Categories
AGENDA NASIONAL

Pelitup muka diwajib di kawasan penjarakan sosial tidak dapat dipraktik

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dikenakan terhadap kawasan awam yang penuh sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dipraktikkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pelitup muka digunakan dengan meluas oleh pengguna pengangkutan awam dan kerajaan kini melihat untuk menguatkuasakan peraturan ini secara berperingkat.

“Mulanya, pelitup muka (diperkenalkan) untuk pengangkutan awam. Sekarang kami melihat kepada tempat awam terutamanya kawasan awam yang terlalu sesak.

Bukannya tempat awam seperti tempat parkir kereta yang ada penjarakan sosial. Isunya apabila tiada penjarakan sosial dalam kawasan awam yang penuh sesak,” kata beliau dalam satu sesi libat urus bersama media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga sedang melihat tempoh tangguh selama sebulan sebelum menguatkuasakan peraturan ini sepenuhnya bagi memastikan setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka.

“Yang miskin dan memerlukan mesti juga diberikan pelitup muka. Jadi, sekiranya setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka maka mungkin selepas PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kami pasti akan menguatkuasakannya,” kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata selain daripada memakai pelitup muka, orang ramai perlu juga mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Pada 23 Julai lepas, kerajaaan mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan ramai dan pengangkutan awam akan diwajibkan bermula 1 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah menyaring seramai 949,141 individu sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Januari, dan daripada jumlah itu 8,943 orang disahkan positif.

“Jumlah kes sembuh pula adalah 8,607 atau 96.24 peratus manakala jumlah kematian akibat Covid-19 ialah 124,” katanya.

Katanya hampir separuh kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif.

“Sebanyak 4,559 kes positif dikesan dari PUI manakala 3,375 kes adalah daripada Kluster Perhimpunan Sri Petaling.

Sehingga kini KKM turut merekodkan 751 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 258 kes dikesan hasil daripada aktiviti surveilan,” katanya.

Wabak maut yang bermula di Wuhan, China pada Disember tahun lalu, sehingga kini telah menjangkiti 16.49 juta individu seluruh dunia dan mengakibatkan 654,327 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 13 kes baharu, lima penularan tempatan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Sebanyak 13 kes baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara hari ini, sekali gus kembali mencatat penurunan berbanding 39 kes semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat ini jumlah keseluruhan ialah 8,956 kes sementara 220 masih aktif dengan risiko kebolehjangkitan wabak berkenaan.

“Daripada 13 kes baharu, lima membabitkan penularan tempatan dengan tiga daripadanya adalah warganegara dan dua lagi rakyat asing.

“Sementara lapan lagi melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu empat rakyat tempatan dan empat warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, lima kes pulih dari wabak berkenaan dengan jumlah kumulatif 8,612 kes iaitu 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Dilaporkan hanya dua kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan satu memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kematian berkaitan Covid-19 hari ini,” katanya.

Semalam 39 kes baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah tertinggi sejak 15 Jun lalu.

Demikian perincian lima kes baharu membabitkan penularan tempatan:

• Johor: satu kes saringan di tempat kerja (iaitu sign-off kapal)
• Sarawak: satu kes daripada Kluster Sentosa
• Sabah: satu kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
• Dua lagi kes membabitkan bukan warganegara

Perincian lapan kes baharu melibatkan jangkitan dari luar negara:

• United Kingdom dan India: masing-masing dua kes di Kuala Lumpur
• Filipina dan Pakistan: masing-masing satu kes di Kuala Lumpur
• Gambia dan Ukraine: masing-masing satu kes di Selangor

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP akan dikuat kuasa jika kes meningkat mendadak

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) mungkin akan dikuatkuasakan semula sekiranya kes positif Covid-19 dalam penularan tempatan meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerajaan tiada pilihan melainkan menguatkuasakan semula PKP seperti yang dilakukan pada awal penularan wabak berkenaan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan di dalam komuniti.

“Kalau jangkitan menular dalam komuniti dan tidak terkawal, kita akan bermasalah dan mungkin akan kembali ke PKP atau PKPB.

“Dalam tempoh dua minggu ini, jika ada peningkatan kes secara mendadak dan wujudnya kluster baharu, tindakan akan kita ambil,” katanya dalam Sesi Libat Urus Bersama Media di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata ketidakpatuhan rakyat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) antara faktor yang menyebabkan jangkitan Covid-19 dalam komuniti meningkat sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata semasa pelaksanaan PKP, kepatuhan rakyat terhadap SOP adalah tinggi dan pada masa itu, jumlah kes yag positif juga adalah tinggi, namun kealpaan rakyat sekarang ini dalam tempoh PKPP adalah mungkin kerana jumlah kes harian adalah rendah.

