Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket kartel projek: Lapan disambung reman

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Lapan individu yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket kartel projek kerajaan disambung reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata tujuh daripada mereka disambung reman sehingga 15 April manakala seorang lagi sehinga 16 April ini.

“Tujuh daripadanya disambung hingga Khamis ini dan seorang lagi sehingga pada Jumaat ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 4 April lalu, SPRM berjaya membongkar sindiket kartel yang dipercayai memonopoli sejumlah 354 tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak tujuh tahun lalu

Setakat ini, lapan individu berusia antara 35 dan 47 tahun termasuk seorang juruukur bahan gred 48 daripada sebuah agensi kerajaan telah ditahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM jamin bertindak profesional laksana tugas

PUTRAJAYA, 22 MAC: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki memberi jaminan agensi itu akan melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional berlandaskan undang-undang.

Katanya SPRM juga akan menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diberikan.

Jaminan itu diberikan pada pertemuan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat kunjungan ke pejabatnya hari ini.

“Dalam pertemuan tersebut, saya telah mendengar beberapa isu semasa berbangkit dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar yang menjadi keprihatinan beliau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena kunjungan itu.

Azam berkata SPRM juga menghargai sokongan yang diberikan oleh Ketua Pembangkang itu terhadap agensi berkenaan dalam usaha membanteras rasuah secara berkesan di negara ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau menyokong tindakan SPRM mengekang rasuah di negara ini ekoran Indeks Persepsi Rasuah 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency International menunjukkan amalan itu masih pada tahap membimbangkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM beri jaminan siasatan kes rasuah secara telus – Azam

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan setiap siasatan terhadap kes rasuah dilakukan tanpa sebarang keraguan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata setiap tindakan dilakukan agensi itu adalah jelas dan tidak berkompromi selain meminta semua pihak bersabar agar siasatan dapat dilakukan secara terperinci untuk hasil yang lebih baik.

Beliau juga meminta semua pihak tidak memberikan persepsi negatif terhadap kes yang sedang disiasat selain memberi ruang dan masa kepada SPRM terutama ketika negara sedang menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19.

“(Misalnya) Kes keputusan mahkamah semalam (pada Rabu) merupakan proses yang terpaksa dilalui (selain) menghadapi cakap-cakap negatif orang ramai yang menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

“Seolah-olah SPRM tidak menjalankan tugasnya tapi kami memohon supaya semua pihak bersabar sebab (terdapat) kekangan yang kami hadapi (semasa menjalankan siasatan),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.

Azam berkata tiada sesiapa yang boleh menyekat setiap tindakan SPRM dan hanya masa yang ‘sedikit menjejaskan’ mereka dalam menentukan cepat atau lambat sesuatu siasatan dijalankan.

“Tapi yang saya mohon ialah kesabaran dan saya beri jaminan bahawa tindakan kami akan sentiasa berterusan sepertimana sebelum ini,” katanya.

Pada Rabu, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Sementara, seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang merupakan bekas pengerusi Mara Inc ditahan SPRM pada Rabu dan akan didakwa hari ini atas 22 pertuduhan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM33.45 juta daripada pembelian kontroversi hartanah di Melbourne, Australia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua ekonomi digesa sedia peruntukan anti rasuah – SPRM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggesa semua ekonomi agar menyediakan peruntukan daripada belanjawan tahunan untuk menampung usaha-usaha antirasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata ini penting bagi memastikan kekayaan yang dijana ekonomi itu turut dikongsi bersama rakyat dan bukannya dinikmati oleh segelintir pihak.

“Pada masa sama, kita juga perlu meningkatkan usaha bagi mengelak negara masing-masing dilihat sebagai tempat selamat untuk pelaku-pelaku rasuah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azam menyampaikan ucap tama di mesyuarat maya Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Antirasuah dan Ketelusan (ACTWG) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertemakan ‘Pendedahan Tangan-Tangan Ghaib : Menangani Penyembunyian Pemilikan Berkepentingan,’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, sesebuah negara itu perlu menjana kekayaan ekonomi bagi meneruskan kelangsungan serta mencapai kejayaan dalam segenap aspek.

