Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi restoran, kedai serbaneka dibenar hingga 12 malam mulai esok

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan membenarkan premis perniagaan seperti restoran dan kedai serbaneka dibuka dari 6 pagi hingga 12 tengah malam bermula esok.

Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

Selain itu beliau berkata kedai runcit, pasar mini dan stesen minyak juga dibenarkan beroperasi dalam tempoh sama.

“Keputusan ini juga berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamtan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan pekerja lengkap divaksin.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP), pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.

Kelonggaran diberikan itu adalah kepada semua negeri tanpa mengira fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri angkat sumpah perdana menteri ke-9

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, kira-kira pukul 2.20 petang.

Ismail Sabri mengangkat sumpah pada pukul 2.28 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ismail Sabri, 61, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Upacara itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Turut hadir empat anak dan menantu Ismail Sabri iaitu Datin Nina Sabrina dan suaminya Datuk Jovian Mandagie, Gadaffi, Nashriq dan isterinya Aiman Shaheerah Faeiz, serta Iqbal.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang benar rentas negeri jumpa keluarga jarak jauh

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pasangan dan ibu bapa jarak jauh yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19, mungkin akan dibenarkan merentas negeri untuk bertemu keluarga mereka, melalui kelonggaran yang akan diumumkan kerajaan nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran bertemu keluarga jarak jauh adalah antara perkara yang sedang diperhalusi untuk dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Katanya beliau mengambil berat terhadap komen-komen netizen di media sosial, yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dari anak-anak, kerana larangan merentas negeri.

“Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN). InsyaAllah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini, bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula, lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia. Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama,” katanya melalui satu kemas kini dalam laman Facebooknya di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara, serta akan diumumkan dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP dilanjut hingga 18 Februari, SOP diperketat

SHAH ALAM, 2 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadual tamat pada Khamis dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Menteri kanan keselamatan berkata pelaksanaan arahan dengan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita akan teruskan PKP dengan SOP lebih ketat sebagai contoh perlu dihadkan orang ramai masuk ke pasar raya bagi mengelak perkumpulan besar,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan semula PKP bermula 13 Januari lalu berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 dan kewujudkan kluster baharu.

Malaysia mencatatkan lebih 5,000 kes Covid-19 dalam tempoh tiga hari berturut-turut bermula 29 Januari. Kes tertinggi dicatatkan pada 30 Januari lalu iaitu sebanyak 5,728 kes.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Polis tahan 249 individu, 132 gagal patuh penjarakan fizikal

SHAH ALAM, 19 DIS: Polis menahan 249 individu atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 248 individu dikompaun manakala seorang direman.

Beliau berkata 132 individu dikesan gagal mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (63) dan gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran pelanggan (54).

“Tugas pencegahan operasi pematuhan yang diketuai polis membuat 47,811 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,777 pasukan pematuhan membabitkan 12,489 anggota membuat pemantauan di 3,549 pasar raya; 4,761 restoran; 1,794 penjaja; 1,141 kilang; 3,321 bank dan 548 pejabat kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 962 terminal pengangkutan darat; 245 terminal pengangkutan air dan 111 terminal pengangkutan udara turut dipantau.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum putuskan PKPD di Lahad Datu, Tawau

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan belum menetapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lahad Datu dan Tawau, Sabah susulan penularan jangkitan Covid-19 setakat ini terkawal.

Menteri kanan (keselamatan) berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 3,981 individu dengan 331 kes positif di Tawau manakala 89 individu positif menerusi saringan 1,421 di Lahad Datu sehingga semalam.

“305 daripada 331 kes positif di Tawau merupakan banduan manakala 86 daripada 89 kes sama di Lahad Datu pula OKT (orang kena tahan) di lokap,” kata Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan KKM akan membuat saringan secara bersasar melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu.

Selain itu, kementerian itu juga mengenal pasti lokasi terlibat dengan Kluster Benteng Lahad Datu dan Kluster Laut antaranya mukim Sri Tanjung (tujuh lokasi), mukim Wallace Bay (satu lokasi) dan mukim Merotai (enam lokasi).

Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara dan KKM turut mengenal pasti pusat kuarantin akan digunakan sama seperti pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

“Satu blok di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu dijadikan pusat kuarantin berisiko rendah,” katanya.