Categories
AGENDA NASIONAL

KKM komited pastikan vaksin berdaftar selamat, berkesan

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan ‘farmakovigilans’.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai mengenai vaksin berdaftar dari semasa ke semasa.

“Sekiranya terdapat kesan advers selepas penggunaan produk vaksin berdaftar, orang ramai boleh melaporkan kesan advers susulan imunisasi ini sama ada melalui profesional kesihatan atau melaporkan terus kepada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) melalui laman sesawang, https://npra.gov.my,” katanya mengulas mengenai laporan oleh Norwegian Medicines Agency (NMA) berkenaan kes kematian yang dikaitkan dengan vaksin Pfizer-BioNTech di Norway.

Adham berkata NPRA sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pemegang pendaftaran produk, Pfizer (M) Sdn Bhd dan memantau perkembangan isu tersebut, termasuk tindakan yang diambil oleh badan regulatori antarabangsa yang lain seperti European Medicines Agency (EMA).

“Merujuk kepada laporan awal yang dikeluarkan pihak NMA, kes kematian adalah dalam kalangan penerima warga emas yang uzur, selain mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Autopsi menunjukkan penerima mengalami demam, mual dan cirit-birit yang merupakan kesan advers biasa selepas penerimaan imunisasi dan susulan daripada itu, pengemaskinian maklumat pemberian vaksin sedang dilaksanakan bagi mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatan penerima,” katanya.

Beliau berkata vaksin Covid-19, COMIRNATY Concentrate For Dispersion For Injection keluaran Pfizer-BioNTech telah diberikan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari tahun ini oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Katanya, pendaftaran itu diberi agar akses segera kepada vaksin tersebut diperoleh untuk pencegahan pandemik penyakit Covid-19 yang sedang melanda dunia, termasuk Malaysia.

“Data efikasi dan keselamatan bagi vaksin ini diperoleh daripada kajian klinikal fasa III yang melibatkan 44,000 orang sukarelawan, yang turut membabitkan golongan yang berumur lebih daripada 75 tahun.

“Berdasarkan kajian klinikal tersebut, vaksin ini telah menunjukkan 95 peratus keberkesanan dalam mencegah jangkitan Covid-19 yang bergejala apabila diberikan dua dos lengkap dalam selang masa 21 hari. Kajian klinikal menunjukkan kesan advers adalah dalam julat yang boleh diterima dan adalah bersifat sementara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri Kabinet diarah jalani ujian Covid-19

PUTRAJAYA, 11 JAN: Semua menteri Kabinet telah diarahkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 susulan dua menteri disahkan positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata tindakan agar semua menteri kabinet menjalani ujian calitan Covid-19 adalah sebagai langkah pencegahan dan pengawalan.

“Dalam penilaian risiko, di dalam kit ujian RT-PCR, kami ada CT-Value iaitu Cycle Threshold (CT) value, yang boleh kami tentukan hari atau masa sebelum mereka berjangkit,” katanya kepada media pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Ditanya adakah menteri Kabinet akan diarahkan untuk menjalani kuarantin atau boleh meneruskan jadual mereka seperti biasa, Dr Adham berkata perkara itu akan dinilai oleh pasukan petugas perubatan kesihatan awam.

Beliau berkata penilaian risiko akan dibuat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan mereka akan mengeluarkan garis panduan kepada jemaah menteri terlibat untuk langkah susulan.

“Penilaian risiko dibuat oleh pasukan petugas perubatan yang pakar dalam kesihatan awam dan mereka akan menilai risiko bagaimana penularan itu berlaku dan bila. Kami akan tahu bila bermula jangkitan itu dan dia (pakar perubatan) akan memberikan panduan,” katanya.

Dilaporkan dua menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, telah disahkan positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM laksana semua langkah penting

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan ia telah mengambil semua langkah penting dalam menjangkakan beberapa unjuran yang dilakukan oleh pelbagai organisasi antarabangsa mengenai situasi pendemik Covid-19 di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan semalam berkata pada fasa awal pandemik, JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan jumlah kes Covid-19 pada pertengahan April akan meningkat antara 5,000 dan 8,000 secara kumulatif.

Berikutan itu katanya, pelbagai intervensi kesihatan awam dilakukan menyebabkan bilangannya lebih rendah berbanding ramalan badan tersebut dan pada hakikatnya, jumlah kes yang dilaporkan hanyalah 4,987.

“Pada November, Imperial College United Kingdom mengunjurkan kes harian baharu yang dikesan di Malaysia antara 4,000 hingga 7,000 pada November dan Disember. Bagaimanapun dengan pelbagai intervensi yang dijalankan kerajaan, kes harian baharu hanya mencecah 1,000 hingga 2,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada artikel berita, Putrajaya Bracing for the Worst as Lack of Beds, Manpower Threatens Covid Battle, yang disiarkan dalam portal berita hari semalam.

