Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Harimau Malaya perlukan 12 hari buat persiapan hadapi UAE

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Menyedari skuad kebangsaan jauh ketinggalan dari sudut persiapan berbanding tiga lawannya, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berharap dapat menyediakan pasukan lebih awal, menjelang baki saingan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Jun ini.

Cheng Hoe mahukan tempoh antara 10 hingga 12 hari pada Mei, sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) yang telah melakukan persiapan lebih awal, termasuk menguji pasukan melalui beberapa siri aksi persahabatan sejak tahun lepas.

Jelasnya, persediaan rapi sebelum bersaing dengan ketiga-tiga pasukan dalam aksi Kumpulan G itu, merupakan faktor utama yang mampu membawa kepada kejayaan skuad Harimau Malaya dalam misi layak secara automatik, ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Mana-mana pasukan kalau dapat lagi lama (persiapan) lagi bagus, tetapi jika dapat dalam 10 atau 12 hari memang sesuatu yang terbaik, sebab kita juga perlu menyusun aksi pemanas badan yang merupakan elemen terpenting kepada pasukan.

“Berbanding main di laman sendiri, aksi kali ini agak berlainan sebab kita bermain di UAE. Kita perlu berada di sana atau negara yang iklimnya lebih kurang dengan UAE, kerana kita memang perlukan masa untuk tujuan adapatasi dengan cuaca di sana,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bulan Jun dianggap sebagai musim panas di UAE, terutama di ibu kotanya Abu Dhabi dengan purata suhu di waktu siang mampu mencapai 40 darjah celsius, dan purata 25 darjah celsius pada sebelah malam.

Sebagai jurulatih berpengalaman, Cheng Hoe bagaimanapun tidak melihat ia sebagai halangan untuk mencipta kejayaan di UAE, sekiranya barisan pemain mampu bersedia dari segi mental dan fizikal menerusi tempoh masa persiapan yang ideal.

Kini, apa yang menjadi kegusaran beliau adalah aksi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual berlangsung sehingga minggu terakhir Mei, sekali gus menjadi halangan bagi mengumpulkan barisan pemain lebih awal.

Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan cadangan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan aksi Liga-M, melibatkan perlawanan selepas Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 dan 14 Mei.

“Memang bagus jika ia (cadangan FAM) diterima, sebab semua maklum skuad kebangsaan sudah lebih setahun tidak dikumpulkan untuk menjalani kem latihan, dan kem latihan pusat di Johor Bahru (22-28 Mac) juga agak singkat, tetapi saya gembira dengan bagaimana ia dilaksanakan,” kata Cheng Hoe.

Selepas lima perlawanan, Malaysia dipisahkan dua mata di belakang Vietnam selaku pendahulu kumpulan dengan mengumpul 11 mata, sementara Thailand di kedudukan ketiga (lapan mata) dan UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata, dengan kurang satu perlawanan.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi skuad kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30), dan selepas menewaskan Thailand serta Indonesia dalam aksi kumpulan sebelum ini, Malaysia berada di landasan terbaik untuk layak secara merit, selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Prestasi skuad Harimau Malaya meningkat

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Selepas 16 bulan tidak berlatih bersama, Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Tan Cheng Hoe gembira dengan peningkatan prestasi ditunjukkan pasukannya dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kali ini.

Memasuki hari keempat kem latihan pusat di Johor Bahru, Cheng Hoe menyifatkan kehadiran beberapa muka baharu dalam pasukan memberikan impak positif dari setiap aspek sekali gus memberi keseimbangan yang baik kepada pasukan ketika ini.

“Sudah tentu selepas 16 bulan suasana agak berlainan tetapi saya yakin dengan menjalani latihan kali ini walaupun singkat, kita nampak dari segi kualiti itu memang lebih baik.

Saya harap ia dapat dikekalkan kerana kita perlukan satu momentum terbaik untuk menghadapi perlawanan pada Jun nanti,” katanya pada satu sidang media secara maya, hari ini.

Sejak kali terakhir dikumpulkan pada November 2019, skuad kebangsaan akhirnya kembali menyertai kem latihan bermula Isnin lepas menjelang tiga aksi getir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun.

Malaysia akan meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik Covid-19 secara berpusat menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE.

Pengendali berusia 52 tahun itu berkata intensiti latihan akan ditingkatkan bagi lebih menyediakan barisan pemainnya untuk mengatasi cabaran persaingan tiga pasukan itu dalam merebut tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selain mara ke pusingan ketiga kelayakan.

“Bermula malam ini intensiti latihan akan ditingkatkan supaya pemain tahu apabila datang kepada saingan kelayakan piala dunia, intensiti dan tempo permainannya sangat tinggi. Kita akan teruskan perancangan tetapi tetap akan berwaspada supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pemain,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe memaklumkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh dan penyerang Sarawak United FC Norshahrul Idlan Talaha – dua pemain yang sedang melalui proses pemulihan akibat kecederaan dialami – dijangka menyertai latihan bersama 26 pemain dalam masa terdekat.

