Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Henti tugas LRA Sungai Semenyih bukan terburuk tahun ini

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri menepis dakwaan penutupan berulang kali Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sepanjang 2019 antara yang terburuk berbanding tahun sebelumnya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata henti tugas itu kebanyakan berpunca daripada pencemaran bau di sumber air mentah berkenaan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebenarnya tidaklah terlalu banyak penutupan loji kerana berdasarkan rekod, sekitar empat hingga lima kali berbanding tahun-tahun sebelum ini, cuma tahun ini disebabkan laporan (pencemaran bau).

“Bagaimanapun, kita tidak harus culas dan menyediakan pelan terbaik bagi mengatasi masalah ini daripada terus berulang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penamat Peringkat Akhir dan Penyarungan Jersi Tour De Selangor 2019 di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

Amirudin mengulas insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih yang berpunca daripada Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium Bandar Bukit Mahkota, semalam yang 336,930 akaun pengguna.

Pada masa sama beliau memaklumkan sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang untukbertindak termasuk mengehadkan laluan di kawasan loji olahan air sisa kumbahan terbabit.

“Kawasan itu akan dipantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebaik kita memulakan projek (pemasangan CCTV) pada 2020 dengan harapan dapat menangani segera insiden seperti ini.

“Paling penting bukan masalah air kerana setiap masa (air) dapat disalurkan, tetapi pencemaran bau yang mengalir di sungai akan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,500 pelajar DUN Sungai Tua terima bantuan sekolah

GOMBAK, 21 DIS: Lebih 1,500 pelajar di DUN Sungai Tua menerima beg sekolah sempena program Kembali Ke Sekolah sesi 2020 tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diagih secara berperingkat mengikut kawasan ditetapkan yang akan selesai sebelum berakhirnya 2019.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa terutama pada hujung tahun yang memerlukan banyak wang untuk menyiapkan persiapan sekolah anak.

“Justeru, saya yakin sumbangan beg sekolah ini dapat meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan lain,” katanya pada program itu di Dewan Rakyat Batu Caves di sini hari ini.

Mashitah Mohd Ali. Foto HAFIZ OHTMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, salah seorang penjaga, Mashitah Mohd Ali, 47, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan beg sekolah berkenaan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri. Peruntukan untuk beli beg sekolah boleh digunakan untuk membeli kelengkapan lain atau bayar yuran,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Nursyahida Yahya, 39, menzahirkan kesyukuran apabila Kerajaan Negeri sudi memberi sumbangan yang membantu meringankan beban ibu dan bapa.

“Saya ada lima orang anak, justeru sumbangan ini dapat meringankan beban saya dan suami yang memerlukan wang lebih bagi mempersiapkan kelengkapan anak kami,” katanya.

Dharshana Pannirselvam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Seorang pelajar, Dharshana Pannirselvam, 12, yang menerima bantuan itu amat gembira dan lebih bersemangat memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Terima kasih dan saya berharap Kerajaan Negeri meneruskan pemberian bantuan kepada rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Raih kecemerlangan, terap nilai murni

GOMBAK, 21 DIS: Bukan hanya fokus meraih keputusan cemerlang, sekolah juga perlu dijadikan medium menerapkan nilai sivik dalam diri pelajar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata nilai itu antaranya menjaga kebersihan dan menghormati jiran tetangga bagi membentuk generasi matang, maju serta melahirkan komuniti damai.

“Salah satu cita-cita Kerajaan Negeri ingin melihat bidang pendidikan dan kehidupan masyarakat kita berubah yang penting kepada diri, komuniti, keluarga, negeri dan negara.

“Sebab itu saya kata sekolah bukan hanya untuk mendapat keputusan 8A atau 10A tetapi tempat membentuk generasi masa depan supaya mereka (pelajar) boleh menjadi manusia,” katanya pada Program Kembali Ke Sekolah 2020 anjuran DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut memuji inisiatif Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang bersetuju memasukkan nilai sivik dalam subjek Pendidikan Islam dan Moral.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan dana yang besar dalam sektor pendidikan demi memastikan bidang ini terus diperhebat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB galak penjawat awam aktif bersukan

SHAH ALAM, 20 DIS: Penjawat awam disaran untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan dalam memastikan fizikal dan mental mereka kekal sihat, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti kerja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana aktif bersukan mampu mengatasi masalah obesiti penyebab kepada pelbagai penyakit berbahaya antaranya serangan jantung, kencing manis dan darah tinggi.

“Bagi penjawat awam, kesihatan dan kecergasan adalah suatu yang penting selain ia adalah faktor melaksanakan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih efisyen, inovatif, kreatif dan produktif.

