Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengalaman lalu bantu Malaysia hadapi Covid-19 – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pengalaman lepas ketika mengendalikan wabak akibat virus seperti Nipah, SARS dan MERS-CoV membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melakukan persediaan dan menggubal protokol respons bagi menangani pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya ketika mendapat maklumat mengenai penularan wabak di Wuhan, China, KKM sedar virus itu akan tiba di negara ini.

“Kami mula mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang menyelaras dan menggembleng respons kesiapsiagaan kita, sementara pengalaman lalu dalam mengurus dan menangani virus Nipah, SARS, MERS-CoV, H1N1 membantu dari segi penggubalan protokol,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘Covid-19: What can Malaysia and Kerala, India teach the rest of the world’, anjuran Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Yang Diabaikan (DNDi) dan Gabungan Penyelidikan Klinikal Covid-19, menerusi penstriman langsung melalui Facebook DNDi semalam.

Turut serta sebagai ahli panel ialah Menteri Kesihatan, Keadilan Sosial serta Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak negeri Kerala K K Shailaja yang turut dikenali sebagai ‘Shailaja Teacher’.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Malaysia juga mengguna pakai garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam memerangi wabak Covid-19.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama antara kerajaan, pelbagai sektor serta masyarakat turut memainkan peranan penting dalam menurunkan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Shailaja mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menurunkan jumlah kes harian serta menjadi contoh kepada dunia dalam mendepani pandemik tersebut.

“Tindak balas Malaysia dalam mendepani Covid-19 menjadi teladan kepada dunia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham, KKM terima Anugerah Brandlaureate 2020

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Kepimpinan cemerlang Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bersama petugas barisan hadapan menangani penularan pandemik Covid-19 di Malaysia mendapat pengiktiraf dunia apabila beliau dinobatkan Anugerah BrandLaureate – Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020.

Selain Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapat pengiktirafan Anugerah BrandLaureate – Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan sebagai Penyampai Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Cemerlang.

Dalam majlis di KKM di sini hari ini, Dr Noor Hisham menerima kedua-dua anugerah tersebut yang disampaikan oleh Presiden Yayasan Jenama Dunia, Dr K K Johan dan Pengerusinya, Tan Sri Rainer Althoff.

Sebelum menerima anugerah tersebut, Dr Noor Hisham dalam ucapannya, berkata kedua-dua anugerah tersebut mencerminkan dedikasi, komitmen, pengorbanan dan ketahanan setiap individu di KKM serta pelbagai agensi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Kami di sini bukan untuk populariti tetapi yang lebih penting adalah menyelamatkan negara dalam krisis,” katanya dalam ucapan terima kasih bagi pihak barisan depan atas pengiktirafan itu.

Sementara itu, Althoff, berkata Malaysia berjaya meratakan lengkungan graf pandemik Covid-19 dan ini semua disebabkan usaha gigih pasukan KKM di bawah kepimpinan Dr Noor Hisham.

“Anda dan pasukan anda berhasil. Anda menemukan resipi kejayaan dalam meratakan lengkungan serta menunjukkan amalan terbaik dalam komunikasi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM kesan empat kluster baharu

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat kluster baharu Covid-19 hari ini yang mendapat jangkitan dari luar negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster berkenaan meliputi kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Katanya, bagi kluster PUI Pitakwa adalah kes indeks berkaitan seorang warganegara Malaysia (kes ke-8,737) yang pulang dari Nigeria pada 11 Julai lalu.

“Saringan dilakukan di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapatinya negatif namun tiga hari selepas itu beliau perlu menjalani ujian ulangan kerana mula mengalami gejala lebih teruk dan dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Susulan itu, 44 kontak rapat dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan kru kapal terbang selain pemandu teksi juga rakan sekerja,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata kluster PUI Shirala pula kes indeksnya membabitkan seorang bukan warganegara golongan profesional (kes ke-8,730) yang tiba di Malaysia pada 6 Julai atas urusan kerja.