“Kena sentiasa ingatkan rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP kerana jika tidak patuh kepada SOP dan kes merebak dalam komuniti, kita terpaksa balik kepada PKP.

“Semua rakyat kena duduk rumah supaya KKM (Kementerian Kesihatan) dapat menjalankan aktiviti lapangan untuk kawal penularan,” katanya.

Diminta mengulas berkenaan perhimpunan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam, Dr Noor Hisham berkata KKM akan memantau sekiranya ada kes positif di kalangan mereka yang hadir.

“Untuk semalam, dah tak boleh buat apa sebab dah berlaku tetapi tindakan kita dalam dua minggu ini ialah memantau sekiranya ada kes positif namun kita harap kes tidak meningkat terutamanya dari Kuala Lumpur.

“Kalau kes meningkat, baru ambil tindakan seperti ada satu kes positif, KKM akan memulakan aktiviti kesihatan awam,” katanya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap perhimpunan semalam yang secara terang tidak mematuhi SOP jarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Dalam masa yang sama, ketika mengulas kemungkinan berlakunya gelombang ketiga, beliau berkata ia akan menyebabkan pasukannya terpaksa bekerja keras lagi.

“Tujuh bulan kami bekerja keras untuk memastikan dan mengelakkan penularan ini, kalau ini berlaku (gelombang ketiga), kita mungkin akan bekerja keras selama empat bulan lagi. Seramai 250,000 pasukan petugas kesihatan mungkin akan kembali bekerja selama 20 jam sehari sekiranya kes kembali mendadak,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat untuk patuh SOP Aidiladha semasa menyambut perayaan itu Jumaat ini.

“Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas, kita kawal sempadan dan kita harap masa Hari Raya Aidiladha ini tiada peningkatan kes secara mendadak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah, Sarawak

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan kes pesakit dalam pengawasan (PUI) Sivagangga di Kedah dan sebuah pasar di Satok, Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster PUI tersebut merupakan seorang pemastautin tetap yang pulang dari India pada 13 Julai iaitu kes ke-8,937.

Katanya, saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif sebelum menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Namun, dia didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan dalam tindakan pihak berkuasa. Saringan ulangan didapati positif serta dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan dan 28 kontak rapat sudah disaring dengan lima daripadanya positif manakala 23 negatif,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster pasar di Satok Kuching, Sarawak pula, beliau memaklumkan 229 peniaga sudah disaring dengan empat daripadanya positif manakala baki negatif.

“Semua kes positif adalah tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Aktiviti pencegahan serta kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan juga nyahkuman,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan hepatitis meningkat, masyarakat kini sedar manfaat rawatan awal

SHAH ALAM, 28 JULAI: Timbul kesedaran akan kepentingan menjalani ujian saringan dan rawatan awal dalam kalangan orang ramai selepas jangkitan penyakit keradangan hati, hepatitis di Malaysia meningkat sepanjang 10 tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hepatitis B menunjukkan peningkatan ketara selepas mencatatkan 15.3 daripada 100,000 penduduk pada tahun lalu berbanding 2.1 pada 2009.

“Ia diikuti hepatitis C sebanyak 10.6 (daripada 100,000) tahun lalu berbanding 3.7 pada 2009. Hepatitis A masih rendah meskipun mencatatkan peningkatan dari 0.1 penduduk kepada 0.3 penduduk dalam tempoh sama,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Hepatitis Sedunia 2020 yang disambut pada 28 Julai setiap tahun.

Sambutan tahun ini bertemakan MY Missing Millions bagi menunjukkan betapa pentingnya mengesan seramai mungkin individu dijangkiti hepatitis sekali gus membolehkan rawatan segera.

Dr Noor Hisham berkata langkah pencegahan terbaik hepatitis A adalah mengamalkan penjagaan kebersihan serta banyak minum air terawat atau dimasak ketika berada di kawasan berisiko seperti tempat pengurusan najis dan pelupusan sampah.

“Bagi mengelakkan jangkitan hepatitis B dan C, masyarakat tidak boleh berkongsi alat kebersihan diri seperti pemotong kuku, berus gigi dan pisau cukur kerana ia boleh menyebabkan luka hingga virus menular. Pesakit tidak dibenarkan menderma darah untuk elak jangkitan selain amalan hubungan seks secara selamat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak masing-masing mendapat imunisasi hepatitis B lengkap mengikut jadual Program Imunisasi Kebangsaan.

