Categories
AGENDA NASIONAL

MB, Anwar ucap takziah pemergian Datuk Liew Vui Keong

SHAH ALAM, 2 OKT: Dato’ Menteri Besar menyampai ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia hari ini.

“Saya menerima berita dukacita ahli parlimen Batu Sapi telah meninggal dunia pagi ini.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat beliau serta Parti Warisan Sabah. Semoga tabah mengharungi ujian berat yang menimpa ketika ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Presiden KEADILAN menyampaikan ucapan sama dengan berkata jasa dan pengorbanan mendiang ketika menjadi menteri semasa pentadbiran Pakatan Harapan akan terus dikenang rakyat dan negara.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mendiang. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook.

Vui Keong pernah menjadi Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN) ketika itu, sebelum menyertai Warisan.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan Datuk Seri Najib Razak pada 2009 hingga 2013.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembaharuan badan kehakiman mudahkan proses keadilan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Badan Kehakiman negara kini bukan sahaja dalam proses pendigitalan tetapi memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan akses lebih mudah kepada keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam kenyataan berkata kerajaan juga kini mengusahakan pelbagai inisiatif AI dalam proeses pendigitalan mahkamah.

Ini termasuk pengenalan inisiatif digital seperti ‘e-jamin’ dan ‘e-review’ yang bertujuan mengurangkan keperluan bagi peguam dan anak guam datang secara fizikal ke mahkamah, yang seterusnya menjimatkan masa dan kos semua pihak serta penggunaan sistem rakaman transkrip mahkamah secara digital dan ‘digitally secured evidence’.

“Sepanjang 2020, kerajaan akan terus berusaha dan memperkenalkan pelbagai inisiatif AI yang lain, bagi mendigitalkan mahkamah dan memastikan akses mudah demi keadilan semua.

“Profesion undang-undang perlu menerima pendigitalan, seperti Badan Kehakiman Sabah dan Sarawak yang menunjukkan teladan baik untuk diikuti pengamal undang-undang di seluruh Malaysia.

“Sokongan daripada hakim-hakim utama juga amat penting. Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kerajaan atas sokongan Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak untuk inisiatif ini,” katanya.

Inisiatif digital ini bukan sahaja memudahkan akses kepada keadilan dengan mengurangkan keperluan untuk hadir di mahkamah tetapi juga memberi kesedaran baik untuk alam sekitar dalam mengurangkan penggunaan kertas dan pencemaran karbon akibat perjalanan ke mahkamah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengawasan elektronik sah, tertakluk kepada perlindungan

BATU SAPI, 13 JAN: Pengawasan elektronik oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia adalah sah di sisi undang-undang namun tertakluk kepada perlindungan yang mencukupi untuk mencegah sebarang penyalahgunaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata undang-undang Malaysia berhubung pengawasan elektronik selaras dengan piawaian antarabangsa dan agensi penguatkuasaan undang-undang tidak memulakan pengawasan elektronik mengikut kehendak mereka.

“Terdapat parameter yang diperuntukkan bagi pengawasan elektronik dalam undang-undang serta perlindungan yang mencukupi untuk mencegah sebarang penyalahgunaan pengawasan ini.

“Agensi mesti terlebih dahulu membentangkan kes mereka kepada pendakwa raya. Sekiranya pendakwa raya yakin bahawa sesuatu pengawasan itu benar-benar diperlukan untuk mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu kesalahan jenayah, maka hanya dia boleh menghendakkan pengawasan tersebut dijalankan. Tidak ada sesiapa yang lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kenyataan ini susulan pertanyaan berhubung sama ada pengawasan elektronik di negara ini sah di sisi undang-undang, pada majlis sumbangan Tahun Baharu Cina 2020 kepada warga emas dan sumbangan ‘kepala singa’ kepada persatuan dan kelab di Batu Sapi semalam.

Liew berkata Parlimen telah meluluskan beberapa peruntukan undang-undang bagi membenarkan pengawasan elektronik dengan Seksyen 116C Kanun Tatacara Jenayah sebagai peruntukan am.

“Pengawasan elektronik merupakan satu langkah yang dipraktikkan oleh hampir setiap negara bagi memastikan keselamatan rakyat mereka,” katanya.

Berkenaan beberapa kebimbangan hak asasi manusia melibatkan hak privasi, Liew menjelaskan ia merupakan satu hak yang penting tanpa keraguan, tetapi tiada hak asasi manusia yang mutlak.

“Sentiasa wujudnya beberapa pengecualian bagi mengimbangkan antara kepentingan individu dan negara yang kadang kala bercanggah. Salah satu pengecualian dalam kes ini ialah pengawasan elektronik yang diperlukan untuk melindungi keselamatan negara dan memerangi jenayah yang semakin kompleks pada hari ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Sesyen baharu di Semenyih dan Langkawi

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Dua Mahkamah Sesyen baharu akan dibuka di Semenyih, Selangor dan Langkawi, Kedah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kedua-dua mahkamah itu ditubuhkan bagi menjimatkan masa dan kos pihak yang memerlukan bantuan kehakiman, di samping memastikan hak akses mereka kepada keadilan.