“Saringan di India dan kemudiannya di KLIA negatif, namun lima hari kemudian beliau menjalani ujian ulangan bagi Covid-19 kerana mengalami gejala pada 11 Julai dan dikesan positif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata kluster Pusat Perubatan Kuching merupakan kes indeks ke 8,734 iaitu seorang rakyat tempatan yang juga petugas kesihatan barisan hadapan menjalani saringan Covid-19 kerana berisiko tinggi namun tidak bergejala yang disahkan positif pada Selasa lalu dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Tambah Noor Hisham, kluster Jupiter pula membabitkan seorang warga asing iaitu kes indeks ke-8,723 dan merupakan seorang kru sebuah kapal yang berlayar selain mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

Katanya, individu terbabit mengalami gejala pada 3 Julai dan menjadi semakin teruk pada 11 Julai di perairan Sarawak sebelum dimasukkan ke pusat perubatan serta saringan mendapatinya positif.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 18 kes baharu, tiga kes pulih

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kes baharu Covid-19 kembali kepada dua angka apabila merekodkan 18 kes hari ini iaitu 10 kes import manakala baki kes penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 8,755 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 92 kes.

“Bagi kes import, ia melibatkan tujuh rakyat tempatan dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja.

“Daripada lapan kes penularan dalam negara, enam kes warganegara Malaysia dan dua kes warga asing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memcatatkan tiga kes pulih dan dibenarkan keluar hospital sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 8,541 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan selain kes kematian kekal 122 orang.

“Sehingga kini, masih terdapat tiga kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Lima kes baharu, lima pesakit sembuh

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak lima kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan satu daripadanya jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara yang masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bakinya adalah penularan tempatan yang turut membabitkan seorang bukan warganegara kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

“Tiga kes lagi dalam kalangan warganegara Malaysia iaitu satu kes saringan prapembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor manakala baki di Sarawak membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-8732 dan saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan.

Beliau berkata lima pesakit sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,526 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi dengan 86 kes aktif kebolehjangkitan.

Tambah beliau, lima kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 122 orang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-China runding fasa ketiga ujian vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 14 JULAI: Malaysia sedang dalam rundingan dengan China untuk ujian fasa ketiga vaksin Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan kajian Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kluster Sungai Lui sebelum ini mendapati antibodi terbina menurun selepas tiga bulan pemulihan.

Beliau berkata kes itu sama dengan delegasi perubatan China yang berkunjung ke Malaysia April lalu apabila uji kaji dijalankan mereka turut menunjukkan antibodi pesakit hanya 17 hingga 18 peratus.

“Sepatutnya apabila dijangkiti, antibodi meningkat kira-kira 80 hingga 90 peratus dan apabila berlaku peningkatan baharu boleh ada ‘herd immunity’ (imuniti kelompok) tetapi tindak balas pula semakin berkurangan,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata faktor itu juga berkemungkinan pesakit pernah dijangkiti wabak tersebut boleh terkena semula atau vaksin dapat merangsang tindak balas antibodi dalam kalangan mereka.

“Sekarang kita mahu melihat sama ada vaksin baharu ini mampu merangsang antibodi secara kekal atau hanya sementara. Jika tidak maka kita tiada imuniti kelompok itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sifar kes penularan tempatan hari ini bertepatan dengan jangkaan KKM tetapi rakyat diminta terus berwaspada kekal patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Jangkitan luar negara bukan dalam kawalan KKM namun kementerian akan terus memastikan setiap individu yang baharu pulang dari luar negara disaring di pintu masuk lapangan terbang dan menjalani kuarantin di rumah,” jelasnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Tiada cadangan mandatori pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak merancang mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah gelombang jangkitan ketiga Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekiranya ia dijadikan mandatori kerajaan berhak untuk menangkap individu tidak memakainya dan boleh didenda RM1,000 atau penjara jika gagal membayar kompaun.

“Kita tidak mahu guna kaedah itu tetapi sangat menggalakkan orang ramai menggunakannya terutama apabila berada di tempat awam atau mempunyai gejala,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Berhubung kesiapsiagaan Malaysia mengawal Covid-19, beliau berkata kementerian telah bersiap sedia dengan pelbagai kaedah sebelum pandemik itu merebak di negara ini.

“Apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan protokol ujian saringan Covid-19, kita bandingkan dan dapati kesiapsiagaan kita memang hampir sama dengan mereka.

