Categories
PBT SELANGOR

MPKj bekal set tong kitar semula untuk agensi, sekolah

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membekalkan sembilan set tong kitar semula kepada sembilan agensi dan sekolah terpilih pada 24 November lalu.

Yang Dipertuanya berkata ia sebagai tanda penghargaan kepada agensi terlibat bagi pelaksanaan program Cabaran Perbandaran Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) dan pembangunan mampan.

“Kita mahu meningkatkan kesedaran masyarakat melalui penerapan amalan nilai hijau sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid kepada SelangorKini.

Agensi dan sekolah terbabit ialah Jabatan Pengangkutan Jalan cawangan Bangi, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Balai Polis Bandar Baru Bangi, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, PKNS Andaman Development Sdn Bhd (Evo Mall), Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga, SK Jalan Empat, SK Jalan Enam di Bandar Baru Bangi serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bandar Baru Bangi.

Zul-kefli berkata MPKj dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat turut membekalkan kemudahan sama untuk lapan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 19 November lalu.

Menurutnya, sekolah tersebut ialah SK Bandar Tasik Kesuma, SK Bandar Rinching, SK Semenyih, SK Bandar Teknologi Kajang, SMK Khir Johari, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Bandar Rinching dan SMK Engku Husain.

“Program ini tidak melibatkan aktiviti berkumpulan dan upacara perasmian bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita lima lori, keluar 15 kompaun buang sampah haram

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita lima lori dan mengeluarkan 15 notis kompaun atas kesalahan membuang sampah di tempat tidak dibenarkan sehingga 18 September lalu.

Yang dipertuanya berkata tindakan diambil dalam operasi Gempur Pembuangan Sampah Haram dan jumlah sitaan berkurang berbanding Ogos lalu dengan tujuh lori.

“MPKj memanjangkan tempoh sitaan kali pertama daripada seminggu kepada sebulan bagi memberi pengajaran kepada pesalah.

“Kita akan terus komited dalam membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram bagi memastikan ia dapat diselesaikan dan kualiti hidup masyarakat ditingkatkan,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid ketika mempengerusikan mesyuarat MPKj hari ini.

Beliau menjelaskan tindakan sita dan kompaun diambil mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 4 dan 13 (1) pembuangan, pemungutan dan pelupusan sampah sarap MPKj 2007.

Katanya, setakat ini MPKj telah menyita 71 lori dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Januari iaitu 16 sitaan.

Categories
PBT SELANGOR

98 peratus penduduk Kajang akur SOP – Zulkefli

KAJANG, 25 JUN: Pematuhan orang ramai di bandar ini terhadap tatacara operasi piawai (SOP) mencapai 98 peratus sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata bagaimanapun kerjasama penduduk masih diperlukan dalam membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Berdasarkan tinjauan hampir setiap hari, pematuhan SOP berada cukup baik malah tidak berlaku pelanggaran arahan dan peraturan PKPP.

“Namun, kita berharap smasyarakat terus patuh dan jangan leka dengan kelonggaran diberikan kerana kita masih berusaha untuk memutuskan rantaian wabak,” katanya selepas meninjau Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau peniaga dan penjaja kecil bagi memastikan tiada yang melanggar arahan.

Categories
PBT SELANGOR

Taman Rekreasi Sungai Chua dibuka 1 Julai

KAJANG, 25 JUN: Taman Rekreasi Sungai Chua selepas melalui proses penaiktarafan akan dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata pembukaan taman awam itu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Bagi mengelak timbul masalah, kita minta kerjasama masyarakat untuk mematuhi SOP seperti mengawal penjarakan sosial dan tidak berkumpul di satu-satu tempat.

“Sekiranya dikesan melanggar arahan, kita akan terus menutup dan tidak membenarkan sesiapa sahaja memasuki taman rekreasi ini,” katanya selepas meninjau taman berkenaan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk bersama menjaga kemudahan asas disediakan selain memelihara kebersihan setiap masa.

“Dahulunya, kawasan ini merupakan sebuah kolam takungan air dan kita merancang membangunkannya bagi membolehkan masyarakat setempat melakukan aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

“Justeru, apabila ia dibuka diharap masyarakat guna dengan sebaik-baiknya dan tidak sesekali melakukan perkara boleh merosakkan harta benda,” katanya.

Taman Rekreasi Sungai Chua dibangunkan sejak Disember tahun lalu dengan kos pembinaan kira-kira RM1.3 juta membabitkan dua fasa pembangunan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Langgar SOP, Bukit Broga ditutup dua minggu

KAJANG, 25 JUN: Bukit Broga, Semenyih ditutup dua minggu kepada orang ramai berkuat kuasa Sabtu ini ekoran pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP), kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata penutupan sementara lokasi pendakian terkenal itu diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor semalam.

“Kita sudah buka semula (Bukit Broga) untuk aktiviti pendakian tetapi orang ramai tidak memahami SOP, maka tindakan (penutupan) sewajarnya dibuat kerana mereka (pendaki) tidak prihatin keadaan semasa Covid-19 terutama ketika kerajaan sedang berusaha mengekangnya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengehadkan bilangan pengunjung daripada memasuki kawasan rekreasi itu bagi mengelak insiden sama berulang termasuk bekerjasama dengan polis serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk memantau pematuhan SOP.

“Bagaimanapun, orang ramai terus diingatkan supaya tidak sesekali melanggar peraturan selain sentiasa mengawal penjarakan sosial ketika mendaki,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, tular di media sosial menunjukkan Bukit Broga sesak dikunjungi orang ramai selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti sukan dan rekreasi termasuk mendaki bermula 15 Jun tertakluk pematuhan SOP.