Dalam satu kenyataan, Vui Keong berkata di Semenyih, Mahkamah Sesyen memudahkan hak akses kepada keadilan bagi warga asing yang ditahan di Malaysia atas tuduhan berkaitan imigresen manakala di Langkawi pula akan mendengar kes sivil serta jenayah.

“Ia akan mempercepatkan pelupusan kes ini, mencegah tunggakan kes dan memendekkan tempoh penahanan dalam tahanan imigresen sementara menunggu perbicaraan.

“Sebelum ini, Mahkamah Sesyen yang terdekat dengan Langkawi terletak di Alor Setar, iaitu perjalanan selama dua jam melalui jalan laut,” katanya sambil menambah ia juga akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usul wajibkan anggota Parlimen isytihar harta dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Usul mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, langkah itu adalah satu usaha kerajaan dalam mewujudkan sebuah negara yang berakauntabiliti, telus dan bebas rasuah.

“Walaupun kerajaan dah ambil tindakan untuk mereformasi perkhidmatan kerajaan berkaitan rasuah dan mula pendakwaan terhadap individu disyaki melakukan rasuah, kerajaan berpendapat inisiatif kerajaan ini masih boleh ditambah baik.

“Usaha kerajaan untuk perangi rasuah bukan sahaja berkaitan tindakan pencegahan dan hukuman tapi membabitkan isu perspektif rakyat iaitu usaha itu mesti dapat dilihat dan disedari lapisan rakyat,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Liew berkata kerajaan mengambil maklum tiada undang-undang mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan harta, justeru atas faktor itu, kerajaan berpendirian usul itu cara paling baik untuk menguatkuasakan tindakan mewajibkan setiap daripada mereka mengisytiharkan harta.

Beliau menarik perhatian dewan bahawa memandangkan pengisytiharan itu telah dilaksanakan anggota pentadbiran dan anggota Parlimen kerajaan, maka sudah tiba masa semua anggota Parlimen termasuk pembangkang membuat perkara sama atas prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Katanya usul itu akan terpakai kepada semua anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

“Sebaik usul ini diluluskan ia akan membolehkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan sehingga 1 Oktober 2019 dengan mengisi borang akuan berkanun yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kesemua akuan berkanun ini perlu diakui sumpah sebagaimana ditetapkan dalam Akta Akuan Berkanun 1960 atau Akta 783. Dalam konteks ini harta yang dinyatakan adalah pendapatan bulanan dan semua harta alih dan tidak alih, di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata akuan berkenaan kemudian akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan dan disalin kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian dimuat naik senarai nama dan butiran harta anggota Parlimen selama tempoh tiga bulan dari tarikh SPRM menerima akuan berkanun.

“Memandangkan usul ini satu ketetapan Dewan yang akan mengikat semua anggota Parlimen, maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada arahan ini, Yang Berhormat boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

“Seterusnya sekiranya didapati membuat akuan tidak benar, maka anggota itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan, anggota Parlimen berkenaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tiga tahun dan denda,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan cadang bina Kompleks Mahkamah Shah Alam baharu

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan bercadang membina bangunan Kompleks Mahkamah Shah Alam yang baharu bagi menggantikan bangunan yang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata langkah itu perlu berikutan keadaan bangunan mahkamah sedia ada tidak selesa selain wujud pelbagai masalah berkaitan infrastruktur.

“Kita mendapati bangunan mahkamah yang beroperasi sejak 2000 itu mempunyai banyak kelemahan termasuk kesesakan (kenderaan) di kawasan tempat letak kereta, laluan keluar masuk ke mahkamah yang terhad serta reka bentuk bangunan yang tidak mesra pengguna terutamanya untuk golongan OKU (orang kelainan upaya).

“Jadi kita perlu satu tapak (tanah) untuk membina bangunan mahkamah yang baharu bagi mengatasi masalah ini sekaligus memastikan keselesaan dan keselamatan hakim, peguam, pihak berkuasa dan orang awam ketika urusan perundangan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Seksyen 4 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Mahkamah Negeri Selangor Rozilah Salleh dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Liew, yang bertanggungjawab dalam portfolio undang-undang, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi mengenalpasti tapak tanah yang sesuai bagi membangunkan kompleks mahkamah berkenaan.

“Mungkin kita boleh guna pendekatan ‘land swap’ antara Persekutuan dan Negeri bagi mendapatkan tapak yang sesuai… saya akan bertemu Menteri Besar dalam waktu terdekat sebelum kita adakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan berhubung peruntukan yang diperlukan bagi tujuan ini,” katanya.

