Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Elak perpecahan, umat Islam perlu tunjuk teladan baik

SHAH ALAM, 1 SEPT: Umat Islam perlu menunjukkan teladan baik kepada masyarakat bukan Islam dan meraikan kepelbagaian yang ada di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama serta latar belakang bagi mengelak berlaku perpecahan.

Tokoh Maal Hijrah Selangor 1441H, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, beliau mempersetujui saranan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya bahawa umat Islam seharusnya menunjukkan sikap toleransi dalam kehidupan bermasyarakat.

Katanya, saranan itu sama sekali tepat terutama ketika suasana negara pada masa kini yang dihimpit pertelingkahan dan perselisihan sesama kaum.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk kita menunjukkan teladan baik dan hormati antara satu sama lain.

“Daripada sekecil-kecil kesilapan, kita perlu mengutamakan kesamaan yang boleh dikongsikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H Selangor ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada masa sama, katanya, sebagai sebuah negeri berbilang bangsa rakyat termasuk umat Islam perlu menghormati antara satu sama lain ekoran perkara itu sememangnya dituntut Allah dan Rasulullah SAW.

“Walaupun kita berlainan agama mahupun berbeza fahaman politik, hubungan itu perlu dalam memajukan sesebuah negeri dan negara,” katanya yang juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo.

Terdahulu, pada majlis sama, Mohamad Adzib menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mewakili ayahandanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Categories
SELANGOR

Jangan biarkan kenderaan halang lalu lintas pada solat Jumaat

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 8 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan semua pihak khususnya umat Islam di Selangor supaya bertolak ansur dan bertimbang rasa dalam setiap perbuatan termasuk ketika menunaikan solat Jumaat supaya insiden kekecohan seperti yang tular di laman sosial tempoh hari tidak berulang.

Pengerusinya, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pengguna kenderaan terutamanya yang mendirikan solat Jumaat perlu meletakkannya secara tertib tanpa mengganggu kelancaran lalu lintas.

“Semua orang kena bertolak ansur dan menjaga disiplin. Sebagai orang beriman dan bersolat, jangan meletakkan kereta sesuka hati, letakkan di tempat yang betul.

PAKIR SOLAT“Saya perhatikan kadang-kadang ramai orang tidak kisah dan meletakkan kereta hingga menghalang orang. Perkara ini bukan tertakluk kepada umat Islam atau bukan Islam sahaja, tetapi semua sama dalam menjaga akhlak,” katanya.

Menurutnya, sebagai umat Islam seharusnya akhlak dan sikap toleransi yang baik ditunjukkan tambahan selepas menunaikan solat Jumaat

“Masing-masing kena hormat. Kita kena jaga diri dahulu sebelum orang hormat kita,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Modul Istitabah langkah benteras masalah akidah

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 8 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan ‘Modul Istitabah Majlis Agama Islam Selangor’ untuk digunakan ke atas pesalah akidah yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah.

Pengerusi MAIS, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, modul ini turut menyediakan khidmat sokongan pasca pemulihan bagi memastikan akidah para pesalah terus kekal dengan Islam.

“Modul ini merupakan bahan rujukan secara teori dan praktikal dibangunkan bertujuan memulihkan pesalah akidah khususnya di Selangor melalui beberapa proses bermula Saringan Klinikal, Saringan Kerohanian Islam dan Pengurkuran Tahap Riddah,” katanya.

CP2A4743-1280x853Modul yang dirasmikan sendiri Mohamad Adzib di Hotel Aliya ini terhasil atas kerjasama Jawatankuasa Al-Riqab MAIS, Ketua-ketua Panel Penggubal Modul Istitabah dan Ahli Jawatankuasa Penilai Istitabah.

Katanya, modul ini boleh digunakan untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan kesalahan akidah dan mencemarkan agama Islam dibawah seksyen yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Menurutnya, modul ini terbukti berkesan selepas dipraktikkan kepada Abdul Kahar Ahmad yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Rasul Melayu’ semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 2 Mac 2015 sehingga 25 Ogos 2015.

“Beliau (Abdul Kahar) menunjukkan respon positif terhadap modul digunakan serta menunjukkan tanda sudah insaf.

CP2A4686-1280x853“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 16 Disember 2016 memutuskan Abdul Kahar Ahmad tidak lagi mengamal ajaran salah dan telah bertaubat pada 16 Mei 2016,” katanya.

Bagi pelatih yang disabitkan kesalahan bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 pula, mereka akan ditempatkan di penjara atau Pusat Pemulihan Akidah Baitul Iman berdasarkan kepada perintah mahkamah.

Ujar beliau, MAIS mengharapkan modul ini menjadi panduan kepada seluruh Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam di seluruh Malaysia bagi memulihara kesucian Islam di samping membimbing umat Islam untuk terus istiqamah serta kekal dengan ajaran Islam.

Kesalahan akidah dan mencemarkan kesucian Islam dalam Enakmen Jenayat Syariah Selangor 1995 adalah seperti berikut:

  •  Seksyen 5; Mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan
  •  Seksyen 6; Takfir
  •  Seksyen 7; Doktrin Palsu
  •  Seksyen 8; Dakwaan Palsu
  •  Seksyen 9; Mempersendakan ayat al-Quran dan Hadis
  •  Seksyen 10; Menghina atau menyebabkan dipandang hina Agama Islam
  •  Seksyen 11; Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat
  •  Seksyen 61 (3)(X); Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.