Categories
AGENDA SUKANKINI

Rajagopal terkejut aksi hambar Semut Merah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal terkejut dengan persembahan yang ditunjukkan skuad The Red Ants sehingga tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, keadaan berjerebu yang melanda Selangor ketika ini bukan alasan bagi pasukannya untuk menunjukkan aksi kurang baik.

“Kita sememangnya tidak layak untuk menang malam ini (tadi) kerana 20 minit pertama perlawanan, lebih banyak peluang yang berjaya dihasilkan berbanding Negeri Sembilan namun kita gagal menterjemahkannya.

“Saya tidak salahkan keadaan yang berjerebu kerana Negeri Sembilan bermain dengan sangat cemerlang sehingga mampu menjaringkan tiga gol, jadi saya boleh cakap pemain tidak menunjukkan semangat yang bagus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Rajagobal menyifatkan kekalahan itu sebagai yang sangat teruk ditunjukkan anak buahnya.

Dalam pada itu, pengendali Negeri Sembilan, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad berasa gembira kerana pemainnya berjaya menghasilkan beberapa peluang sehingga berjaya menjaringkan tiga gol.

“Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum sebegini untuk bertemu dengan pasukan Kedah nanti,” katanya.

Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan terlebih dahulu menjaringkan gol hasil percubaan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir di minit ke-41 sebelum PKNS FC menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45 menerusi sepakan penalti Kpah Sherman.

Kesilapan pertahanan pemain PKNS FC, Tamirlan Kozubaev yang menolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-56 memberi peluang kepada Negeri Sembilan menambah gol kedua.

Pada minit ke-89, PKNS FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Muhamad Asraf Roslan dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Negeri Sembilan sebelum pasukan pelawat itu terus meledak gol ketiga hasil rembatan pemain import dari Brazil, Matheus Fernandes Vila Real.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKNS FC masih berpeluang ke suku akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal percaya skuad Semut Merah mampu mara ke peringkat kumpulan A kempen Piala Malaysia walaupun gagal meraih tiga mata penuh selepas seri 1-1 dengan juara lima kali, Kedah di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu menegaskan pemainnya akan tetap memberi saingan untuk memburu keputusan positif dalam baki tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Sekiranya kita mendapat tiga mata penuh apabila kita bertandang ke Stadium Darul Aman untuk perlawanan keempat peringkat kumpulan, peluang untuk ke peringkat seterusnya masih cerah.

“Sebagai jurulatih, saya kena percaya pada pemain yang mereka dapat memberi saingan dan berkemungkinan untuk membuat kejutan (mara ke suku akhir),” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau berpuas hati dengan kutipan satu mata memandangkan PKNS FC memberi saingan sengit kepada skuad Lang Merah pada perlawanawanan berkenaan.

“Babak pertama pemain kita gagal untuk membuat beberapa hantaran yang baik, tetapi selepas itu mereka mula bekerjasama dan lebih agresif.

“Kita banyak mencipta peluang, tetapi gagal menambah gol, jadi ini yang harus diterima oleh pemain sebagai satu pasukan untuk tidak menyalahkan satu sama lain,” jelas jurulatih kelahiran Singapura itu.

Pada aksi berkenaan, Kedah bermula garang apabila memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-19, sebelum PKNS FC menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi Romel Oswaldo Morales.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang menduduki tangga kedua dan ketiga, masing-masing dengan kutipan empat mata di belakang Terengganu FC.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

PKNS FC mahu mantapkan jentera serangan

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JAN: PKNS FC masih meneliti beberapa calon pemain import di bahagian serangan bagi memantapkan pasukan menjelang pembukaan saingan Liga Malaysia 2018, pada 3 Februari ini.

Jurulatihnya, Datuk K Rajagobal berkata, pasukannya tidak mahu terburu-buru mengisi kekosongan bahagian berkenaan kerana mahu mencari yang terbaik terutama dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang.

“Kita masih lagi mahu memantapkan bahagian serangan dengan mencari penyerang yang sesuai dan mampu menjalankan tugas menjaringkan gol serta serasi dengan pasukan.

“Kita tahu tarikh akhir untuk mendaftarkan pemain dan tidak mahu terburu-buru kerana itu bahagian penting bagi menghadapi kempen liga,” katanya kepada Selangor Kini.

Menyentuh soal keserasian pemain sepanjang beberapa siri latihan dan perlawanan persahabatan Rajagobal berkata, ia mengambil masa yang lama untuk kesemua pasukan tetapi beliau akan melihat perkara itu lebih mendalam selepas bermulanya liga.

Red Ants sebelum ini secara rasmi mengumumkan dua pemain import baharu iaitu Romel Morales Ramirez dari Columbia dan Muhammad Faris Ramli dari Singapura bagi memperkuat pasukan mengharungi Liga Malaysia 2018.