“Bagaimanapun, jika salah laku rasuah dan penyelewengan kuasa dibiarkan berleluasa, kekayaan yang dijana itu sebaliknya akan hanya dinikmati oleh segelintir individu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket ‘cuci duit’, SPRM kesan ratusan syarikat dami

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Beratus-ratus syarikat dami diwujudkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa berhubung sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut bilangan syarikat dami itu, beliau berkata kesemua syarikat yang dikesan SPRM itu sengaja diwujudkan bagi menyalurkan wang-wang haram sindiket terbabit.

“Modus operandi syarikat-syarikat dami ini ialah apabila mereka (ahli sindiket ‘cuci duit’) menerima wang haram, mereka akan membentuk sebuah syarikat yang menjalankan sesuatu perniagaan yang nampak ‘halal’ di mata orang awam.

“Di sinilah (syarikat dami) menerima wang haram dan ia akan disalurkan kepada beberapa pihak seperti peniaga-peniaga untuk berniaga dalam bentuk wang tunai. Maka orang-orang yang berniaga ini tidak tahu daripada mana datangnya sumber wang itu,” katanya dalam wawancara SPRM bertajuk ‘Pemerkasaan SPRM dan Usaha Pencegahan Rasuah’ di radio MACC. fm di sini.

Azam berkata ada ahli sindiket berkenaan yang menggunakan wang haram itu untuk bertindak sebagai syarikat pinjaman wang seperti along dan menyebabkan rakyat tertipu.

Beliau berkata setakat ini, SPRM telah membekukan 730 akaun bank bernilai RM80 juta dipercayai akaun sindiket itu.

“Selain itu, kami menyita wang tunai RM5 juta dan 23 buah kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli sindiket, yang dipercayai hasil aktiviti haram,” katanya.

Azam berkata setakat ini, pihaknya menahan 11 orang awam dan lapan anggota pihak berkuasa kerana disyaki terlibat memberi perlindungan kepada sindiket terbabit.

“Hasil siasatan SPRM mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas dan pihak saya mencurigai bagaimana mereka ini beroperasi secara berleluasa tanpa dikesan pihak berkuasa.

Siasatan kami juga menjurus untuk membekukan aset-aset akaun yang cuba ‘dicucikan’ mereka dan SPRM akan membawa mereka terlibat ke muka pengadilan serta merampas wang-wang ini agar dimasukkan sebagai hasil kerajaan kerana ia merupakan wang rakyat yang ditipu,” katanya.

Azam berkata individu-individu yang melindungi sindiket itu juga sedang disiasat kerana dipercayai terlibat kerana membiarkan sindiket menjalankan aktiviti haram, tanpa diambil tindakan.

“Saya ingin maklumkan bahawa SPRM juga berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk melihat isu-isu cukai mereka berhubung sindiket ini.

“Penyiasatan kes ini amat rumit dan ia bukan satu siasatan yang mudah. Oleh itu, saya meminta orang ramai agar bersabar kerana SPRM masih mengesahkan aset-aset yang telah digubah,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menerima atau secara tidak sengaja menerima wang itu daripada mana-mana pihak sindiket terbabit, untuk menghubungi pegawai SPRM dan berkata orang awam yang menjadi mangsa akan dipanggil sebagai saksi jika mereka sanggup bekerjasama dengan SPRM.

“Saya menyeru kepada orang awam jika ada mana-mana pihak terlibat sindiket ini untuk menghubungi tiga pegawai SPRM iaitu Penolong Pesuruhjaya (PPJ) Asrul di talian 013-3126020, PPJ Rohaizi 013-9400200, dan Penguasa Kanan Sabri 017-2582415,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’ berkaitan sindiket berkenaan.

Sebelum ini, sepasang suami isteri bergelar artis, dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lindungi premis haram: Penguat kuasa lain mungkin terlibat

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Selepas penahanan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan kes melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki tidak menolak kemungkinan anggota penguatkuasa lain turut terbabit.

