Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 0.01 peratus penjawat awam tampil lapor rasuah dalam jabatan

PUTRAJAYA, 8 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata angka tersebut masih rendah dalam usaha sifar rasuah dalam perkhidmatan awam dapat direalisasikan.

Beliau berkata walaupun insentif disediakan kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah namun data suruhanjaya itu menunjukkan hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas.

“Penjawat awam perlu faham apabila ditawarkan (rasuah), itu adalah kesalahan dan perlu dilaporkan dan tindakan boleh diambil…ini akan menyebabkan mereka yang berurusan dengan penjawat awam tidak berani untuk mendapatkan keistimewaan dan kelulusan tanpa peraturan atau prosedur sewajarnya.

“Ini yang mahu kita jadikan budaya dalam penjawat awam iaitu melaporkan jika ada berlaku kes rasuah sekali gus membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di pejabat SPRM di sini baru-baru ini.

Shamshun Baharin berkata inisiatif berkenaan selari dengan surat dikeluarkan pejabat Ketua Setiausaha Negara pada 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’ .

Surat itu menyatakan penjawat awam yang melaporkan kes rasuah akan menerima jumlah insentif yang sama dengan jumlah rasuah yang ditawarkan.

Shamsun Baharin berkata SPRM mengagihkan kira-kira RM600,000 sebagai insentif kepada 343 penjawat awam kerana melaporkan gejala rasuah kepada suruhanjaya itu, sehingga akhir tahun lepas.

Jelasnya, adalah menjadi kesalahan jika tidak melaporkan kes rasuah dan boleh dikenakan mengikut Seksyen 25 Akta SRPM 2009 yang berdepan dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata kes pertama yang membabitkan Seksyen 25 itu adalah kes melibatkan lima kakitangan Kementerian Kewangan yang didenda RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 Dis lepas atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM sejak dua tahun lalu.

“Gagal melaporkan juga turut dikenakan tindakan kerana ada undang-undang tersebut dan ini sebagai membuka mata kepada penjawat awam dan orang ramai untuk lebih sensitif serta tampil melaporkan kes rasuah yang berlaku di persekitaran mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, organisasi perlu memainkan peranan iaitu memberi sokongan dan perlindungan kepada kakitangan atau pegawai yang melaporkan kes rasuah supaya budaya bebas rasuah ini dapat diamalkan di semua peringkat.

SPRM memberi jaminan maklumat pemberi laporan tidak akan didedahkan malah keselamatan mereka juga akan diutamakan selari dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketirisan perolehan: KSN bincang dengan SPRM

KUALA TERENGGANU, 1 OKT: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam.

Katanya, perkara tersebut perlu diatasi segera kerana dikhuatiri merencat proses pemulihan ekonomi, apatah lagi negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

“Jadi perkara ini pun saya akan bincang apakah tindakan susulan atau tindakan pencegahan yang boleh kita ambil.

“Sudahlah pemulihan eknomi kita berjalan dengan agak perlahan disebabkan Covid-19, ditambah pulak dengan berlakunya ketirisan, saya khuatir kalau-kalau negara ini tidak dapat berkembang maju seperti perancangan kita sebelum ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Kompleks Baharu SPRM Terengganu di Bandar Baru Bukit Besar, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Zuki berkata negara ini telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa ketika mendepani Covid-19, antaranya Global Covid-19 Recovery Index, sehingga Ogos 2020 yang meletakkan Malaysia di kedudukan keempat terbaik dalam kalangan 184 negara di dunia, manakala menerusi Indeks Toluna-Blackbox bagi Pengurusan Persepsi dan Krisis di kedudukan kelima, berbanding 23 negara.

Katanya, ia membuktikan kesungguhan dan komitmen penjawat awam dalam menterjemahkan strategi yang telah diatur kerajaan, seperti inisiatif Penjana dan Prihatin.

“Usaha memulihkan dan melonjakkan semula ekonomi negara memerlukan usaha yang lebih jitu dan komited dari semua penjawat awam.

“Inisiatif segera pasca Covid-19 seperti pelaksanaan projek berimpak tinggi dan penyaluran bantuan kepada rakyat, sudah pasti akan terencat sekiranya terdapat isu-isu rasuah dan korupsi berlaku di kalangan penjawat awam itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Azam yang turut hadir dalam majlis tersebut, memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan berkaitan kes penipuan pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga bekas ahli politik pada 2015.

Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan proses pendakwaan terhadap dua atau tiga individu itu akan dapat dijalankan dalam tempoh dua atau tiga minggu dari sekarang.

“Kes hartanah Mara kita dah siapkan kertas siasatan, cuma pihak Timbalan Pendakwa Raya sedang meneliti kes berkenaan.

