 387 bilangan kes, 326 di Gombak dan Sepang 315 kes.

Manakala, Hulu Selangor (155), Kuala Selangor (40), Kuala Langat (36), Klang (29) dan Sabak Bernam (14).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.jknselangor.moh.gov.my/ untuk mengetahui lanjut perkembangan terkini kes di sekitar Selangor.

-NFN-

 

Selangor anjur program latih belia baik pulih kapal terbang – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 14102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bersempena sambutan Aidiladha pada masa akan datang,beberapa bentuk sumbangan sedang dipertimbang Kerajaan Selangor bagi membantu masyarakat Islam yang memerlukan.

2. Kerajaan Negeri akan menganjurkan program latihan penyelengaraan dan baik pulih peralatan mekanikal kapal terbang kepada golongan belia di luar bandar.

3. Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau peningkatan wabak denggi yang semakin meningkat di Selangor.