“Pemberian vaksin hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas bayi lahir adalah 95 peratus efektif bagi mencegah dalam tempoh perinatal,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, syarikat penerbangan bincang ujian Covid-19 penumpang transit

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan untuk melaksanakan saringan Covid-19 terhadap penumpang transit di negara ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata langkah tersebut wajar dipertimbang sebagai syarat sebelum mereka berlepas ke negara lain bagi mengelak penularan wabak di dalam pesawat.

“Kita bimbang kerana kes sedang meningkat di negara lain, mungkin selepas ini sekiranya penumpang terbabit melepasi saringan, baharu kita benarkan meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun kos saringan perlu dibayar penumpang dan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas berhubung sekatan sementara penerbangan dari Malaysia oleh Kemboja susulan 55 penumpang menaiki pesawat Malaysia dari Indonesia disahkan positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, semua penumpang positif itu hanya transit dari negara ini.

Semalam, portal The Cambodia Daily melaporkan larangan bersifat sementara itu berkuat kuasa 1 Ogos ini. Turut dihalang memasuki negara itu adalah penerbangan dari Indonesia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Amaran gelombang ketiga jika langgar SOP

SHAH ALAM, 27 JULAI: Malaysia bakal menghadapi gelombang ketiga Covid-19 sekiranya rakyat melanggar tatacara operasi piawai (SOP), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata amaran diberikan selepas melihat sikap rakyat yang mula leka serta mengabaikan SOP sehingga menimbulkan kebimbangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pada minggu lalu sahaja sudah ada peningkatan 120 kes serta kluster baharu. Kluster ibarat ‘bara’ manakala individu yang tidak patuh SOP ibarat ‘bahan api’. Sekiranya bara bertemu bahan api, sudah tentu meledak, jadi KKM bimbang kemungkinan berlaku pertambahan kes baharu secara mendadak.

“Kelengkapan kesihatan di negara ini dikuatiri tidak mampu merawat pesakit jika keadaan sedemikian berlaku, jadi rakyat digesa kekalkan tahap disiplin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.  

Noor Hisham berkata kes harian di seluruh dunia merekodkan 259,037 kes semalam dan berdasarkan angka tersebut, penularan wabak semakin melarat dan masih jauh untuk tamat.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 120 kes baharu dalam tujuh hari, Sarawak tertinggi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Malaysia merekodkan 120 kes baharu Covid-19 antara 19 hingga 25 Julai, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah keseluruhan tersebut, Sarawak muncul negeri tertinggi dengan 48 kes diikuti Johor (29 kes) dan Selangor (24 kes).

“Susulan peningkatan kes di Sarawak, Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar pasukan khas bagi meninjau dan memberi pandangan mengenai situasi penularan serta pengurusan jangkitan Covid-19.

“Pasukan ini terdiri pakar perubatan kesihatan awam, pakar perubatan patologi dan sebagainya. Mereka memberi bekerjasama rapat dengan
pasukan sedia ada di negeri itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Dr Noor Hisham berkata kes positif saringan sebelum pembedahan tidak membimbangkan kerana hanya melibatkan 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Seramai 76,758 pesakit melakukan saringan sebelum pembedahan dan daripada jumlah ini hanya 32 dikesan positif,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 mungkin naik mendadak, jika kadar boleh jangkit lebih 1.6

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.

Semasa menyatakan kebimbangan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini kadar R0 telah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun lepas.

Jelasnya, kenaikan nilai R0 berlaku susulan peningkatan kes dan pengesanan beberapa kluster baharu, baru-baru ini.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kes pada 9 Julai adalah 63 kes dan hari ini pertambahan 143 kes kebolehjangkitan, iaitu berganda.

“Kalau R-naught (R0) kita meningkat, kita bimbang ini bererti semakin ramai akan dijangkiti. Apa yang membahayakan kita adalah kalau R-naught meningkat lebih 1.6,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Justeru, beliau merayu kepada rakyat Malaysia supaya terus mematuhi segala arahan dan tatacara operasi piawai yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hanya ada tiga perkara perlu laksanakan iaitu penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitiser,” katanya.

Mengenai keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka ketika berada dalam pengangkutan awam dan tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos ini, Dr Noor Hisham menyeru agar rakyat segera mengamalkan pemakaian alat pelindung itu tanpa menunggu tarikh penguatkuasaan.