“Penjawat awam tidak bersukan atau yang kerap sakit pastinya akan gagal menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai dengan lebih efisien,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan gimik Pelancaran Buletin Sukan PETANDA 2019 ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) Kali Ke-13 2019, di Ideal Convention Centre Shah Alam di sini, malam tadi.

Ketika menyentuh penganjuran Kejohanan Sukan PETANDA Ke-13 2019, Amirudin berkata, kegiatan seperti ini mampu menjalin kerjasama erat kakitangan dan meningkatkan persefahaman walaupun bertugas di daerah berlainan.

Amirudin juga menyampaikan penghargaan kepada tuan rumah kejohanan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat di atas kejayaan penganjuran kali ini.

Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat diumumkan juara keseluruhan bagi Sukan PETANDA edisi ke-13 ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Dalam kejohanan membabitkan 14 kategori menerusi 10 acara sukan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat muncul juara keseluruhan diikuti Pejabat Tanah dan Galian Selangor di tempat kedua.

Manakala Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, dua wakil kontinjen Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Rumzi Ngahton dan Norliza Razali masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan serta olahragawati kejohanan kali ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua minggu kutipan premium melonjak kepada RM1.088 bilion

SHAH ALAM, 20 DIS: Hanya dalam tempoh dua minggu seluruh Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) berjaya meningkatkan kutipan premium daripada RM1.066 bilion kepada RM1.088 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pertambahan RM22 juta dalam tempoh singkat itu berjaya mengatasi sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri bagi 2019.

“Bagi 2019, jumlah kutipan premium dikutip semua Pejabat Daerah dan Tanah sehingga 30 November adalah 99.6 peratus iaitu RM1,066,412,067.01, ia adalah pencapaian menghampiri 100 peratus daripada yang ditetapkan tahun ini.

“Sebentar tadi, Pengarah PTGS, Dato’ Zulkefli Khalid baru menjelaskan kutipan sehingga hari ini RM 1,088,000,000 dan ini bermakna bahawa tuan puan berjaya mencatatkan 101 peratus daripada sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan gimik Pelancaran Buletin Sukan PETANDA 2019 ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor Ke-13 2019, di Ideal Convention Centre Shah Alam di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Zulkefli dan Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim.

Amirudin menyifatkan Pejabat Daerah dan Tanah serta PTGS sebagai jentera pengutip hasil utama bagi Selangor di mana 80 peratus kutipan ini adalah bersumberkan pejabat terbabit.

Katanya, pencapaian ini membantu mengekalkan kestabilan kewangan seterusnya mengorak langkah menuju hala tuju seperti digariskan Kerajaan Negeri.

“Saya amat berharap, pada 2020, semua Pejabat Daerah dan Tanah serta PTGS terus mengekalkan kecemerlangan ini, terus bergerak ke depan bagi memastikan hasil premium negeri ini dapat dikutip sebaik dan setinggi mungkin agar hasil-hasil ini dapat dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amirudin dianugerah Ijazah Kedoktoran Kehormat Kepimpinan

PUTRAJAYA, 19 DIS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kepimpinan daripada Universiti Lim Kok Wing di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan Pengasas dan Presiden Universiti Lim Kok Wing, Tan Sri Dato’ Sri Paduka Dr Lim Kok Wing, sempena majlis konvokesyen institusi pengajian tinggi berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Amirudin dalam ucapannya melahirkan rasa syukur atas penganugerahan itu dan berbangga terhadap pencapaian pelajar serta universiti terbabit.

“Hari ini sangat istimewa dan penting dalam sejarah pelajar yang berjaya menamatkan pengajian. Saya berbesar hati berada di sini bersama anda yang akan menjadi ketua industri dan pemimpin masa depan,” katanya.

Turut hadir Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah.

Dalam majlis berkenaan, lebih 1,000 graduan dari 67 negara di universiti berkenaan menerima diploma dan ijazah dalam bidang masing-masing.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan selesai isu 27 lot tanah Kampung Indian Settlement

BATU CAVES, 15 DIS: Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan 27 lot tanah melibatkan penduduk Kampung Indian Settlement di sini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kesemua mereka terdiri daripada penduduk menetap di tepi sungai dan akan dipindahkan ke penempatan baharu yang telah disiapkan.

“Isu berkaitan Kampung Indian Settlement ini sebenarnya adalah perkara lama sejak saya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves dan selesai pada 2009, namun ianya tidak dapat mengikut pelan asal memandangkan terdapat sebahagian penduduk yang tinggal di tepi sungai.

