Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan Liga-M boleh adakan aksi persahabatan mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kini boleh menilai tahap persediaan masing-masing bagi menghadapi baki saingan liga bermula akhir bulan ini, susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pasukan Liga Super dan Liga Premier boleh memulakan aksi pemanas badan sebelum Liga-M bersambung pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lepas.

Selepas latihan kontak dibenarkan bermula 15-28 Julai, semua pasukan melalui penilaian MFL dalam tempoh bertenang sehingga semalam, sebagai usaha memastikan tiada individu dijangkiti Covid-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gelaja wabak itu dalam kalangan pegawai dan pemain.

“Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan Liga Super dan Liga Premier 2020 setelah pegawai dan pemain pasukan tersebut telah menjalani ujian calitan dan disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL atau dengan pasukan yang mereka sudah bertemu di perlawanan peringkat awal sebelum liga ditangguhkan.

“Perlawanan hanya dibenarkan di stadium atau venue perlawanan sahaja, dan gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan. Perlawanan itu hendaklah dimainkan tanpa penonton dan hanya pegawai serta pemain pasukan yang berdaftar serta telah menjalani ujian calitan sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” katanya.

Ab Ghani berkata beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman perlawanan persahabatan, termasuk aksi antara Selangor dan Pulau Pinang, Rabu ini.

Sementara itu, mengenai status Kuching FA, beliau berkata pasukan itu berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif Covid-19 berpunca daripada kluster Sentosa.

MFL sentiasa memantau keadaan Kuching FA sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan di Kuching, bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan, katanya.

“Buat masa ini keputusan (ujian saringan) untuk kelima-lima pemain negatif dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching. Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.

“Bagi pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk ujian pertama, dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan, dan kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya kesemua pasukan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh MFL ketika beraksi di gelangang serta SOP Kementerian Kesihatan ketika berada di luar venue dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi latihan lancar, Selangor atur aksi persahabatan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Persiapan Selangor untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia musim ini berjalan lancar selepas beberapa tonggak utama kembali menyertai kem latihan.

Ketua jurulatihnya berkata pasukan kini merancang mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan kembali corak permainan selepas semua aktiviti bola sepak dihentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Sesi latihan kita semuanya berjalan seperti dirancang cuma tunggu keputusan untuk adakan perlawanan persahabatan dalam masa terdekat,” kata B Sathianathan ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau berkata hanya pemain import Ifedayo Olusegun tidak berlatih bersama Red Giants kerana belum mendapat pelepasan meninggalkan Nigeria sementara pemain Singapura Safuwan Baharudin selesai menjalani kuarantin wajib baru-baru ini.

Selangor bersama semua pasukan lain kembali berlatih selepas mendapat kebenaran Liga Bolasepak Malysia (MFL) bermula 16 Jun lalu.

Aksi CIMB Liga Super akan bersambung 26 Ogos serentak dengan Liga Premier manakala saingan TM Piala Malaysia bermula 17 dan 18 Oktober.

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuh SOP, jangan jejas periuk nasi kami – Sathianathan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Semua pihak terutamanya yang terlibat secara langsung dalam industri bola sepak, diminta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, supaya tidak menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka yang terlibat dalam industri sukan nombor satu negara itu.

Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan berharap, pelbagai pihak tidak mengambil mudah mengenai SOP bagi mengelak kes wabak Covid-19 meningkat, sehingga memaksa penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual bersambung semula pada 26 Ogos ini.

“Janganlah yang memakai ‘pink strap’ (gelang perintah pengawasan) pun boleh pergi minum kopi dan kedai makan. Saya berharap kerajaan terus bertegas. Bagi pemain Selangor, saya sentiasa mengingatkan mereka patuhi SOP dan larang mereka lawat kawasan yang mempunyai ramai orang.

“Ini periuk nasi kita, kita kena jaga. Jangan sampai pemain kena (Covid-19), liga ditangguhkan. Kita kena jaga industri bola sepak kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan skuad Selangor di padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Berikutan itu, Sathianathan hanya memberi cuti dua hari sempena sambutan Aidiladha pada Jumaat ini, kepada pemain skuad Gergasi Merah beraya dengan keluarga, sekali gus mengurangkan risiko dengan mengelak pemain melawati tempat tumpuan ramai.

Sebelum ini, semua pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan pasukan Kuching FA, diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pemain pasukan itu, yang bertugas di sebuah hospital disahkan positif virus itu dan diklasifikasikan dari Kluster Hospital Sentosa.

Sementara itu, Sathianathan mengesahkan Selangor bakal mengharungi enam perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan bermula 2 Ogos, sebelum Liga Super disambung semula.

“Kita akan beraksi menentang pasukan yang bukan beraksi di Liga Super seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (dari Liga Premier), serta pasukan yang kita dah lawan dalam perlawanan liga musim ini seperti Terengganu.

“Perlawanan persahabatan ini akan berlangsung di tempat sendiri dan lawan,” kata pengendali skuad kebangsaan berusia 62 tahun itu.

Beliau menjelaskan semua pemain skuad Merah Kuning cergas untuk beraksi, kecuali penyerang import dari Sepanyol Rufino Segovia, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sejak tahun lepas, dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam empat aksi musim ini, sebelum liga ditangguh sejak 16 Mac lepas.