“Walaupun arahan mewajibkan pakai pelitup separuh muka berkuat kuasa 1 Ogos, tapi kita boleh wajibkan diri kita, keluarga kita untuk memakainya lebih awal,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa pemakaian pelitup separuh muka boleh mengurangkan hingga 60 peratus potensi jangkitan Covid-19 dan penjarakan sosial satu meter pula hampir 70 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Masyarakat leka punca kes harian meningkat, wujud kluster baharu

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Trend kenaikan kes harian dan kewujudan beberapa kluster baharu besar kemungkinan disebabkan kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap arahan mahupun nasihat kerajaan dalam menangani Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak kebelakangan ini, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (Home Surveillance Order), namun didapati berada di tempat awam.

Katanya analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 hingga 20 Julai lepas, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO) tidak menggunakan fungsi Home Assessment Tool.

“Fungsi Home Assessment Tool ini merupakan satu ciri bagi individu menjalani penilaian kendiri yang perlu dilakukan setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari.

“Setakat ini, bilangan pengembara yang pulang dari luar negara iaitu Person Under Surveillance (pesakit di bawah pengawasan) yang dikehendaki menjalani HSO adalah seramai 31,674 orang dan jumlah yang sudah tamat tempoh kuarantin adalah 18,416 orang,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, hari ini.

Namun, kata Dr Noor Hisham daripada jumlah tersebut, 10 peratus didapati tidak menjalani saringan Covid-19 pada hari ke-13 dan begitu juga dengan pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata jika diperhatikan, kini lebih ramai masyarakat makan di restoran, membeli-belah di pasar raya serta kembali bekerja di pejabat dan analisis data melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan jumlah pengguna berdaftar dengan aplikasi itu didapati terus meningkat dalam tempoh tiga minggu lepas.

Bagaimanapun, jumlah daftar masuk di premis seperti kedai makan dan pasar raya sebaliknya didapati menunjukkan trend penurunan.

“Ini menunjukkan bahawa pematuhan terhadap SOP kian berkurangan. Pemilik premis-premis dan masyarakat umum diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di dalam masyarakat.

“Masyarakat kini perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik Covid-19. Patuhilah SOP yang disediakan,” katanya dan turut mengingatkan masyarakat agar melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang aktiviti yang melanggar SOP.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia mencatat kes harian Covid-19 yang terendah semasa gelombang kedua pandemik Covid-19 tiga minggu lepas iaitu pada 1 Julai, dengan hanya satu kes dicatatkan.

Kes penularan tempatan mencapai angka sifar untuk beberapa hari tetapi kes baharu harian didapati kembali meningkat akhir-akhir ini dan ada kalanya mencapai dua angka.

Sejak 1 Julai, KKM melaporkan 15 kluster baharu jangkitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM setuju pemakaian pelitup muka dikuat kuasa

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik tindakan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam serta kawasan sesak bermula 1 Ogos ini.

Susulan itu ketua pengarah kesihatan menasihatkan orang ramai supaya memakainya secara betul.

“Pelitup separuh muka perlu dipakai menutup ruang hidung sehingga dagu. Pemakaian tidak sempurna dengan menggantung di leher, di dahi atau menutupi sebahagian hidung dan mulut boleh menyebabkan pencemaran atau jangkitan kepada pemakai,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesyorkan orang awam menggunakan pelitup separuh muka jenis fabrik atau kain yang mempunyai tiga lapisan.

“Lapisan dalam boleh menyerap air misalnya kapas manakala lapisan luar harus dari bahan serap air bagi hadkan pencemaran menembus masuk hidung dan mulut.

“Untuk lapisan tengah ia perlu dari bahan bukan tenunan sintetik atau lapisan kapas supaya dapat meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan itu diambil berikutan penambahan kluster jangkitan Covid-19 selain atas nasihat KKM.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu turun angka tunggal, enam penularan tempatan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kes baharu Covid-19 hari ini turun ke angka tunggal selepas sembilan kes dilaporkan berbanding 16 semalam dengan enam penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat daripada enam kes itu direkodkan di Sarawak membabitkan warganegara manakala dua lagi melibatkan warga asing di Sabah dan Kelantan.

“Tiga kes import dikesan dengan seorang darinya warganegara dan dua warga asing yang pulang dari Singapura, India dan Filipina.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi keseluruhan kes sebanyak 8,840 dengan 143 kes aktif. Lima pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lapan kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah sembuh 8,574 kes iaitu 97 peratus.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 123 kes iaitu 1.39 peratus dari keseluruhan kes,” katanya.