Bagi pembinaan bangunan kompleks mahkamah itu, pihaknya akan mengambil pandangan dan pendapat daripada pihak berkenaan termasuk hakim dan peguam supaya reka bentuk bangunan itu sesuai dan lebih kondusif untuk kakitangan mahkamah, kata beliau. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Senarai calon Pesuruhjaya Suhakam diserah kepada PM

PUTRAJAYA, 24 JUN: Senarai nama calon Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seminggu lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

“Senarai nama calon itu diserahkan kepada perdana menteri untuk beliau membuat pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Dialog Peringkat Tinggi Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia hari ini.

Sejak 16 Jun, Suhakam “lumpuh” kerana kerajaan belum melantik pengerusi baharu dan para pesuruhjayanya.

Suhakam sebelum ini dipengerusikan oleh Tan Sri Razali Ismail yang telah meletak jawatan pada 16 April, hampir dua minggu sebelum tempoh pelantikannya tamat pada 27 April.

Pada 25 April, tujuh pesuruhjaya juga menamatkan penggal perkhidmatan tiga tahun mereka. Mereka ialah Datuk Lok Yim Pheng, Datuk Mah Weng Kwai, Prof Datuk Dr Aishah Bidin, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Francis Johen Adam, Datuk Godfrey Gregory Joitol dan Jerald Joseph.

Penggal pelantikan seseorang pesuruhjaya adalah tiga tahun. Kali terakhir pelantikan dibuat ialah pada Julai 2016 dan dikebelakangkan kepada April tahun yang sama.

Liew berkata Kabinet pada 20 Jun telah melulus dan mempersetujui cadangan supaya ‘Hak Asasi Manusia’ diletak di bawah portfolio beliau dan akan dibantu oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

“Saya berharap perkembangan terbaru ini akan membuka laluan menuju ke depan yang penting dan positif dalam tadbir urus hak asasi manusia di Malaysia,” kata beliau.

Mengenai dialog berkenaan, Liew berkata ia melibatkan pertukaran pandangan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, selain wawasan kerajaan berhubung perkembangan Pelan Tindakan Negara Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR).

“Kerajaan komited hendak memastikan bahawa perniagaan dan projek-projek pembangunan dilaksanakan mengikut jangkaan pasaran global mengenai tadbir urusa yang baik, integriti, akauntabiliti dan ketelusan, selain penghormatan korporat terhadap hak asasi manusia,” kata beliau. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemulihan banduan sebagai langkah kurangkan kesesakan dalam penjara – Liew

KUALA LUMPUR, 3 APR: Kerajaan mengambil kira pemulihan banduan khususnya pesalah dadah dalam usaha mengurangkan kesesakan dalam penjara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan antara langkah yang boleh diambil bagi melaksanakan pembaharuan sistem penjara dan lokap dalam negara selain meminimumkan kos pengendalian institusi penjara.

“Daripada sejumlah 66,222 banduan di seluruh negara ini, 56 peratus daripada mereka terlibat dadah. Setelah mereka kembali daripada menjalani hukuman, 99 peratus akan mengulangi ketagihan dadah ekoran stigma masyarakat yang tidak menerima mereka.

“Ini yang kita perlu atasi dengan mengubati mereka dan bukan memenjarakan mereka. Mungkin perlu ada satu pusat pemulihan utama yang memberikan kemudahan perubatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tentang perlunya pengurusan kebersihan dan kesihatan di penjara seluruh negara diseragamkan demi kebajikan banduan.

Nurul Izzah ketika menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio, di sini, hari ini berkata, penyeragaman itu perlu bagi memastikan banduan mendapat akses kesihatan dan persekitaran yang bersih walaupun mereka sedang menjalani hukuman.

Beliau turut menyentuh usul persendirian mengenai pembaharuan sistem penjara dan lokap yang akan dibincangkan di peringkat dalaman sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibentangkan di Parlimen.

Menurut Izzah, perbincangan itu akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Penjara dan dijangka diadakan Isnin depan.

Mengulas lanjut, Liew berkata, usaha pemulihan sepenuhnya banduan dapat menjimatkan kos pengendalian tadbir urus penjara dan lokap selain mengelakkan pesalah dadah kembali terlibat dengan dadah.

“Kita dapat jimatkan kos yang ditanggung kerajaan untuk membiayai banduan dan dengan penjimatan, kita mampu membina pusat-pusat pemulihan tertentu selain memberikan bantuan perubatan kepada banduan sedia ada yang menjalani pemulihan daripada ketagihan dadah,” katanya.

Liew menyerahkan kepada KDN yang mempunyai bidang kuasa bagi menguruskan perkara itu selain menyokong penuh pembaharuan sistem penjara dan lokap.

SUMBER: BERNAMA