Categories
AGENDA NASIONAL

Kemenangan berganda lonjak semangat Petronas Yamaha SRT

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali adalah individu paling gembira apabila pelumba pasukannya Fabio Quartararo meraih kemenangan berganda di Litar Jerez, Sepanyol pada Ahad.

Kejayaan dilakar pada Grand Prix (GP) Andalusia di litar yang sama berlangsungnya GP Sepanyol minggu lepas, pastinya menjadi pembakar semangat untuk perlumbaan seterusnya di GP Republik Czech yang berlangsung di Litar Brno, minggu depan.

“Ia satu kemenangan yang hebat buat Fabio di MotoGP. Kemenangan berturut-turut ini menjadikannya berada di tangga teratas kejuaraan. Namun, nasib tidak baik buat Franky (Franco Morbidelli) kerana saya menjangkakan boleh meraih kemenangan satu-dua buat pasukan kami.

“Kami bersimpati (dengan Morbidelli) kerana beliau berada dalam keadaan baik sepanjang minggu ini dan berhak mendapat keputusan yang baik. Bagaimanapun, ia tetap hujung minggu yang menakjubkan dengan kemenangan berturut-turut dan mengungguli kejuaraan. Kita perlu lakukannya lagi di Brno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Quartararo atau diberi gelaran ‘El Diablo’ meraih kejuaraan keduanya musim ini selepas GP Sepanyol minggu lepas, dengan mencatat 41 minit 22.666 saat, diikuti dua pelumba pasukan Monster Energy Yamaha Maverick Vinales dari Sepanyol di tempat kedua dan pelumba sensasi Valentino Rossi di tempat ketiga dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan panas terik dengan suhu 38 darjah Celcius.

Morbidelli yang bermula dari petak kesembilan bagaimanapun, gagal menamatkan perlumbaan ketika berbaki sembilan pusingan berikutan masalah jentera yang dialaminya.

Kejayaan di GP Andalusia ini menyaksikan Quartararo mengungguli kejuaraan MotoGP dengan mengumpul 50 mata, diikuti Vinales (40 mata) manakala pelumba Itali Andrea Dovizioso mewakili Ducati Team di kedudukan ketiga dengan 26 mata, selepas dua perlumbaan. Morbidelli pula di kedudukan ke-10 dengan 11 mata.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kejayaan Quartararo lonjak jenama Malaysia – Razlan

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Kejayaan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo meraih kejuaraan sulung MotoGP, di Litar Jerez, Sepanyol, semalam, telah mengharumkan jenama Malaysia di pentas sukan permotoran antarabangsa.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata kejayaan yang dilakar pelumba dari Perancis itu, turut menaikkan jenama Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam saingan kelas premier perlumbaan dua roda berkenaan.

“Setakat ini, saya masih tidak percaya dengan apa yang terjadi, namun itulah keputusannya, kita dapat nombor satu.

“Pasukan satelit (Yamaha) pertama meraih kemenangan dalam sejarah perlumbaan MotoGP sejak 22 tahun lepas,” kata Razlan dalam satu rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Razlan berkata Petronas Yamaha SRT terus melakukan persiapan rapi bagi menghadapi saingan GP Andalusia yang dijadual berlangsung minggu depan di litar yang sama.

Quartararo, 21, yang bermula di petak depan, mendahului pelumba Sepanyol Maverick Vinales dari Monster Energy Yamaha dan pelumba pasukan Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali, yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Perlumbaan pembukaan MotoGP musim ini, turut menyaksikan juara dunia, Marc Marquez gagal menamatkan perlumbaan ekoran terjatuh ketika di pusingan ke-22, manakala seorang lagi pelumba Petronas Yamaha SRT Franco Morbidelli menamatkan saingan di tempat kelima.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Razlan puas hati aksi Quartararo, McPhee di GP San Marino

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Ketua pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali memuji dua pelumbanya yang berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino and Rimini’s Coast di Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali, pada Ahad.

Pelumba Petronas Yamaha SRT MotoGP, Fabio Quartararo dari Perancis berjaya menaiki podium buat kali keempat selepas menduduki tempat kedua di belakang juara dunia MotoGP, Marc Marquez dari Repsol Team Honda, manakala penunggang Petronas Sprinta Racing Moto3, John McPhee dari Great Britain, memenangi podium ketiganya apabila menduduki tempat kedua perlumbaan.

Untuk rekod, Quartararo sebelum ini menduduki tempat kedua dalam perlumbaan GP Catalunya, dan tempat ketiga dalam GP Belanda dan GP Austria, manakala McPhee muncul juara dalam GP Perancis selain menduduki tempat ketiga di GP Austria sebelum ini.

“Keputusan Fabio dalam MotoGP dan John dalam Moto3 amat hebat, terutama bagi John yang berjaya memintas pelumba di hadapannya walaupun bermula dari grid di belakang, manakala Fabio pula cukup hebat apabila mendahului pelumba lain dalam beberapa pusingan, dan bersaing sengit dengan Marc Marquez,” menurut Razlan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, hari ini.

“Ia minggu yang hebat buat Yamaha, dan diharapkan permulaan yang baik ini akan berterusan,” kata beliau yang juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang.

Sementara itu, Razlan berkata, beliau percaya rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun dan pelumba Moto2 negara, Adam Norrodin boleh bangkit kembali daripada kegagalan di Itali.

Sasaki gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan tiga lagi pelumba lain dalam pusingan pembukaan Moto3, manakala Adam yang menggantikan Khairul Idham Pawi juga gagal menyinar apabila terlibat dengan kemalangan di pusingan kelima perlumbaan Moto2.