“Dan sekiranya dipersetujui adalah individu yang akan dituduh di mahkamah. Pada saya kes ini adalah ‘high profile’,” katanya yang turut memaklumkan telah membuka 27 kertas siasatan berkaitan rasuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: SPRM terima 10 laporan, satu kertas siasatan dibuka

KOTA KINABALU, 25 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 10 laporan berkaitan rasuah sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula 12 September lepas sehingga semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata daripada jumlah itu pihaknya telah membuka satu kertas siasatan melibatkan dua individu yang disyaki menerima wang tunai untuk diagihkan kepada pengundi.

“Siasatan ini masih dijalankan dan kedua-dua individu berkenaan masih lagi ditahan reman dan kita juga masih menjalankan siasatan berkenaan aduan-aduan yang lain,” katanya pada sidang media khas berhubung PRN Sabah di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Azam berkata SPRM akan terus melaksanakan pemantauan dengan seramai 106 pegawai berada di lapangan, selain bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak polis.

“Kita mempunyai bilik gerakan SPRM di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Keningau yang beroperasi 24 jam dan ia juga boleh dihubungi di talian 0109436002,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani berkata secara keseluruhannya situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah adalah terkawal.

“Penugasan polis telah dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu seramai 7,600 pegawai dan anggota diatur tugas untuk memastikan PRN Sabah berjalan dengan baik.

“Seramai 1,700 pula ditugaskan untuk menjalankan tugas hakiki polis dan 1,700 anggota lagi dikerahkan untuk mengawal keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata untuk memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19, sebanyak 73 pasukan telah ditubuhkan yang terdiri daripada 1,276 anggota dan pegawai serta dibantu 570 orang dari pelbagai agensi lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Timbalan pengarah syarikat tak mengaku salah pecat pekerja

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Seorang timbalan pengarah sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat setelah memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wafiy Abd Aziz, 35, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pertuduhan terhadap Wafiy adalah yang pertama mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak ia berkuat kuasa pada 2010.

Mengikut pertuduhan, Wafiy, didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi Education Malaysia Global Services Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit sebagai suatu tindakan balas terhadap pendedahannya berkenaan kelakuan tidak wajar tertuduh kepada SPRM.

Wafiy didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Education Malaysia Global Services di Jalan Mayang Sari di sini, 9 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali berkata kesalahan di bawah Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat merupakan suatu kesalahan tidak boleh dijamin yang secara amnya seorang tertuduh tiada hak untuk dibebaskan dengan jaminan kerana jaminan bukan hak automatik tertuduh untuk kesalahan ini.

“Meskipun ia satu kesalahan tidak boleh dijamin, pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan sementara perbicaraan selesai.

“Mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan seperti tertuduh menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah dan juga melapor diri di Pejabat SPRM terdekat dalam tempoh waktu ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Afif berkata pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selain memohon syarat-syarat tambahan lain iaitu tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

“Walaupun pada tahap ini tidak dapat ditunjukkan bahawa ada saksi-saksi pendakwaan yang telah diganggu, namun sebagai seorang individu yang mempunyai kedudukan dan berpengaruh di dalam syarikat iaitu sebagai Timbalan Pengarah di Syarikat Education Malaysia Global Services, tertuduh mempunyai peluang untuk mengganggu dan mempengaruhi saksi-saksi yang dibariskan oleh pihak pendakwaan.

“Oleh sebab itu, satu jumlah jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti yang dicadangkan adalah penting untuk memberi peringatan kepada tertuduh untuk tidak cenderung melakukannya,” katanya.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili tertuduh berkata tiada afidavit yang dilampirkan oleh pihak pendakwaan bagi menyokong bahawa anak guamnya boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan, sebaliknya hujahan pendakwaan itu hanya spekulasi.

“Saya memohon jumlah jaminan RM12,000 yang dikenakan ke atas anak guam saya atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk kepentingan dirinya di mahkamah sama sebelum ini diguna pakai. Sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan lain, mohon ia tidak melebihi RM12,000,” katanya.

Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat dua minggu sekali dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Okt untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM dakwa pegawai kanan syarikat pecat pekerja salur maklumat

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pegawai kanan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini atas kesalahan memecat seorang kakitangannya, setelah memberikan maklumat berkaitan salah laku tertuduh.

Dalam kenyataan semalam SPRM memaklumkan badan itu telah mendapat izin Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa individu terbabit di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“Pertuduhan di bawah seksyen berkenaan merupakan kes pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010,” menurut kenyataan itu.

“SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

“SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bukan sahaja memberi perlindungan kepada individu yang memberi maklumat, malah turut melindungi mereka daripada dikenakan tindakan atau diberhentikan kerja.