Dr Adham berkata baru-baru ini, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 5,000 pada Februari 2021.

“Dalam menjangkakan ramalan ini, KKM sentiasa memantau dan meningkatkan pelbagai strategi, langkah dan intervensi. Kementerian telah meningkatkan kapasiti hospital dan mewujudkan lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Selaras dengan itu, MAEPS 2.0 telah diwujudkan dengan kapasiti yang lebih tinggi untuk menampung peningkatan kes dengan penambahan katil sehingga 10,000,” katanya.

Menurut Dr Adham, pada masa ini keadaan di Malaysia masih terkawal sementara KKM telah mempertingkatkan dan menyediakan pelbagai intervensi kesihatan awam serta memastikan kesiapsiagaan hospital dalam menjangkakan peningkatan jumlah kes seperti yang diramalkan IHME.

Setakat kelmarin katanya, terdapat 25,456 katil secara keseluruhan bagi kes Covid-19 di hospital dan PKRC, dengan kadar penggunaan sebanyak 43 peratus manakala terdapat 871 katil di unit rawatan rapi (ICU) dengan penggunaan semasa 159 katil (18 peratus) bagi pesakit Covid-19.

Dr Adham juga berkata jumlah ventilator yang tersedia 1,581 dan daripada jumlah itu, 591 diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan penggunaan semasa 79 (lima peratus).

Bagi menangani keperluan petugas, beliau berkata pelbagai langkah telah diambil oleh kementerian seperti mobilisasi kakitangan di dalam negeri dan juga antara negeri dan memanfaatkan perkongsian awam-swasta, mendapatkan bantuan tambahan dari universiti dan sektor swasta dan lebih ramai pegawai kontrak diambil bekerja.

“Pengurusan pandemik ini merupakan pendekatan kerajaan sepenuhnya dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan meterai perjanjian pembelian vaksin dengan AstraZeneca Isnin ini

KLUANG, 19 DIS: Kerajaan akan memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dari United Kingdom pada Isnin ini bagi pembelian vaksin Covid-19 bagi memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia merupakan perjanjian ketiga selepas kerajaan memeterainya dengan COVAX bagi pembelian 10 peratus vaksin dan syarikat Pfizer bagi 20 peratus pembelian sama pada akhir bulan lepas.

“Keseluruhannya, kita (Malaysia) akan dapat membeli vaksin bagi keperluan 50 peratus rakyat daripada syarikat pembekal untuk keperluan rakyat negara ini. Kita akan cuba mendapatkan kesemua bekalan vaksin ini pada suku pertama tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan ‘Aerosol Intubation Box’ oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Simpang Renggam dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Dr Adham berkata pada masa sama, kerajaan juga perlu menambah sebanyak 20 peratus lagi pemerolehan vaksin bagi memenuhi keperluan sehingga 70 peratus rakyat Malaysia.

Beliau berkata usaha akan dilakukan bagi menarik syarikat pengeluar vaksin dunia untuk membekalkannya kepada Malaysia.

“Yang penting, syarikat mana yang beri akses cepat kepada vaksinnya dan ia mesti selamat, berkesan serta berkualiti. Mesti ada berkelulusan dari negara pengeluar sendiri dan perlu mendapat kelulusan daripada bahagian Regulotari Farmasi Negara (NPRA) KKM.

“Sekiranya ini selesai, maka kita boleh vaksinkan masyarakat dengan yang pertama sekali ialah dalam kalangan petugas barisan hadapan pada awal 2021,” katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa kumpulan pertama vaksin itu akan diperoleh pada Februari 2021 dengan bekalan akan diterima secara berterusan sehingga akhir 2021.

Pada 24 Nov lepas, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pematuhan SOP penting untuk kawal Covid-19 – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh majikan dan pekerja sektor keselamatan dan pembinaan sangat penting bagi mengawal peningkatan kes positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan Selangor, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata keutamaan Kementerian Kesihatan buat masa ini adalah untuk mengasingkan semua kes-kes positif dalam kalangan pekerja supaya dapat memutuskan rantaian jangkitan.

“Trend ini, setakat yang kita lihat, masih lagi dalam kawalan dengan syarat kita kekal mematuhi pendekatan kawalan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Kegagalan mereka mematuhi SOP merupakan satu penilaian risiko yang sedang kami jalankan dan kami akan ambil tindakan pantas menerusi pendekatan kesihatan awam supaya pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam memutuskan wabak bertambah baik,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Setakat semalam, sebanyak 1,210 kes baharu Covid-19 dilaporkan, menyaksikan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 499 kes diikuti Selangor (259) dan Kuala Lumpur (238).