“Kerajaan Negeri berusaha membantu penduduk kerana sebelum ini mereka menghadapi kecelaruan tanah lot yang bercampur serta tidak disusun dengan baik.

“Alhamdulillah, sekarang masalah ini sudah diatasi dan saya jangkakan ianya akan selesai dalam tempoh setahun lagi, setelah itu kita akan memulakan pembinaan jalan utama untuk kemudahan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan beg sekolah sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin yang juga ADN Sungai Tua berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri berkenaan di sini, hari ini.

Untuk rekod, kampung terbabit antara penempatan tradisi penduduk India di Parlimen Gombak.

Categories
SELANGOR

Gembira terima beg sekolah percuma dari MB

BATU CAVES, 15 DIS: Kira-kira 100 pelajar India dari Kampung Indian Settlement berasa gembira apabila menerima beg sekolah percuma daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Salah seorang daripada mereka, G Sharvien, 12, berkata, ia adalah hadiah pertama diterimanya sebelum memulakan sesi persekolahan sebagai pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang di sini.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana tidak melupakan kami, saya sangat gembira kerana beg lama sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Bila dapat beg baharu, saya pasti lebih bersemangat untuk ke sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

G Sharvien, 12, gembira menerima beg sekolah percuma dari Dato’Seri Amirudin Shari sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sementara itu, K Thamil Maran, 39, berkata, beliau bersyukur kerana dua anaknya berusia lapan dan lima tahun menerima beg sekolah percuma.

Katanya, pemberian disampaikan Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, sekali gus mengurangkan bebanan untuk membeli peralatan sekolah buat anak-anak berikutan dirinya sudah tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Syarikat tempat saya bekerja, baharu sahaja ditutup, apabila ada bantuan sebegini saya sangat gembira. Anak-anak juga akan belajar dengan lebih baik dan bersemangat dengan barangan baharu.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan juga persatuan setempat yang tidak melupakan kami,” katanya.

Kedua mereka ditemui ketika Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di sini, hari ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peserta PTRS dapat makanan tengah hari percuma

BATU CAVES, 15 DIS: Prihatin dengan kebajikan pelajar yang bakal menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menjelang 2020, Kerajaan Negeri akan menyediakan makanan tengah hari secara percuma buat mereka, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, pendekatan itu dilaksana kerana beliau tidak mahu anak-anak yang berada di sekolah sehingga lewat petang, tidak mendapat khasiat makanan secukupnya.

Katanya, pemberian itu sekali gus dijangka mampu mengurangkan kos tambahan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Sebelum ini ketika PTRS dijalankan, ada ibu bapa dari keluarga kurang berkemampuan memaklumkan mereka terpaksa menambah kos makan tengah hari sekiranya anak-anak berada di sekolah sehingga lewat petang.

“Maka menjelang tahun depan, mereka tidak perlu risau lagi akan perkara itu dan anak-anak juga akan belajar dengan lebih tenang serta selesa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di sini, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada program itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada 100 pelajar India.

Terdahulu, menerusi Belanjawan #Selangor 2020, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM10 juta diperuntukkan buat PTRS melalui pendanaan khusus Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor.

Pada 13 November lalu, Amirudin turut memaklumkan PTRS akan membantu pelajar sekolah yang tercicir dalam akademik kerana terpaksa bekerja.

Menurut rekod, 183 pelajar sekolah menengah tidak meneruskan pengajian kerana perkara berkaitan.

“PTRS boleh dilaksana pada waktu fleksibel tertakluk kepada masa ditetapkan sekolah masing-masing.

“Di samping itu, program ini juga dilaksana kepada pelajar berasal daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fokus program manfaat rakyat selari kemajuan negeri

KLANG, 15 DIS: Selangor merangka pelbagai program untuk manfaat rakyat bagi memastikan tiada golongan tercicir selari kemajuan pesat negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sesuai dengan tema Selangor Maju Bersama, usaha itu menjadikan negeri ini unggul, sekali gus memartabat kehidupan rakyat.

“Seperti yang selalu disebut sebagai keajaiban Hari Natal, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa kepada mereka yang kurang upaya dan kepedulian kepada alam sekitar.

“Banyak lagi polisi lain seperti penubuhan Majlis Tindakan OKU Selangor, program Anak Istimewa Selangor atau AnIS dan program mesra warga emas berjumlah RM20 juta serta kesukarelawan hijau
atau ‘green volunteerism’ juga “Friends of River,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Krismas peringkat Selangor 2019 di Perkarangan Pusat Borong Beli Belah GM Klang, di sini malam tadi.