Katanya, banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang dibongkarkan SPRM sebelum ini, adalah hasil maklumat daripada pemberi maklumat itu sendiri.

“Sejak 2010 sehingga kini, SPRM telah memberi perlindungan kepada 290 pemberi maklumat, ia jumlah yang agak besar dan kerjasama mereka menjadikan siasatan SPRM lebih efektif,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM: Banyak kes rasuah libatkan isu ketirisan perolehan kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Kebanyakan kes rasuah dari tahun 2015 sehingga kini banyak melibatkan isu ketirisan perolehan kerajaan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut kes berkenaan, beliau berkata sejak kebelakangan ini terdapat kes pegawai kerajaan bertugas di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyeleweng dalam hal-hal perolehan kerajaan sehingga melibatkan kehilangan jutaan ringgit.

“Tanggungjawab kita adalah memastikan supaya pegawai-pegawai GLC agar mereka lebih patuh pada urus tadbir baik dan meningkatkan integriti dalam urus tadbir.

“Saya beri contoh terdapat satu kes di Sabah dahulu yang pihak kerajaan telah mengeluarkan sebanyak RM1.5 bilion untuk projek bekalan air di negeri itu dan apabila SPRM siasat mendapati nilai kos projek kurang daripada separuh sahaja wang yang dikeluarkan,” katanya dalam temu bual bersama radio Melakafm, hari ini.

Azam berkata wang selebihnya telah hilang dan hasil siasatan SPRM telah menahan tiga pegawai kanan kerajaan yang masih dalam perbicaraan dan merampas wang berjumlah RM114 juta daripada mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, Azam berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih meneruskan lagi usaha pencegahan rasuah secara berkesan dengan menyokong SPRM dalam pelbagai aktiviti.

Beliau berkata pelan berkenaan mengandungi banyak inisiatif untuk mencegah rasuah secara berkesan.

Katanya pihaknya mengamalkan ketelusan dengan memaklumkan kepada masyarakat tentang kes-kes berprofil tinggi supaya orang ramai tahu hasil siasatan SPRM.

NACP dilancarkan pada awal Januari tahun lepas bagi memperkasa dan mempertingkat integriti dalam kalangan penjawat awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elemen antirasuah dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun depan

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Elemen antirasuah melalui mata pelajaran bahasa Malaysia bagi murid Tahun 5 akan diperkenalkan di sekolah bermula tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata ia adalah usaha untuk mendidik akan pencegahan rasuah di peringkat awal persekolahan bagi membanteras gejala berkenaan.

“Pihak saya sedang memberikan tumpuan kepada pendidikan berkesan akan pencegahan rasuah di peringkat persekolahan dan universiti.

“Sebelum ini, subjek pendidikan sivik dan moral bagi sekolah rendah dan menengah telah diperkenalkan termasuklah pendidikan sivik untuk prasekolah yang berkaitan dengan nilai-nilai murni,” katanya dalam temu bual bersama radio Melakafm, hari ini.

Selain itu, katanya, tiga buah pusat pengajian tinggi iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bersetuju untuk mengadakan subjek elektif integriti dan rasuah selaras dengan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NCAP).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM reman bekas eksekutif kanan syarikat telekomunikasi

SHAH ALAM, 18 OGOS: Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat telekomunikasi direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan berjumlah hampir RM16,000 antara tahun 2018 hingga 2019.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret di sini atas permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 12.15 tengah hari semalam selepas diambil keterangan.

Menurut sumber SPRM, lelaki itu dipercayai menerima wang suapan itu daripada sebuah syarikat vendor yang membekalkan perkhidmatan dan peralatan telekomunikasi kepada syarikat dia sedang berkhidmat, menerusi syarikat yang dimiliki lelaki berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lindungi premis haram: Tiga lagi penguat kuasa direman

PUTRAJAYA, 14 OGOS: Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman untuk membantu siasatan kes menerima dan mengutip rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Perintah reman selama enam hari terhadap tiga lelaki berumur antara 40 dan 43 tahun yang bermula hari ini sehingga Rabu depan (19 Ogos) itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Mereka yang ditahan di ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas hadir memberi keterangan, dibawa ke mahkamah kira-kira 8.30 pagi dengan bergari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ini menjadikan jumlah lapan pegawai penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga yang direman bagi membantu siasatan kes yang sama.

Isu tersebut menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

SPRM tahan seorang lagi anggota penguat kuasa MBSA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Seorang lagi anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan, kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen, di Sungai Buloh, dekat sini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini, seramai empat individu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek keempat itu merupakan anggota penguatkuasa MBSA dari Cawangan Sungai Buloh.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun ini ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 5 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Suspek menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan yang dikutip untuk sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh, kemudian suspek akan membahagikan wang kutipan itu kepada tiga lagi rakan suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.