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk di tapak pembinaan dan sektor keselamatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar sembuh lebih tinggi berbanding dua gelombang sebelum ini

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Malaysia berjaya mengimbangi kes positif jangkitan Covid-19 dan pesakit yang sedang dirawat di hospital dengan kadar kesembuhan lebih tinggi berbanding ketika gelombang pertama dan kedua pandemik itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya kejayaan itu adalah hasil daripada usaha kerajaan yang menggunakan pelbagai langkah kesihatan awam dalam menangani pandemik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ada sesetangah pihak mahu PKPB ditamatkan lebih awal, namun kita (kerajaan) perlu melihat penilaian risiko iaitu trend ataupun kebolehjangkitan dalam komuniti sebelum membuat keputusan yang wajar.

“Walaupun kita (rakyat) dapat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pergerakan, mengimplimentasikan segala penguatkuasaan dan norma baharu menjadi mandatori, perlu diingatkan bahawa setakat ini masih tiada ubat khusus untuk merawat Covid-19.

“Yang ada hanya rawatan yang berpatutan untuk kadar kesembuhan yang tinggi,” katanya, mengulas situasi semasa Covid-19 dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan oleh RTM menerusi TV1 pagi tadi.

Katanya setakat semalam, kadar kesembuhan dan discaj mencatatkan 73.4 peratus daripada keseluruhan 48,520 jumlah kes positif, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 12,601 kes.

Dr Adham berkata bagi mengawal penularan Covid-19 dalam komuniti, PKPB dan PKPD dilihat sebagai jalan yang terbaik untuk melandaikan lengkuk jangkitan.

“Pergerakan antara daerah dan negeri membantu mengawal kawasan hijau daripada bertukar status kepada kawasan jingga dan merah. Sekiranya tidak dapat dikawal maka PKPD perlu dilaksanakan,” katanya.

Mengenai vaksin Covid-19, Dr Adham berkata sebelum mendapatkannya, Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan data klinikal fasa ketiga bagi melihat keberkesanan dan keselamatan serta kualiti vaksin itu.

“Walaupun Pfizer dan BioNtech menyasarkan 90 peratus keberkesanan, manakala Moderna mengatakan 94 peratus berkesan, kita masih lagi perlu berunding dengan pihak pembangun vaksin.

“Selain itu, KKM juga perlu memastikan vaksin tersebut tidak mempunyai kesan sampingan terhadap mereka yang akan disuntik kelak. Kita mahu vaksin itu dapat melindungi ataupun dapat mengawal jangkitan selain melindungi diri daripada jangkitan seterusnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM164 juta diperuntuk bendung Covid-19 di Sabah

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan telah memperuntukkan RM164.6 juta untuk mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah, dari September hingga Oktober tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM103.8 juta adalah daripada peruntukan mengurus dan telah digunakan bagi menyediakan keperluan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), barangan guna habis, bahan uji selain aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

Beliau berkata baki jumlah tersebut iaitu RM60.8 juta adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambah baik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan.

“Pagi ini (semalam) Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

“Penerbangan itu turut membawa peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO (badan bukan kerajaan) dan swasta,’’ katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu menangani wabak Covid-19 dengan menyalurkan segera peruntukan itu sebagai langkah melindungi keselamatan rakyat di Sabah.

Dalam pada itu, Dr Adham menyeru semua pihak untuk bekerjasama dengan kementeriannya selaras dengan pendekatan “whole of government approach” dan “whole of society approach” yang dilihat berkesan bagi menyekat penularan wabak berkenaan secara bersepadu.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan atau tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara daripada penularan wabak Covid-19 ini.

Dr Adham berkata kerajaan dan seluruh warga KKM akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak Covid-19, sehingga Sabah kembali menjadi Zon Hijau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia tidak terburu-buru beli vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Malaysia tidak mahu terburu-buru dalam pembelian vaksin Covid-19 kerana ia mahu memastikan terlebih dahulu bahawa vaksin berkenaan benar-benar berkesan dan selamat digunakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata buat masa ini kerajaan masih menunggu negara pengeluar vaksin menjalankan ujian klinikal yang melibatkan tiga fasa, dengan fasa terakhir adalah ujian ke atas manusia.

“Kita tunggu negara yang buat ujian klinikal seperti China yang membuat ujian di Emiriah Arab Bersatu dan Brazil. Rusia pula belum pun sampai tahap ujian klinikal ketiga,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan susulan laporan sesetengah negara telah memulakan proses diplomasi bagi pembelian vaksin berkenaan.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 di sini hari ini, berkata kerajaan belum mula membeli vaksin dan masih menggunakan diplomasi sains serta akses kepada negara yang boleh mengeluarkan vaksin berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar vaksin dan negara-negara yang sedang membangunkam vaksin berkenaan,” katanya.