“Mana-mana pihak yang terlibat kami (SPRM) akan siasat. Setakat ini penguatkuasa MBSA dan mungkin ada lagi. Wallahualam,” katanya.

Ditemui pemberita selepas melancarkan program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di sini hari ini, Azam turut meminta semua pihak bersabar agar pihak SPRM dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya hari ini mengesahkan tiga pegawai penguatkuasa MBSA ditahan kerana disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa MBSA cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam, berumur antara 41 tahun dan 49 tahun, ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 9 pagi tadi.

Azam berkata SPRM menerima maklumat di seluruh negara berhubung kegiatan seperti perjudian dan rumah urut yang dilindungi pihak penguatkuasa.

“Namun demikian dalam kita nak menyiasat kes-kes rasuah, kita perlukan bukti dan sokongan daripada keterangan saksi,” katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat atau pengadu kerana berani tampil memberi kerjasama kepada SPRM dalam membanteras kegiatan rasuah.

Mengulas dakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa SPRM berat sebelah dalam menyiasat kesnya berbanding bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Azam berkata : “Kami (SPRM) tidak ada berat-sebelah pada mana-mana pihak. Kami menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional.”

Mengenai dakwaan Guan Eng yang dia perlu memakai baju lokap SPRM, Azam berkata pengunaan baju lokap berwarna oren terhadap individu adalah di bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

Pada 8 Ogos lepas, Guan Eng menerusi laman Facebook berkongsi pengalaman ditahan dalam lokap SPRM sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta mendakwa dirinya tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Ditanya sama ada individu lain akan didakwa berhubung kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng yang membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata: “Setakat ini, mereka yang terlibat dalam kes itu telah dituduh di mahkamah.”

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Beri khidmat terbaik, Azam mahu pastikan negara bebas rasuah

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baharu Datuk Seri Azam Baki bertekad memberi perkhidmatan terbaik dan memastikan negara bebas rasuah.

Beliau yang berpengalaman kira-kira 35 tahun dalam SPRM menganggap pelantikannya merupakan satu tugas berat dan mencabar.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk memikul amanah diberikan berdasarkan pengalaman saya untuk mencegah rasuah dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berazam untuk memastikan SPRM memainkan peranannya dalam membantu negara menjana ekonomi dan mengurangkan ketirisan.

Azam berharap kesemua warga SPRM dan rakyat di negara ini memberi sokongan dalam membantu SPRM mencegah rasuah.

Dalam pada itu, Azam dalam kenyataan, menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan Seri Paduka melantiknya ke jawatan berkenaan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan nama saya kepada Seri Paduka.

“Selain itu, saya mewakili seluruh warga SPRM mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan jasa Latheefa Koya sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ke-14 kerana telah berjaya memimpin SPRM dengan baik dan cemerlang,” katanya.

Beliau merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum ini.

Azam, 57, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1984 sebagai Penolong Pegawai Siasatan.

Sejak memasuki perkhidmatan BPR ketika itu, beliau menjalankan tugas sebagai pegawai penyiasat, pegawai perisikan, pegawai pendakwaan serta menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan Sarjana daripada Asia E-University, telah berkhidmat melebihi 35 tahun.

Pengalaman luasnya turut menyaksikan beliau menyandang jawatan penting seperti Pengarah Perisikan (2013), Pengarah Siasatan (2015) dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) (2016).

Sepanjang kerjayanya, beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes berprofil tinggi termasuk 1MDB dan SRC International.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam membongkar kes ‘lesen terbang’ pada tahun 2000 apabila beliau merupakan perancang siasatan kes berkenaan dengan kejayaan lebih 100 individu ditangkap serta 100,000 ‘lesen terbang’ disenarai hitam.

Impaknya, kerajaan menambah baik sistem ujian lesen memandu percubaan secara manual ke sistem berkomputer seperti yang ada sekarang.

-BERNAMA