Cheng Hoe memanggil 28 pemain kali ini dengan pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsuddin, 19, merupakan pemain termuda manakala Norshahrul, 35, pemain paling senior dalam pasukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAM harap AFC dengar suara majoriti

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju supaya baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata skuad kebangsaan dan dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Indonesia telah menyatakan persetujuan supaya ia ditangguhkan untuk dijalankan secara karnival di UAE.

Namun, katanya Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

“Harapan saya supaya AFC dapat bersetuju kerana majoriti pasukan telah menyatakan persetujuan untuk ia ditangguhkan ke bulan Jun, hanya satu (Vietnam) saja belum. Jadi AFC boleh mengambil kira faktor majoriti ini untuk dijadikan panduan dan memandu mereka dalam membuat keputusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengikut perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac, namun timbul isu perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan nampak bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun.

Menurut Mohd Yusoff, FAM kini hanya menunggu keputusan akhir daripada AFC berhubung perkara berkenaan sebelum boleh merangka perancangan buat pasukan negara termasuk memuktamadkan sesi kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Pada masa sama, beliau yang juga pengurus pasukan negara berpendapat UAE lebih berhak diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah sekiranya aksi ditangguh ke Jun memandangkan UAE memiliki baki perlawanan di gelanggang sendiri lebih banyak berbanding Vietnam.

“Sebelum ini, UAE lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat dan berdasarkan senario terkini, tiga daripada empat baki perlawanan mereka akan bermain sebagai tuan rumah, jadi sebab itu kita pun setuju kalau bulan Jun karnival diadakan di UAE,” tambah beliau.

UAE dijadual berdepan Malaysia, Thailand dan Vietnam di laman sendiri sementara menjadi pasukan pelawat menentang Indonesia dalam melengkapkan keseluruhan baki empat perlawanan Kumpulan G saingan kelayakan itu.

Sementara Vietnam hanya mempunyai satu perlawanan sebagai pasukan tuan rumah menentang Indonesia dalam baki tiga perlawanan.

Selepas lima perlawanan, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata sementara pendahulu Vietnam mengumpul 11 mata manakala Thailand ketiga dengan lapan mata. UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harimau Malaya kesuntukan masa persiap pasukan – pengurus

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Susulan tiada aksi antarabangsa sepanjang musim 2020 mewujudkan kebimbangan kepada skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi getir saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui pasukan negara kini memiliki tempoh terhad untuk melakukan persiapan bagi meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu.

Turut menjadi kegusaran beliau adalah prestasi pasukan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, di samping aspek kombinasi pemain dalam skuad kebangsaan selepas lebih setahun tidak menjalani kem latihan pusat susulan penularan pandemik Covid-19.

Menyedari UAE dan Vietnam sudah melakukan persediaan lebih awal, Mohd Yusoff berkata Cheng Hoe serta barisan pemain negara perlu memanfaatkan kem latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari ini yang menjadi sesi latihan berpasukan pertama skuad kebangsaan sejak November 2019.

“Sejujurnya, ada sedikit kerisauan tetapi saya mengharapkan jurulatih dapat merangka sesuatu perancangan yang lebih komprehensif serta menepati dan dapat menyediakan pasukan walaupun dalam masa singkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Barisan pemain juga perlu memainkan peranan, maknanya kali ini pemain juga kena berkorban dan memberi penumpuan lebih daripada 100 peratus kerana masa yang sedikit ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi kita menyediakan sebuah pasukan mantap,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan selepas meraih kemenangan ke atas Thailand serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

Pada masa sama, Mohd Yusoff mengharapkan kerjasama pasukan dan kelab tempatan dapat melepaskan pemain masing-masing yang terpilih ke kem latihan pusat skuad kebangsaaan meskipun dalam tempoh persediaan pramusim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 bermula hujung bulan depan.

“Tidak banyak ruang yang ada cuma bulan Januari, kita dapat peluang untuk mempersiapkan pemain dan Cheng Hoe dapat bersama pasukan setelah lebih setahun, jadi saya fikir ini perlu dihayati setiap pasukan.

“Beri beliau (Cheng Hoe) peluang mendapatkan pemain dikehendaki dalam kem latihan kali ini supaya dapat melihat prestasi pemain dalam usahanya menyediakan pasukan terbaik negara bagi menghadapi perlawanan penting bulan Mac nanti,” katanya.

Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cheng Hoe idam kemenangan ke atas Indonesia

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rentetan kejayaan yang dilakar skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan sebelum ini, jelas menaikkan semangat pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang memburu keputusan positif ke atas Indonesia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui kemenangan ke atas skuad Garuda bakal menjadi penamat paling bermakna untuk dirinya pada musim ini, namun tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal ditampilkan pasukan lawan susulan empat kekalahan berturut-turut yang dialami pada kempen kelayakan pada kali ini.