“Malah, sebelum dapat pesakit pertama kita sudah sediakan 23 makmal untuk mengesan virus tersebut. Kerjasama semua antara kerajaan, swasta dan rakyat juga dipuji dalam mengawal kes penularan Covid-19 ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kes positif Covid-19 babit kes import

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat kes baharu Covid-19 hari ini iaitu kes import membabitkan tiga warganegara Malaysia dan seorang warga asing, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini 8,729 dengan kes aktif kebolehjangkitan 83.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi terdapat empat kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif individu sembuh di negara ini 8,524 kes,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian sekali gus mengekalkan jumlahnya 122 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KKM mengesan dua lagi individu positif Covid-19 dalam ‘Kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod’ hari ini.

“Satu adalah kontak rapat kepada kes indeks kluster ini iaitu kes ke 8,673. Beliau dikesan positif hasil daripada saringan dijalankan kepada kes sedia ada.

“Bagi kes kedua pula, individu adalah yang baharu iaitu kes import dari Rusia dan tiba di negara ini semalam. Beliau juga kontak rapat kepada kes ke 8,673 dan 8,718 di Novgorod, Rusia,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu dalam pengawasan amal penjarakan sosial, elak dijangkiti

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan individu di bawah pengawasan dan pemantauan di rumah supaya sentiasa amalkan penjarakan sosial betul bagi mengelak risiko penularan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga.

Ketua pengarah kesihatan berkata ahli keluarga kepada pengembara yang baru pulang ke Malaysia juga diingatkan meminimakan bilangan individu menjemput mereka di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Elakkan bersentuhan dan pakai pelitup muka setiap masa. Sekiranya terdapat individu bergejala dalam kalangan ahli keluarga atau rakan serumah kepada pengembara, mereka perlu mendapatkan rawatan segera,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang berkaitan juga sewajarnya mengambil inisiatif duduk di rumah dan amalkan kuarantin sendiri serta penjarakan selamat dengan ahli keluarga atau rakan serumah.

KKM mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengelakkan daripada berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota serumah terutamanya di antara orang dikasihi.

Antara nasihat kementerian adalah seperti berikut:
– Sentiasa berada di rumah sepanjang dalam tempoh pengawasan;
– Hadkan pelawat atau tetamu yang datang ke rumah;
– Rekodkan pelawat yang menziarahi dan kemukakan kepada pihak kesihatan sekiranya diminta;
– Pastikan jarak anda dengan mereka yang sihat (iaitu termasuk ahli keluarga) sekurang-kurangnya satu meter;
– Sekiranya anda bergejala, sentiasa pakai alat pelitup muka;
– Jika tidak memakai pelitup muka, tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila batuk atau bersin;
– Sentiasa amalkan adab batuk yang baik;
– Elakkan penggunaan kenderaan awam, sekiranya perlu pakai pelitup muka;
– Elakkan perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri seperti berus gigi dengan individu serumah yang lain;
– Cuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun sebelum digunakan semula;
– Pastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu Covid-19 dikesan di Melaka, babit tiga kes

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu di Melaka dikenali sebagai ‘Kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Novgorod’ yang kini menjangkiti tiga individu.

Ketua pengarah kesihatan berkata ia dikesan apabila terdapat kes ketiga positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua kluster terbabit.

“Kes pertama bagi kluster ini seorang warganegara Malaysia, iaitu kes ke 8,673 yang baharu pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai lalu.

“Keputusan saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati beliau positif virus berkenaan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes kedua pula adalah kes ke 8,718 iaitu rakan kepada kes pertama dengan mereka menaiki pesawat sama pada 5 Julai lalu.

“Hasil saringan ke atas kes kedua ini negatif namun beliau mula menunjukkan gejala demam dan saluran pernafasan dua hari kemudian. Saringan ulangan mendapati beliau positif Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengamal perubatan lulusan luar negara wajib lalui proses verifikasi

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Semua pengamal perubatan lulusan luar negara yang ingin berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) wajib melalui proses ‘Primary Source Verification’ untuk pengesahan ijazah dan transkrip mereka berkuat kuasa sejak 1 Jun tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, proses verifikasi itu diwajibkan kepada semua pengamal perubatan warganegara dan bukan warganegara yang merupakan siswazah luar negara sebelum mereka didaftarkan dengan MPM.

“Ini tidak melibatkan pengamal perubatan yang telah mendaftar dengan MPM sebelum 1 Jun 2020. Kaedah ini adalah untuk permohonan baru sahaja,” katanya.