Mengenai saringan Covid-19 di pasar-pasar awam, Dr Adham berkata KKM telah membuat saringan terhadap peniaga di 464 pasar di seluruh negara yang melibatkan 36,919 sampel (swab) dengan 287 (0.8 peratus) daripadanya didapati positif Covid-19.

“Saya hendak maklumkan pemeriksaan di pasar awam dilaksanakan berterusan kerana ini tempat sesak dan sempit. Kita tidak mahu ada kes Covid-19 di pasar,” kata Dr Adham.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar positif kes PUI Sivagangga 1.46 peratus

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kadar positif terkini bagi kes Covid-19 melibatkan kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga di Kedah adalah 1.46 peratus, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi kadar positif wabak itu di Kuching sehingga semalam sebanyak 2.64 peratus melibatkan sembilan kluster aktif.

“Bagi Kluster PUI Sivagangga sehingga semalam, 1,647 individu telah disaring dan daripada jumlah ini 24 kes dikesan positif Covid-19.

“Di Kuching, seramai 2,541 individu disaring dan 67 kes adalah positif,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai status kes Covid-19 di Kedah dan Kuching serta langkah kementerian untuk mencegah gelombang seterusnya termasuk jumlah saringan yang dibuat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia uji 37,000 kes sehari

JOHOR BAHRU, 25 JULAI: Kapasiti dan keupayaan makmal ujian sampel saringan dan pengesanan Covid-19 di negara ini kini telah meningkat dan mampu menguji 37,000 kes sehari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga kini ia melibatkan 56 makmal di seluruh negara, berbanding 53 makmal sebelum ini.

Katanya, ujian dan saringan bagi mengesan individu yang bergejala dan tidak bergejala merupakan elemen terpenting, dalam memastikan penularan wabak tersebut dapat dihentikan.

“Data yang kita ada hari ini, setakat ini kita dapat uji hampir sejuta individu di negara ini yang disaring, diambil swab dan dihantar untuk di uji di makmal-makmal yang kita ada di negara kita.

“Kita boleh saring 37,000 kes sehari dengan 56 makmal yang bersedia untuk menguji Covid-19 dan sekiranya kita dapat menguji seramai yang boleh, itu yang terbaik,” katanya pada sesi Bicara Dewan Muda Johor – ‘Untold Story: Di Sebalik Pandemik Covid-19’, yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Dewan Muda Johor, hari ini.

Dr Adham berkata Malaysia antara negara yang mampu melakukan ujian dengan kadar tinggi, berbanding negara lain yang terjejas akibat Covid-19.

“Apa yang boleh kita bandingkan dengan negara luar ialah Malaysia menguji untuk setiap 1,000 populasi 28 ujian kita buat, manakala di Korea Selatan, 26 ujian untuk setiap 1,000 populasi, empat ujian untuk setiap 1,000 populasi di Jepun, di Vietnam dua ujian untuk 1,000 populasi, cuma di Singapura, 79 ujian bagi 1,000 populasi.

“Jadi ujian dan saringan untuk Covid-19 ini adalah elemen penting, untuk pastikan bahawa kita dapat mengesan, mengekang, menghalang dan membendung lebih awal penularan, pada peringkat awal sekali gus kita dapat meyakinkan rakyat bahawa kita dapat mengawal penyakit ini,” katanya.

Sementara itu Dr Adham berkata, ujian saringan yang dilakukan dengan pantas dan memperbanyakkan makmal ujian, adalah antara faktor Malaysia berjaya merendahkan jumlah jangkitan dalam kalangan masyarakat.

“Pegawai kementerian akan turun ke lapangan segera bagi membuat saringan, apabila kes jangkitan dikenal pasti dan selepas itu, individu disyaki dijangkiti akan segera diasingkan dengan siasatan kontak rapat dijalankan serta-merta.

“Sekiranya individu dalam pemantauan (PUI) didapati positif, mereka akan kekal diasingkan dan kontak rapat juga akan disaring manakala individu di bawah pengawasan (PUS), juga akan diasingkan sehinggalah 14 hari sebelum dilepaskan jika disahkan negatif,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan meningkat, kebanyakan dari peserta tabligh

SHAH ALAM, 17 MAC: Jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 terus meningkat kepada 673 kes sehingga 12 tengah hari tadi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebanyak 120 kes baharu direkodkan hari ini.

“Siasatan awal mendapati, 95 kes baharu ini berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling pada 24 Februari lalu.

“Sehingga kini, 12 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Adham berkata 428 pesakit terdiri daripada peserta tabligh.

“Gelombang kedua ini kebanyakannya daripada peserta tabligh juga,” katanya.