Bernama hari ini melaporkan SPRM menahan tiga pegawai penguatkuasa MBSA untuk kes yang sama.

Baru-baru, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM guna e-sukan sampaikan mesej antirasuah

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi agensi penguatkuasaan pertama yang menggunakan pendekatan e-sukan (sukan elektronik) sebagai platform dalam menyampaikan mesej anti-rasuah kepada masyarakat, menerusi program ‘SPRM PUBG (player unknown battle ground) Mobile i-Challenge’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, objektif program itu adalah untuk mendekati golongan e-komuniti, yang berumur dalam lingkungan 12 tahun hingga 60 tahun, untuk melihat mesej anti rasuah serta mendedahkan masyarakat tentang fungsi dan peranan SPRM secara dalam talian, untuk bersama-sama membanteras kegiatan rasuah.

“Kempen kesedaran tentang keburukan jenayah rasuah perlu sentiasa mengikut trend atau pembudayaan sosial semasa, agar pendekatan dan medium yang digunakan sesuai dan tidak dipandang sepi oleh masyarakat,” katanya kepada media selepas melancarkan program itu, di sini hari ini.

Azam berkata, penganjuran program berkenaan adalah bertepatan kerana berdasarkan data SPRM, golongan tertinggi yang terlibat dalam perlakuan rasuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, adalah mereka yang berumur antara 40 hingga 50 tahun.

Selain itu, katanya SPRM mengambil langkah proaktif mendekati golongan e-komuniti, bagi menyebar luas mesej anti-rasuah melalui dalam talian, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 yang juga menyebabkan program secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan, dalam skala yang besar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, program itu merupakan kerjasama antara SPRM dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia yang bertujuan mendekatkan peserta dengan SPRM secara maya, tentang aspek pencegahan rasuah.

Menurutnya, antara paparan yang akan diketengahkan adalah tagline ‘Rasuah Dihina Maruah Dibina’, setiap kali pementasan bagi setiap pemenang mengikut siri yang telah ditetapkan logo SPRM, sepanjang perlawanan diadakan.

Pemenang setiap siri juga akan dianugerahkan bintang berupa logo SPRM, pengulas akan memberi ulasan bagi mendominasikan skrip berkaitan larangan mengambil rasuah secara berulang kali, dan tempelan bergerak atas inisiatif yang dijalankan SPRM, sepanjang perlawanan berlangsung.

Program yang dilaksanakan secara berperingkat bermula daripada peringkat saringan pada 17 Ogos ini sehingga peringkat akhir pada 6 September dijangka menarik kira-kira 1.6 juta peminat e-sukan di seluruh negara serta menawarkan jumlah keseluruhan hadiah sehingga RM9,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lindungi premis haram: Penguat kuasa lain mungkin terlibat

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Selepas penahanan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan kes melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki tidak menolak kemungkinan anggota penguatkuasa lain turut terbabit.

“Mana-mana pihak yang terlibat kami (SPRM) akan siasat. Setakat ini penguatkuasa MBSA dan mungkin ada lagi. Wallahualam,” katanya.

Ditemui pemberita selepas melancarkan program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di sini hari ini, Azam turut meminta semua pihak bersabar agar pihak SPRM dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya hari ini mengesahkan tiga pegawai penguatkuasa MBSA ditahan kerana disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa MBSA cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam, berumur antara 41 tahun dan 49 tahun, ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 9 pagi tadi.

Azam berkata SPRM menerima maklumat di seluruh negara berhubung kegiatan seperti perjudian dan rumah urut yang dilindungi pihak penguatkuasa.

“Namun demikian dalam kita nak menyiasat kes-kes rasuah, kita perlukan bukti dan sokongan daripada keterangan saksi,” katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat atau pengadu kerana berani tampil memberi kerjasama kepada SPRM dalam membanteras kegiatan rasuah.

Mengulas dakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa SPRM berat sebelah dalam menyiasat kesnya berbanding bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Azam berkata : “Kami (SPRM) tidak ada berat-sebelah pada mana-mana pihak. Kami menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional.”

Mengenai dakwaan Guan Eng yang dia perlu memakai baju lokap SPRM, Azam berkata pengunaan baju lokap berwarna oren terhadap individu adalah di bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

Pada 8 Ogos lepas, Guan Eng menerusi laman Facebook berkongsi pengalaman ditahan dalam lokap SPRM sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta mendakwa dirinya tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Ditanya sama ada individu lain akan didakwa berhubung kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng yang membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata: “Setakat ini, mereka yang terlibat dalam kes itu telah dituduh di mahkamah.”

– BERNAMA