Keperluan melalui ‘Primary Source Verification’ diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia ke-395 pada 21 Jan tahun ini susulan terdapat kekeliruan antara pengamal perubatan mengenai pelaksanaan keputusan itu.

Pendaftaran dengan MPM adalah bertujuan untuk memohon Sijil Pendaftaran Penuh, Sijil Pendaftaran Sementara, Sijil Perakuan Amalan Sementara, pendaftaran bagi tujuan pascasiswazah atau latihan klinikal pascasiswazah atau fellowship atau ‘clinical attachment’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham: Tiada diskriminasi dalam pengendalian Covid-19

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Kerajaan mengendalikan saringan Covid-19 ke atas warga asing dengan adil di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan separa PKPD.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada diskriminasi berdasarkan kerakyatan sama ada warga tempatan, pendatang asing yang masuk secara sah atau tanpa dokumen kerana semua mereka disaring dan menerima rawatan yang sama di hospital.

“Boleh tak anda bayangkan kesan penularan 277 kes wabak itu di dalam komuniti berbanding dari dalam Depot Tahanan (Imigresen (DTI))? Hari ini kita berjaya mengawal penularan di dalam DTI tetapi jika ia merebak di dalam komuniti, sebenarnya wabak itu akan menular kepada orang lain.

“Jadi ini adalah sebab mengapa pengasingan adalah penting untuk menyaring mereka yang positif dan kami melayan mereka secara sama rata dari segi pemberian makanan, saringan percuma dan untuk selama 14 hari di hospital MAEPS. Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina hospital sementara untuk merawat pesakit (Covid-19),” katanya kepada wartawan dalam satu sidang media di sini.

Dr Noor Hisham berkata warga asing yang tidak memiliki dokumen dan didapati positif ditahan di pusat akademi imigresen di Port Dickson untuk diasingkan selama 14 hari sebelum menjalani ujian buat kali kedua.

“Sebaik sahaja mereka didapati positif, kami perlu memasukkan mereka ke hospital dan mengasingkan serta merawat mereka di sana.

Pendatang asing tanpa izin akan diuruskan oleh Jabatan Imigresan di DTI dan yang paling penting ialah memastikan mereka adalah negatif dan menghantar mereka pulang secepat mungkin.

Bagi pendatang asing yang mempunyai dokumen sah, apabila ujian ke atas mereka didapati negatif, kami melepaskan mereka seperti warga tempatan selepas PKPD,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia mengenai kebajikan dan perumahan untuk pekerja asing memandangkan peningkatan ketara dalam kes komuniti kebanyakannya berpunca daripada kediaman yang sesak.

“Dalam kes itu, kami telah berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melihat kepada akta berkenaan untuk memastikan mereka (majikan) menjaga kebajikan dan tempat penginapan pekerja asing,” kata beliau.

Ditanya mengapa jumlah kes yang tidak menunjukkan gejala adalah tinggi, Dr Noor Hisham berkata ini adalah kerana pendekatan saringan bersasar dalam kawasan di bawah PKPD dan separa PKPD.

Beliau berkata setakat kelmarin, daripada 8,674 kes positif, 6,092 kes (70.25 peratus) adalah tidak bergejala dan 2,282 kes (29.75 peratus) bergejala.

Dr Noor Hisham berkata setiap orang yang berada di dalam PKPD dan separa PKPD telah disaring dan oleh itu lebih ramai pesakit tidak bergejala dikesan.

Beliau berkata KKM akan terus meningkatkan pemantauan dan saringan, ke atas “Severe Acute Respiratory Infections (SARI), Influenza-like-Illnesses (ILI)” dan saringan prapembedahan.

Ditanya sama ada pemeriksaan suhu adalah berkesan, Dr Noor Hisham berkata ia akan mengesan simptom-simptom positif terutama daripada meraka yang tidak menunjukkan gejala.

Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak mampu membezakan pesakit tidak bergejala yang mempunyai risiko jangkitan yang rendah dan mereka yang belum menunjukkan gejala.

Bagaimanapun, hospital boleh mengesan mereka yang belum menunjukkan gejala dengan melaksanakan pengesanan kontak.

Dr Noor Hisham berkata pendekatan pengesanan dan penjejakan aktif akan memberikan Kementerian Kesihatan melihat kepada kontak rapat dan mengasingkan mereka secepat mungkin dan mengelakkan mereka daripada menjangkiti orang lain.

– BERNAMA