Dato’ Seri Amiruddin Shari menyampaikan sumbangan kepada wakil rumah ibadat bukan islam (Kristian) ketika Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di GM Klang, Klang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata Selangor juga terus mengorak langkah dengan menginstitusikan beberapa polisi proekonomi seperti Dasar Kelulusan 100 Hari yang bakal mempermudah urusan merancang dan membangunkan tanah.

Katanya pentadbiran negeri berani mengambil langkah proaktif dengan pengenalan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bagi menyemarakkan “gig economy” buat anak muda yang mahu menceburi bidang berkenaan.

“Untuk yang baru mahupun yang sudah berniaga, banyak peluang serta wahana disediakan bagi mereka mempertingkatkan kemahiran melalui program TVET seperti IKTISASS di Kolej INPENS serta
memperkembang perniagaan mereka melalui kemudahan modal mikrokredit daripada Yayasan HIJRAH.

“Ini semua bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi yang terbaik buat rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian kepada aspek keselamatan seperti dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2020.

“Pentadbiran ini bakal mengupayakan pengawasan yang lebih baik dengan pemasangan 5,000 unit kamera litar tertutup di seluruh Selangor.

“Malah, barisan penguat kuasa kita di pihak berkuasa tempatan turut dipertingkatkan kualiti menjadi Polis Bantuan seramai 180 anggota sebagai permulaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Kasih sayang, keharmonian resipi kejayaan negara

KLANG, 15 DIS: Hubungan persaudaraan, kasih sayang dan keharmonian antara keluarga juga masyarakat menjadi tunjang kejayaan negara ini selama lebih 62 tahun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedamaian itu perlu dipertahan selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74, pada 11 Disember lalu.

“Tidak dinafikan, kesenjangan ekonomi yang berjaya dirapatkan sangat membantu dalam pembinaan bangsa.

“Untuk itu, penting untuk digerakkan langkah yang perlu di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Krismas peringkat Selangor 2019 di Perkarangan Pusat Borong Beli Belah GM Klang, di sini malam tadi.

Amirudin berkata bertepatan dengan sambutan Krismas, Jesus Christ juga pernah berpesan supaya sentiasa menjaga yang sakit, memberi makan kepada yang lapar dan mengalukan tetamu tanpa mengira latar belakang.

“Seperti yang dinukil dalam Injil Matthew 7:12 dan juga Luke 6:31, pesan untuk “melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” menjadi tema besar apa yang dipanggil sebagai Golden Rule (Peraturan Emas) dalam perkembangan moral dan etika.

“Malah, untuk umat di Malaysia yang rata-ratanya Muslim, tidaklah janggal nasihat sebegitu apabila ia seiring sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan SEA: Atlet Selangor sumbang emas bakal terima insentif

SHAH ALAM, 15 DIS: Atlet Selangor yang menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-30 baru-baru ini bakal menerima ‘durian runtuh’ dijangka pertengahan bulan hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif dijangka RM3,000 hingga RM5,000 itu diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor untuk diberikan kepada atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang pada temasya dwitahunan itu.

“(Peruntukan insentif) Memang kita telah tetapkan tiga ke empat tahun lepas untuk diberi kepada mana-mana atlet Selangor yang menyumbang pingat emas sama ada dalam Sukan Olimpik, Sukan Asia mahupun Sukan SEA.

“Insentif berkenaan umpama sokongan kepada para atlet terlibat kerana daripada 56 pingat emas diraih kontinjen negara, 26 daripadanya disumbang oleh atlet negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Sweat and Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi’ anjuran Kumpulan Karangkraf di sini, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA di Filipina dengan meraih 56 pingat emas, 58 perak, dan 71 gangsa.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan atlet negeri ini yang menyumbangkan sebahagian besar pingat emas kepada negara dalam kejohanan sukan berkenaan.

Baginda turut berharap kejayaan pada temasya sukan itu akan terus menjadi inspirasi kepada para pegawai, atlet serta MSN Selangor.

Ditanya mengenai pasukan bola sepak Selangor yang dikatakan telah ‘diswastakan’ susulan penggabungannya dengan PKNS FC, Amirudin menjelaskan skuad Red Giants masih mewakili negeri ini.

“Ini kerana 50 peratus saham pasukan itu dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan lain-lain anak syarikat akan ditentukan oleh kerajaan negeri.

“Ada juga saham daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), selebihnya (pemilikan saham) daripada orang perseorangan.

“Formula itu akan kekal dan dilihat boleh melonjakkan pasukan Selangor pada saingan liga akan datang menerusi pengurusan dan pentadbiran yang baik serta profesional,” katanya.

-BERNAMA