Categories
AGENDA NASIONAL

FAM harap AFC dengar suara majoriti

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju supaya baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata skuad kebangsaan dan dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Indonesia telah menyatakan persetujuan supaya ia ditangguhkan untuk dijalankan secara karnival di UAE.

Namun, katanya Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

“Harapan saya supaya AFC dapat bersetuju kerana majoriti pasukan telah menyatakan persetujuan untuk ia ditangguhkan ke bulan Jun, hanya satu (Vietnam) saja belum. Jadi AFC boleh mengambil kira faktor majoriti ini untuk dijadikan panduan dan memandu mereka dalam membuat keputusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengikut perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac, namun timbul isu perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan nampak bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun.

Menurut Mohd Yusoff, FAM kini hanya menunggu keputusan akhir daripada AFC berhubung perkara berkenaan sebelum boleh merangka perancangan buat pasukan negara termasuk memuktamadkan sesi kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Pada masa sama, beliau yang juga pengurus pasukan negara berpendapat UAE lebih berhak diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah sekiranya aksi ditangguh ke Jun memandangkan UAE memiliki baki perlawanan di gelanggang sendiri lebih banyak berbanding Vietnam.

“Sebelum ini, UAE lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat dan berdasarkan senario terkini, tiga daripada empat baki perlawanan mereka akan bermain sebagai tuan rumah, jadi sebab itu kita pun setuju kalau bulan Jun karnival diadakan di UAE,” tambah beliau.

UAE dijadual berdepan Malaysia, Thailand dan Vietnam di laman sendiri sementara menjadi pasukan pelawat menentang Indonesia dalam melengkapkan keseluruhan baki empat perlawanan Kumpulan G saingan kelayakan itu.

Sementara Vietnam hanya mempunyai satu perlawanan sebagai pasukan tuan rumah menentang Indonesia dalam baki tiga perlawanan.

Selepas lima perlawanan, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata sementara pendahulu Vietnam mengumpul 11 mata manakala Thailand ketiga dengan lapan mata. UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harimau Malaya kesuntukan masa persiap pasukan – pengurus

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Susulan tiada aksi antarabangsa sepanjang musim 2020 mewujudkan kebimbangan kepada skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi getir saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui pasukan negara kini memiliki tempoh terhad untuk melakukan persiapan bagi meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu.

Turut menjadi kegusaran beliau adalah prestasi pasukan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, di samping aspek kombinasi pemain dalam skuad kebangsaan selepas lebih setahun tidak menjalani kem latihan pusat susulan penularan pandemik Covid-19.

Menyedari UAE dan Vietnam sudah melakukan persediaan lebih awal, Mohd Yusoff berkata Cheng Hoe serta barisan pemain negara perlu memanfaatkan kem latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari ini yang menjadi sesi latihan berpasukan pertama skuad kebangsaan sejak November 2019.

“Sejujurnya, ada sedikit kerisauan tetapi saya mengharapkan jurulatih dapat merangka sesuatu perancangan yang lebih komprehensif serta menepati dan dapat menyediakan pasukan walaupun dalam masa singkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Barisan pemain juga perlu memainkan peranan, maknanya kali ini pemain juga kena berkorban dan memberi penumpuan lebih daripada 100 peratus kerana masa yang sedikit ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi kita menyediakan sebuah pasukan mantap,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan selepas meraih kemenangan ke atas Thailand serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

Pada masa sama, Mohd Yusoff mengharapkan kerjasama pasukan dan kelab tempatan dapat melepaskan pemain masing-masing yang terpilih ke kem latihan pusat skuad kebangsaaan meskipun dalam tempoh persediaan pramusim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 bermula hujung bulan depan.

“Tidak banyak ruang yang ada cuma bulan Januari, kita dapat peluang untuk mempersiapkan pemain dan Cheng Hoe dapat bersama pasukan setelah lebih setahun, jadi saya fikir ini perlu dihayati setiap pasukan.

“Beri beliau (Cheng Hoe) peluang mendapatkan pemain dikehendaki dalam kem latihan kali ini supaya dapat melihat prestasi pemain dalam usahanya menyediakan pasukan terbaik negara bagi menghadapi perlawanan penting bulan Mac nanti,” katanya.

Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac.

– BERNAMA