Categories
BERITA UTAMA

Bekas pengerusi SPR kini ketuai Mais, ganti Mohammed Khusrin

SHAH ALAM, 30 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baharu kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkuat kuasa 1 Januari ini menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Setiusaha Mais berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut melantik 20 anggota majlis termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-undang, Datuk Salim Soib@Hamid dan Pegawai Kewangan, Datuk Nor Azmie Diron bagi sesi 2021-2023.

Katanya, lantikan juga dibuat kepada Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan bekas Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Mazlan Mansor.

“Tiga anggota Mais iaitu Tan Sri Hashim Meon, Tengku Datuk Ardy Esfandiari Alhaj Tengku Abdul Hamid Alhaj dan Datuk Mohd Effendi Abdullah dilanjutkan pelantikan mereka.

“Ketua polis Selangor turut dilantik namun ketika ini jawatan berkenaan masih belum diisi manakala bilangan selebihnya adalah dari kalangan ahli sebelum ini,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Penerima watikah pelantikan bersama selepas istiadat pengurniaan watikah pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor bagi sesi 2021 – 2023 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 30 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu Sultan Sharafuddin menyempurnakan watikah pelantikan itu di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Dr Ahmad berkata, dalam majlis sama Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 11 Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (ALPA LZS) sesi 2021-2023 diketuai Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Katanya, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pula dilantik sebagai timbalan pengerusi ALPA LZS.

“Pelantikan ini mengikut kelulusan Mais dan perkenan Sultan Selangor. Baginda berkenan melantik Mohamed Khalid Share@Shaii sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berkuat kuasa 16 Disember lalu dan semoga ia dapat mengukuhkan lagi tadbir urus hal ehwal Islam seterusnya memacu kemajuan ummah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Modul Istitabah langkah benteras masalah akidah

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 8 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan ‘Modul Istitabah Majlis Agama Islam Selangor’ untuk digunakan ke atas pesalah akidah yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah.

Pengerusi MAIS, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, modul ini turut menyediakan khidmat sokongan pasca pemulihan bagi memastikan akidah para pesalah terus kekal dengan Islam.

“Modul ini merupakan bahan rujukan secara teori dan praktikal dibangunkan bertujuan memulihkan pesalah akidah khususnya di Selangor melalui beberapa proses bermula Saringan Klinikal, Saringan Kerohanian Islam dan Pengurkuran Tahap Riddah,” katanya.

CP2A4743-1280x853Modul yang dirasmikan sendiri Mohamad Adzib di Hotel Aliya ini terhasil atas kerjasama Jawatankuasa Al-Riqab MAIS, Ketua-ketua Panel Penggubal Modul Istitabah dan Ahli Jawatankuasa Penilai Istitabah.

Katanya, modul ini boleh digunakan untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan kesalahan akidah dan mencemarkan agama Islam dibawah seksyen yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Menurutnya, modul ini terbukti berkesan selepas dipraktikkan kepada Abdul Kahar Ahmad yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Rasul Melayu’ semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 2 Mac 2015 sehingga 25 Ogos 2015.

“Beliau (Abdul Kahar) menunjukkan respon positif terhadap modul digunakan serta menunjukkan tanda sudah insaf.

CP2A4686-1280x853“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 16 Disember 2016 memutuskan Abdul Kahar Ahmad tidak lagi mengamal ajaran salah dan telah bertaubat pada 16 Mei 2016,” katanya.

Bagi pelatih yang disabitkan kesalahan bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 pula, mereka akan ditempatkan di penjara atau Pusat Pemulihan Akidah Baitul Iman berdasarkan kepada perintah mahkamah.

Ujar beliau, MAIS mengharapkan modul ini menjadi panduan kepada seluruh Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam di seluruh Malaysia bagi memulihara kesucian Islam di samping membimbing umat Islam untuk terus istiqamah serta kekal dengan ajaran Islam.

Kesalahan akidah dan mencemarkan kesucian Islam dalam Enakmen Jenayat Syariah Selangor 1995 adalah seperti berikut:

  •  Seksyen 5; Mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan
  •  Seksyen 6; Takfir
  •  Seksyen 7; Doktrin Palsu
  •  Seksyen 8; Dakwaan Palsu
  •  Seksyen 9; Mempersendakan ayat al-Quran dan Hadis
  •  Seksyen 10; Menghina atau menyebabkan dipandang hina Agama Islam
  •  Seksyen 11; Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat
  •  Seksyen 61 (3)(X); Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.