Kejohanan Dunia MotoGP 2019 akan diteruskan dengan perlumbaan berikutnya di GP Aragon, Sepanyol pada 20-22 September.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Sekurang-kurangnya dua tawaran menanti Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali percaya sekurang-kurangnya dua tawaran sedang menanti pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin.

Ketika dihubungi Bernama, Razlan berkata, beliau telah berjumpa Hafizh semalam selepas berita mengenai pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengumumkan kontrak baharu dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder.

“Memang kontrak Hafizh dengan Tech3 berakhir sehingga musim ini tetapi sudah ada tawaran menanti Hafizh, cuma dia perlukan masa untuk buat pilihan.

“Kalau kita tengok, dalam MotoGP tidak banyak tempat. Peluang dia agak sukar. Pasukan Petronas Yamaha SRT sendiri pun sudah tiada tempat, kami sudah ikat kontrak dengan pelumba sehingga tahun 2020,” katanya yang juga Prinsipal Pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha SRT.

Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila Hafizh masih tidak ditawarkan kontrak baharu oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020.

Ia susulan prestasi yang dilihat tidak konsisten pada musim ini berbanding penampilan pertamanya musim lepas.

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 di Litar Assen pada Jun.

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh musim ini menyaksikan beliau dan pasukan masih dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.

Dalam pada itu, Razlan berkata, pihak SIC sedia membantu Hafizh jika pelumba negara mahu meneruskan karier dalam arena permotoran, sama ada dalam saingan MotoGP ataupun Moto2.

“Saya mahu peminat sukan permotoran sabar dan tunggu keputusan daripada Hafizh…beri masa kepada dia. Lagipun sekarang tempoh bercuti, memang ramai pelumba akan bertukar sana-sini (pasukan).

“Sekiranya Hafizh perlukan pertolongan daripada SIC, kita akan bantu dia untuk kekal dalam saingan MotoGP ataupun turun ke Moto2,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status Hafizh dalam arena permotoran. – BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

20 tahun MotoGP bertapak di Sepang

KUALA LUMPUR, 19 APR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menjadi pemangkin pembangunan permotoran di Malaysia seiringi dengan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang menandakan genap 20 tahun di Sepang semalam yang membangkitkan minat baharu di kalangan rakyat Malaysia kepada sukan permotoran.

“Secara semulajadi, kejayaan memiliki pasukan MotoGP sepenuhnya adalah luar biasa dan saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

“Tetapi secara jujur, saya tidak melihat ini sebagai kemuncak untuk pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak peristiwa yang lebih hebat akan berlaku pada masa akan datang terutama dalam sukan permotoran di Malaysia. Bagi MotoGP masa depannya bersinar terang untuk Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang juga Team Principal Petronas Yamaha Sepang Racing Team.

Razlan dalam satu kenyataan berkata, bahawa detik-detik bersejarah dilakar oleh Malaysia dalam MotoGP apabila SuperKIP (Khairul Idham Pawi) mengungguli Grand Prix Argentina dan Jerman dalam Moto3, Zulfahmi Khairuddin menduduki tangga kedua di Sepang dan hampir menang pada 2012 serta Hafizh Syahrin Abdullah menduduki podium dalam Moto2 dan menjadi rakyat Malaysia pertama dalam sejarah beraksi dalam kelas MotoGP.

“Akan ada pencapaian yang lebih besar pada masa akan datang jika kita terus berusaha membina kejayaan dan minat MotoGP yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya.

Razlan mengakui bahawa Zulfahmi adalah pencetus perubahan dalam sejarah MotoGP Malaysia apabila SIC mengambil langkah lebih berani untuk meletakkan pelumba muda Zulfahmi pada musim penuh dalam kelas 125cc menggunakan jentera Aprilia di bawah Air Asia-Litar Antarabangsa Sepang.

“Dia ketika itu bukan pelumba handalan Malaysia, tetapi beliau mencetuskan minat terbesar dalam permotoran apabila semain ramai rakyat Malaysia mengikuti jejaknya pada kejohanan dunia dan Malaysia kini berbangga mempunyai pasukan MotoGP sendiri dan kejayaan Hafizh Syahrin beraksi dalam kelas MotoGP, benar-benar mengagumkan, ” katanya.

Beliau berkata ketika Sepang meraikan 20 tahun dalam MotoGP, mungkin secara kebetulan Petronas Yamaha Sepang Racing Team memiliki nombor 20 sebagai nombor persaingan dalam kelas MotoGP utama dengan penyertaan Fabio Quartararo berusia 19 tahun.

“Musim 2019 diharap akan menjadi istimewa untuk Malaysia, yang akan menganjurkan Shell Malaysia MotoGP dari 1 hingga 3 November,” katanya.

Sejak 1991, Grand Prix Motosikal Dunia atau MotoGP seperti dikenali sekarang, telah diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang.

Selepas perasmian SIC, kejohanan dunia menemukan venue baharu yang menyaksikan peningkatan populariti di Malaysia, terutama selepas memperkenalkan Program Wildcard kebangsaan oleh SIC pada 2009.

MotoGP sulung di SIC adalah pembuka tirai bagi musim 1999, dan ia bermula pada 17 April dengan sesi latihan bebas untuk semua ketiga-tiga kategori 125cc, 250cc dan 500cc.

Kenny Roberts Jr dari Suzuki Grand Prix Team dinobatkan sebagai pemenang pertama kelas 500cc pada April 1999. Kelas 250cc dimenangi oleh pelumba Itali, Loris Capirossi sementara pelumba Jepun, Masao Azuma mengungguli perlumbaan 125cc.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: LITAR ANTARABANGSA SEPANG (SIC)