Selangor kini berada di kedudukan kelima Liga Super 2020, selepas mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: Liga-M bermula 26 Ogos, semua perlu patuh SOP

SHAH ALAM, 17 JULAI: Saingan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu disambung semula pada 26 Ogos, kata ketua pegawai eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Datuk Ab Ghani Hassan berkata Ahli Lembaga Pengarah mencapai kata putus mengenainya selepas menilai tempoh persiapan pasukan bertanding bagi memastikan kualiti liga lebih kompetitif.

“Tarikh baharu saingan Liga-M ditetapkan adalah terbaik buat semua pasukan selepas sesi latihan fasa dua dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai.

“Beberapa perkara perlu dipatuhi antaranya setiap stadium perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan MFL selain wajib menjalani proses nyahkuman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata MFL mengedarkan tatacara operasi piawai (SOP) perlawanan kepada semua pasukan manakala pegawai perlawanan perlu melakukan pemeriksaan stadium perlawanan.

“MFL turut mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan,” katanya.

Mengulas lanjut Ab Ghani berkata perlawanan Liga Super yang tertunda antara PJ City FC dan Terengganu FC serta Liga Perdana membabitkan UKM FC menentang Kelantan diadakan pada 22 Ogos.

“Selain itu pasukan Liga Super dan Liga Perdana hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos sebaik tamat tempoh bertenang dari 29 Julai hingga 1 Ogos,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL belum putuskan tarikh Liga-M bersambung

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Tarikh rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 disambung semula akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas menerima laporan penuh tahap kebersediaan daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam menyambung kembali saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lepas demi memastikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti.

Katanya, MFL mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan yang mungkin dihadapi pemain sekiranya pasukan tidak memiliki waktu secukupnya untuk mempersiapkan pasukan ke tahap fizikal terbaik.

“Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue yang bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses pembasmian kuman dan nyahcemar venue perlawanan.

“Semua pasukan turut digesa untuk menjalankan proses penyelenggaraan dan baik pulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MFL sebelum ini merancang meneruskan kembali saingan Liga Super dan Liga Premier yang terjejas susulan pandemik Covid-19 masing-masing pada 1 dan 2 Sept berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 Oktober sehingga 7 November.

Sementara saingan Piala FA dan Piala Cabaran, yang juga sebahagian daripada pertandingan dalam Liga-M 2020, dibatalkan.

MFL juga akan mempertimbang untuk memberi kebenaran bagi pasukan mengadakan siri perlawanan persahabatan sebelum kempen liga bersambung, namun tumpuan kini adalah kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam Fasa 2 latihan berpasukan.

Justeru, Ab Ghani mengingatkan setiap pasukan untuk terus mematuhi SOP sepanjang Fasa 2 latihan berpasukan yang bermula Rabu depan bagi memastikan kelancaran usaha menyambung semula saingan liga.

“MFL berharap serta memohon supaya semua pasukan mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dengan mematuhi garis panduan serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan pegawai dan pemain pasukan sepanjang tempoh Fasa 2 latihan berpasukan,” katanya.

Dalam pada itu, MFL berterima kasih kepada kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementeria Belia dan Sukan (KBS) atas bantuan serta sokongan terhadap usaha MFL merealisasikan impian setiap pasukan menjalani latihan berkontak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL rancang sambung Liga-M 2020 pada September

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 mulai 1 September dengan semua pasukan bertanding dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.

Perancangan itu dibuat selepas kerajaan tidak meluluskan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan pada Ogos dan sesi latihan dijalankan pada Julai, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menurut kenyataan MFL, saingan Liga Super dan Perdana yang bermula September depan adalah berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga, manakala kempen Piala Malaysia bermula 17 September dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Bagi kempen Piala FA dan Piala Cabaran pula, saingan dibatalkan.

“Perubahan kalendar Liga-M 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020,” menurut kenyatan itu.

Menerusi format baharu itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang sudah ditetapkan.

Saingan Piala Malaysia pula menyaksikan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Perdana diundi bagi menentukan perlawanan awal serta pasukan tuan rumah.

MFL mengingatkan semua pasukan perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) latihan dan perlawanan Liga-M yang dikeluarkan FAM dan MFL berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta garis panduan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam pada itu, MFL mengesahkan Liga-M 2020 akan dibatalkan tanpa mana-mana pasukan dinobatkan sebagai juara sekiranya MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan saingan itu disambung sehingga September depan.

Sekiranya ia berlaku, juara Liga Super 2019 akan mendapat slot automatik ke Liga Juara-juara Asia (ACL) 2021 manakala naib juara Liga Super 2019 dan juara Piala FA 2019 akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan menegaskan bahawa pelan perancangan itu akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak Covid-19.

“Kami memantau situasi semasa isu wabak Covid-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga Malaysia 2020 berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat, dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS, andai Liga Malaysia musim 2020 dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu,” katanya.

Ab Ghani berkata perancangan baharu kalendar Liga-M turut mengambil kira faktor penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ACL 2020 melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tarikh baharu kejohanan Piala AFF 2020 yang dijangka pada 21 November hingga 15 Disember.

– BERNAMA