Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Wakil rakyat gesa SOP Thaipusam diteliti, permudah masyarakat Hindu ke kuil

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan diminta mengkaji semula tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Thaipusam untuk kemudahan masyarakat Hindu hadir ke kuil mengikut kapasiti sesebuah rumah ibadat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Sentosa Dr G Gunarajah berkata keputusan mengehadkan 6,000 penganut sehari untuk upacara sembahyang di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves disifatkan kurang munasabah dengan keluasan kawasan terbabit.

“Kehadiran ke kuil lain bagi upacara sama juga perlu dikaji dengan membenarkan lebih ramai penganut mengikut keluasan selain pematuhan SOP ketat.

“Saya berharap Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique melihat perkara ini dengan terbuka dan bersedia membuat satu keputusan lebih adil kepada masyarakat Hindu,” katanya kepada Selangorkini.

Gunarajah berkata peniaga kecil yang sudah mengeluarkan modal membeli barang perlu dibenarkan berniaga dengan kawalan agensi penguatkuasa dan dikenakan hukuman setimpal jika gagal mematuhi SOP.

Beliau menjelaskan pengumuman saat akhir tidak membenarkan gerai jualan sementara di dalam atau luar kawasan kuil menindas peniaga kecil yang sudah membuat persiapan awal.

“Sudah pasti, kesempitan dan cabaran ekonomi ketika perintah kawalan pergerakan sejak dua tahun lepas memberi impak sangat besar kepada peniaga kecil ini.

“Inilah masanya mereka ingin kembali bangkit mendapatkan sedikit pendapatan melalui perayaan tahunan. Setelah lebih dua tahun negara dilanda Covid 19, masyarakat sudah sedia maklum SOP wabak itu,” katanya.

12 Januari lalu, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antara lain hanya membenarkan upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan.

Upacara tersebut dibenarkan bermula semalam hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi dan perjalanan serta pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Januari ini serta 19 Januari bermula jam 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Januari ini bermula jam 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Upacara kavadi tidak dibenar untuk Thaipusam tahun ini

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam kali ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata ‘paal koodam’ dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Januari) hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil.

“Setiap sesi adalah selama 30 minit dan diikuti kerja-kerja sanitasi selepas itu. Bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Temple Batu Caves, Selangor jumlah untuk paal koodam tidak melebihi 100 orang.

“Bagi Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani GeorgeTown, Pulau Pinang; Kuil Ipoh Hindu Devastanam Paripalana Sabah, Perak dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah, Sungai Siput, Perak, tidak melebihi 50 orang,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Halimah berkata bagi kuil selain daripada lima kuil itu, jumlah orang terlibat untuk ‘paal koodam’ tidak melebihi 30 orang.

Beliau berkata pembawa ‘paal koodam’ diwajibkan membuat pendaftaran dengan pihak pengurusan kuil terlebih dahulu, dan memakai tag yang disediakan.

Halimah berkata upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Katanya 12 sesi sembahyang ditetapkan dari 16 hingga 17 Januari, serta 19 Januari bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Januari ini bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing.

“Di Kuil Sri Subramaniar Swamy Temple Batu Caves tidak melebihi 6,000 orang setiap hari. Setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi dengan jumlah setiap sesi di kuil ini tidak melebihi 500 orang.

“Selain itu, hanya ahli pengurusan kuil sahaja dibenar mengiringi kereta pedati dan mereka wajib mendaftar dengan pihak pengurusan kuil untuk mendapatkan tag kebenaran, serta perlu mendapat kelulusan pihak polis,” katanya sambil menambah SOP lengkap Thaipusam akan dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Halimah berkata mana-mana kuil yang dikesan mempunyai kes Covid-19, akan diarah untuk membatalkan sebarang upacara Thaipusam di kuil itu.

Beliau berkata meskipun perayaan itu bakal disambut penganut Hindu pada 18 Januari ini, terdapat penganut yang menunaikan nazar awal daripada tarikh berkenaan.

“Kalau berlaku satu kes melibatkan upacara Thaipusam pada mana-mana tarikh awal 14 hingga 17 dan 18 Januari, kita akan minta hentikan dan batalkan. Tutup untuk satu kuil itu sahaja,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan kuil untuk membenarkan hanya gerai jualan kekal di bawah pengurusan mereka sahaja beroperasi sepanjang perayaan, manakala sumbangan makanan dan minuman percuma (thanir phandal dan anamthanam) adalah tidak dibenarkan.

Menurutnya, gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil juga tidak dibenarkan.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, untuk memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Sementara itu, Halimah memaklumkan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 semalam telah meluluskan SOP perayaan Tahun Baharu Cina dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN pinda SOP, kini acara makan besar dibenar hingga 15 orang

PUTRAJAYA, 7 FEB: Makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina (11 Februari) dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat, yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bersetuju meluluskan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik.

Mesyuarat turut bersetuju aktiviti keagamaan di rumah ibadat dibenarkan pada 11, 12 dan 19 Februari dan tertakluk kepada SOP ketat antaranya, bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa, dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.

Selain itu, jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja, dan aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam, mengikut tradisi perayaan Tahun Baharu Cina bagi ‘Hokkien Clan’.

Halimah berkata, pegawai-pegawai perpaduan yang telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Beliau juga menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri perpaduan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique disahkan positif Covid-19 dan akan menjalani rawatan serta tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor Bahru.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memberitahu sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan, Halimah akan terus memantau dan memastikan segala urusan kementerian berjalan lancar.

“Datuk Halimah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan beliau dan memohon maaf atas segala kesulitan dan masalah yang timbul akibat perkembangan ini,” menurut kenyataan itu.

Halimah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan disahkan positif oleh KKM hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pendidikan Rukun Negara harus diamal, bukan hiasan semata-mata

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Penghayatan Rukun Negara yang akan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan bukanlah sebagai hiasan semata-mata, sebaliknya ia perlu diamalkan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata sistem pendidikan Rukun Negara adalah berkait rapat dengan perpaduan dan mencerminkan tanah air yang memiliki komposisi rakyat yang unik serta majmuk.

“Kementerian yakin antara kunci kepada kejayaan perpaduan terletak kepada penghayatan dan pemahaman rakyat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Sistem pendidikan Rukun Negara berkait dengan perpaduan dan perpaduan ini mencerminkan kepelbagaian.

“Kita nak menyemarakkan perpaduan ikatan antara kaum. Jadi nilai-nilai perpaduan perlu dipupuk agar terus sebati dalam jiwa rakyat Malaysia dan tidak mensia-siakan segala pengorbanan para pejuang kemerdekaan,” katanya dalam bahagian pertama Program Rukun Negara A Nation United terbitan Bernama TV.

Halimah turut memaklumkan bahawa kempen bagi Sesi Maklum Balas Rakyat berhubung Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 telah dilaksanakan di setiap negeri.

Pada 25 Ogos lalu, di Dewan Rakyat, Halimah mengatakan kementeriannya dalam proses mengadakan jerayawara bagi mendapatkan input rakyat untuk dimasukkan dalam PTPN 2021-2025.

Beliau berkata ia bagi menghasilkan satu dasar yang merangkumi idea untuk memperkukuh perpaduan tanpa mengira batasan termasuk Sabah dan Sarawak.

– BERNAMA