Categories
SELANGOR

Suspek cemar Sungai Selangor direman seminggu – polis

SHAH ALAM, 11 NOV: Empat individu ditahan susulan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata perintah reman ke atas individu berusia 33 hingga 43 tahun termasuk seorang wanita itu berkuat kuasa hingga 17 November ini.

“Reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Selayang. Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” kata Datuk Fadzil Ahmat hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan tangkapan suspek di tiga lokasi berasingan sekitar Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

Siasatan awal mendapati suspek wanita berusia 40 tahun merupakan penama berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menyewa premis disyaki melakukan aktiviti membuang sisa kimia ke lubang kumbahan.

Semalam Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dihenti tugas hingga menyebabkan lebih 1.1 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi maklumat tular kononnya pegawai polis dibunuh

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis menafikan satu maklumat yang tular di media sosial mengenai seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang kononnya dibunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata pegawai polis wanita berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Klang pagi semalam.

Beliau berkata video itu dianggap mengancam keselamatan pegawai polis berkenaan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai satu bentuk ugutan jenayah.

“Kami siasat di bawah Seksyen 509 kerana perbuatan mengaibkan kehormatan, dan (kami) telah buka satu kertas siasatan berhubung kes ini. Kami akan siasat siapa (individu) yang menyebarkan gambar dan video itu di laman media sosial,” katanya kepada Bernama semalam.

Sementara itu, polis dalam kenyataan berkata berita yang mengaitkan pegawai polis wanita itu dengan kejadian bunuh adalah tidak benar sama sekali.

“Pegawai terbabit telah membuat laporan polis bagi menafikannya,” menurut kenyataan itu.

Semalam, gambar seorang wanita diikat tangan serta kakinya dan dibunuh secara kejam menjadi tular di media sosial, bersama dengan gambar pegawai wanita berkenaan, kononnya pegawai itu adalah mangsa kejadian bunuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek kes samun wanita China bukan lagi anggota polis

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Lelaki yang ditahan berhubung kes samun seorang wanita warga China di Pandan Perdana dekat sini pada Ahad lepas merupakan bekas anggota polis yang diberhentikan kerja kerana terbabit dengan kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata suspek yang berusia 46 tahun telah diberhentikan kerja pada 18 Julai 2018.

“Suspek telah diberhentikan kerja kerana disabitkan kes dadah di Terengganu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata seorang koperal polis yang ditahan kerja direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes samun seorang wanita yang bekerja sebagai jurujual.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia 29 tahun yang sedang minum di kedai makan, dihampiri suspek bersama dua rakannya yang mengenalkan diri sebagai anggota polis dengan mangsa kerugian wang tunai hampir RM5,000 dan barangan persolekan.

Mohd Azam berkata polis sedang giat memburu dua rakan suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tidak kompromi kompaun ziarah raya

KUALA SELANGOR, 26 MEI: Polis Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kediaman yang membenarkan rumah mereka dikunjungi tetamu bagi tujuan ziarah Hari Raya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan.

“Dalam operasi pemantauan kami semalam, tujuh kompaun telah dikeluarkan terhadap tuan rumah yang membenarkan rumah mereka dijadikan tempat menyambut Aidilfitri.

“Sekiranya kami mengesan kesalahan ini, tuan rumah jangan terkejut sekiranya anggota kami masuk ke rumah (pemilik) untuk beraya sekali dan tindakan kompaun akan dikenakan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah pada Aidilfitri, untuk hari pertama perayaan sahaja susulan PKPB yang bertujuan membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Fadzil berkata polis Selangor akan terus mempergiatkan operasi pemantauan PKPB berikutan masih ramai individu berdegil dan ingkar arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, kerana selain kesalahan ziarah Hari Raya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan yang melanggar PKPB dalam operasi semalam.

“Antara kompaun lain ialah 59 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melakukan aktiviti memancing beramai-ramai di sebuah kolam pancing ikan di Hulu Selangor.

“Sebanyak 14 kompaun lagi dikeluarkan kepada pengunjung yang berkumpul di Pantai Remis, Jeram, di sini yang menjadikan keseluruhan kompaun semalam ialah 100 (kompaun),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Reman pemandu mabuk rempuh polis disambung lagi

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Reman terhadap lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis menyebabkannya maut dalam Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang disambung hingga Rabu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan ringkas memaklumkan permohonan untuk menyambung reman lelaki itu dilakukan di mahkamah pagi ini dan dibenarkan disambung reman tiga hari lagi sehingga 13 Mei.

Pemandu Toyota Hilux itu ditahan pada 3 Mei lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Mei.

Bagaimanapun lelaki itu ditahan semula dan direman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi, 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.

– BERNAMA