“Perlawanan esok merupakan perlawanan terakhir kami pada tahun ini, dan kami mahu mendapatkan keputusan positif. Walaupun pernah menewaskan Indonesia, 3-2 pada aksi sebelum ini (di tempat lawan), perlawanan malam esok adalah berbeza kerana Indonesia dibarisi beberapa muka baharu serta pengendali baharu,” katanya pada sidang media pra-perlawanan berkenaan di sini, hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia mengejutkan pasukan ranking ke-116 dunia, Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan pada 9 November lalu, sebelum menumbangkan Thailand 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menyifatkan kebanjiran penyokong tempatan yang dijangka memenuhi venue berkenaan malam esok, bakal memberi tonik tambahan kepada barisan pemain dalam menampilkan aksi terbaik di tempat sendiri setelah menumpaskan Thailand pada pusingan kelayakan di venue yang sama.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan dua pemain tonggak iaitu penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad dan pertahanan kanan, Matthew Davies yang terlepas aksi berdepan Thailand, Cheng Hoe yakin barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang bakal dipikul mereka.

Muhammad Syafiq dan Matthew digantung satu perlawanan susulan dua kad kuning yang dikutip pada dua aksi pusingan kelayakan menentang Vietnam dan Thailand, sebelum ini.

Berkongsi pandangan sama adalah pertahanan tengah skuad kebangsaan, Shahrul Mohd Saad yang mendedahkan rakan sepasukan di benteng pertahanan sudah mula mendapat keserasian pada aksi berdepan Thailand, dan yakin keserasian berkenaan mampu dijelmakan sekali lagi apabila mereka turun berdepan Indonesia, esok.

“Walaupun kita berjaya mendapatkan gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, namun apa yang saya maklumkan kepada rakan sepasukan untuk elakkan (gawang) pasukan kita daripada dibolosi. Saya harap pada perlawanan esok, bukan sahaja barisan pertahanan, tetapi semua pemain supaya lebih fokus,” jelas kapten pasukan Perak itu.

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata, manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Malaysia tewaskan Thailand 2-1

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Malaysia menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Separuh masa pertama: Malaysia 1-1 Thailand.

Penjaring Malaysia: Brendan Gan (minit ke-26), Mohamadou Sumareh (56’)

Thailand: Chanathip Songkrasin (7’)

Barisan pemain Malaysia: Khairulazhan Khalid, Muhammad Syahmi Safari (Matthew Davies), Shahrul Mohd Saad, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (K), La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Mohd Afiq Fazail), Mohamed Syamer Kutty Abba, Mohamadou Sumareh (Muhammad Akhyar Rashid), Muhammad Syafiq Ahmad and Muhammad Safawi Rasid.

Thailand: Siwarak Tedsungnoen (K), Yusef Elias Dolah, Sarach Yooyen (Sivakorn Tiatrakul), Supachok Sarachat, Ekanit Panya (Bordin Phala), Teerasil Dangda, Korrakot Wiriyaudomsiri, Manuel Tom Bihr, Phitiwat Sukjitthammakul, Chanathip Songkrasin and Tristan Do (Narubadin Weerawatnodom).

Pengadil: Ali Sabah Al-Qaysi (IRQ)

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan UAE tiba awal di Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di sini beberapa hari lalu menjelang aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 10 September.

Anggota jawatankuasa teknikal FA UAE, Dr Hassan Suhail berkata, pasukan itu memutuskan untuk tiba awal di Kuala Lumpur untuk memastikan pemain ‘Al Abyad’ dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan cuaca dan waktu selain faktor lain yang memberi kesan kepada prestasi pasukan.

“Semua orang tahu betapa pentingnya aksi pertama dalam pusingan kelayakan ini, yang merupakan permulaan bagi Pasukan Nasional.

“Saya percaya bahawa melakar keputusan positif ketika berdepan Malaysia akan menjadi motivasi yang kuat untuk semua pemain dalam mengharungi baki perlawanan seterusnya menanti pasukan dalam kumpulan ini, yang semuanya bertekad untuk layak ke peringkat seterusnya,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang FA UAE; www.uaefa.ae, semalam.

Hassan berkata, ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk menyenaraikan 25 pemain dalam skuad bagi pusingan kelayakan dan meletakkan peluang bagi gergasi Asia Barat itu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Keyakinan terhadap pemain-pemain kami adalah berdasarkan bahawa kami mempunyai ramai pemain yang mempunyai kemampuan untuk menampilkan prestasi terbaik dan melakar keputusan yang meletakkan pasukan di landasan yang betul,” tambah Hassan.

Pasukan UAE telah memulakan latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Khamis.

Untuk rekod, UAE telah menjalani latihan pusat selama 10 hari di Salzburg, Australia pada Julai diikuti kem latihan kedua di Bahrain yang menyaksikan pasukan itu menundukkan Republik Dominica 4-0 dan membelasah Sri Lanka 5-1.

– BERNAMA