Categories
NASIONAL

MTNg tumpu empat projek utama berkait air Kelantan

 

KOTA BHARU, 9 JUL: Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan menerusi mesyuarat kali keduanya hari ini memberi tumpuan kepada empat isu utama membabitkan pengurusan sumber air seperti banjir dan keperluan air bersih di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, empat perkara yang telah diteliti itu ialah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), projek pembinaan Empangan Lebir, projek hidroelektrik di Nenggiri dan projek Skim Bekalan Air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Condong, Machang.

“Kita telah meneliti empat kertas kerja penting itu bagi memastikan Kelantan terus dibangunkan secara mampan dan inklusif selaras dengan gagasan kemakmuran bersama yang diutarakan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) baru-baru ini yang menjadi dasar ekonomi negara. Kita tidak mahu mana-mana negeri atau wilayah tertinggal dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan Kali Ke-2 di Bilik Gerakan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Bersama MTNg, Datuk Ahmad Yakob.

Mohamed Azmin berkata, bagi projek pembangunan PLSB fasa pertama amat penting bagi menangani masalah banjir di Kelantan yang bukan hanya berlaku pada musim Monsun Timur Laut tetapi juga bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Katanya, setakat ini kemajuan projek yang bernilai RM458 juta itu telah mencecah 19 peratus iaitu siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau berkata, tumpuan juga diberikan kepada projek pembinaan Empangan Lebir di hulu Kelantan memandangkan ia menjadi keperluan utama rakyat dari segi sumber minuman, kegunaan domestik selain untuk menjana bekalan elektrik.

“Keutamaan akan diberikan kepada projek ini walaupun ia asalnya dimasukkan dalam RMK13 kerana ia satu keperluan yang mendesak bagi mengelakkan banjir yang menjejaskan ekonomi Kelantan. Saya akan memaklumkan cadangan kerajaan negeri ini untuk mempercepatkan projek tersebut menerusi RMK12,” katanya.

Katanya keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira pandangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkaitan masalah penanaman padi di Kelantan yang sepenuhnya bergantung kepada bekalan air sungai pada musim banjir dan kemarau.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, pihaknya juga bersedia menimbangkan permohonan AKSB untuk menyiapkan projek skim bekalan air di Merbau Condong, Machang yang terpaksa dihentikan berikutan memerlukan kos tambahan sebanyak RM14.5 juta.

Dalam pada itu, mengulas mengenai status terkini pelaksanaan projek strategik Kelantan yang diumumkan dalam mesyuarat pertama MTNg pada Mac lepas beliau berkata beberapa peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh kerja perolehan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra akan dilakukan dalam suku tahun keempat tahun ini di mana proses tender akan dimulakan,” katanya.

Sementara itu Mohamed Azmin berkata, pelantikan Menteri Besar Kelantan sebagai pengerusi bersamanya dalam MTNg adalah sangat wajar bagi melancarkan usaha membangunkan negeri itu.

Katanya, pelantikan itu akan memudahkan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Kelantan untuk saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah serta isu berkaitan projek pembangunan di negeri itu dengan lebih efisien dan berkesan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor laksana Skim Peduli Sihat hujung tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri 2017, akan dilancarkan hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia ekoran permintaan mendesak dari ramai pihak yang mahukan skim itu dilancarkan segera kerana memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, pihaknya akan memilih beberapa daerah untuk melaksanakan projek perintis.

“Saya sudah memaklumkan kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, supaya ia dilancarkan segera. Kita mahu perkara ini bukan sahaja cantik di atas kertas tetapi juga disegerakan. Jadi, skim ini kita akan lancarkan sebelum hujung tahun ini.

mb-dun“Semua persiapan membabitkan syarat kelayakan, operasi prosuder standard, risalah dan keperluan lain dimaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Ketua Kampung.

“Saya sendiri akan turun mendaftarkan rakyat. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri cukup baik dan tidak boleh dilengahkan lagi,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin berkata skim terbabit berbeza dengan Klinik 1 Malaysia seperti yang didakwa pembangkang.

Katanya, skim itu yang membabitkan 1,000 klinik swasta supaya rawatan asas yang menyeluruh dapat diberikan kepada rakyat.

“Klinik 1 Malaysia cuma ada 17 buah di negeri Selangor. Bagaimana rakyat di Hulu Selangor mendapatkan rawatan jika hanya ada sebuah sahaja di kawasan itu? Malah, Klinik 1 Malaysia juga tidak mempunyai doktor tetapi hanya Pembantu Perubatan dan dua jururawat.

“Pesakit terpaksa menunggu lebih empat hingga lima jam di hospital awam untuk mendapatkan rawatan, oleh itu kita mahu daftarkan 1,000 panel klinik swasta. Ini membezakan skim kita dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mahu mengadakan pameran dan setiap klinik panel perlu menyertainya bagi membolehkan rakyat maklum rawatan boleh didapati.

skim-sihatPada 31 Oktober lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim kesihatan percuma untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam belanjawannya bagi tahun 2017.

Digelar ‘Skim Peduli Sihat’ atau skim perlindungan perubatan dan kesihatan itu bertujuan menangani kos sara hidup yang dihadapi kumpulan berkenaan.

Sebanyak RM125 juta setahun diperuntukan untuk 250,000 keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah.

Skim itu akan diuruskan oleh pentadbir jagaan kesihatan pihak ketiga Selgate Corporation, yang akan membiayai rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun untuk setiap keluarga yang layak.

-nR-