Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Kerajaan masih kaji elaun kritikal penjawat awam

KEPALA BATAS, 28 JUL: Kerajaan masih mengkaji secara menyeluruh mengenai elaun kritikal penjawat awam yang sehingga kini belum dimuktamadkan, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai kertas cadangan berhubung elaun kritikal bomba yang akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, penyerahan kertas cadangan tersebut perlu dirujuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Saya belum dengar secara rasmi lagi mengenai penyerahan kertas cadangan tersebut, tapi setahu saya ia perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Zuraida,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Kepala Batas, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mengkaji ​​​​​​​secara menyeluruh mengenai elaun yang telah diberikan kepada semua penjawat awam sama ada anggota bomba, pegawai kesihatan, guru, polis, tentera dan sebagainya.

Pada 20 Julai, lalu cadangan elaun kritikal tersebut telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah yang prihatin terhadap nasib anggota bomba dalam isu pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan.

Zuraida menerusi kementeriannya sebelum ini, dilaporkan sedang menunggu kata putus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung pemberian insentif elaun khas itu yang sudah beberapa kali diusulkan, sekali gus bakal memberi manfaat kepada seramai 14,000 anggota bomba di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut menyatakan bahawa waktu bekerja fleksibel yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini akan menentukan sama ada ia dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen bagi penjawat awam yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Waktu kerja fleksibel ini bukan perkara baharu tetapi sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu. Kita hendak lihat sejauh mana keberkesanan pelaksanaannya terlebih dahulu sama ada produktif atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan membuat penilaian bergantung kepada permintaan terhadap setiap kumpulan penjawat awam terbabit sama ada ia memberikan kesan efektif ke atas mereka yang bekerja dalam waktu berkenaan.

“Kita juga akan kaji setiap maklum balas yang diterima sama ada mereka terima (waktu bekerja fleksibel dari pukul 9 pagi hingga 5 petang) atau sebaliknya,” katanya.

Waktu bekerja fleksibel ini adalah kemudahan yang kerajaan sediakan untuk penjawat awam, antaranya mengelak kesesakan lalu lintas dan tempoh lebih fleksibel bagi mereka yang ingin menghantar anak ke sekolah, tadika dan sebagainya, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan rugi hingga RM5 bilion kebocoran hasil di pintu sempadan – KSN

SUNGAI PETANI, 28 JUL: Kerajaan mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun disebabkan kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Katanya, kebocoran hasil itu antaranya oleh aktiviti penyeludupan yang berlaku sama ada kerana kecuaian ataupun kekurangan peralatan untuk memantau dan mengawal pintu sempadan.

“Kebocoran hasil telah lama berlaku, kami memang ada data mengenai kebocoran hasil terutama dari segi kecuaian kita ataupun dari segi peralatan kita tidak mencukupi…contohnya penyeludupan rokok dan minuman keras dan perkara ini masih lagi berlaku,” katanya kepada pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perjumpaan bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Kedah dan Perlis.

Tanpa mengulas lanjut mengenai data yang dimaksudkan itu, Ismail berkata, penggunakan teknologi baharu untuk memantau pintu sempadan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan negara terus mengalami kebocoran hasil di situ.

Katanya, pemantauan ke atas penjawat awam yang bertugas mengawal pintu masuk juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka cekap menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penjawat awam perlu berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan ahli politik terutama yang menjadi anggota pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, bertugas di cabang yang sama, sama ada di peringkat kementerian atau agensi kerajaan penjawat awam perlu melihat ahli politik ini sebagai golongan yang perlu disantuni dan bukannya dijauhi.

“Kita harus tingkat kerjasama tetapi tidak bermakna kita terlibat dalam soal politik, kita mestilah melihat penjawat awam sebagai satu yang neutral dan mempunyai tugas-tugas tertentu dan kita sebagai tulang belakang kepada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rombakan, pertukaran jawatan babit semua peringkat

PUTRAJAYA, 6 JAN: Rombakan dan pertukaran jawatan tidak hanya membabitkan jawatan Ketua Setiausaha (KSU) sebaliknya ia membabitkan di semua peringkat penjawatan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, rombakan pertukaran jawatan itu adalah amalan biasa dilakukan dalam sektor awam bertujuan memantapkan operasi dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Kita tidak mahu mereka terlalu lama dan selesa di sesuatu jawatan serta kita galakkan pengalaman yang mereka ada dibawa ke kementerian lain untuk menambah kecekapan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Car Free Day Putrajaya di sini, hari ini.

Menolak dakwaan pertukaran dan rombakan terbabit dipengaruhi elemen politik, sebaliknya dibuat secara profesional.

“Rombakan ini bagus kerana ia bersifat inklusif dan kerana kepakaran di kementerian lama dibawa ke kementerian baharu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai rombakan besar membabitkan pertukaran KSU kementerian dan Ketua Pengarah kerajaan berkuat kuasa esok.

Sebanyak 12 KSU kementerian terbabit dalam pertukaran berkenaan iaitu tujuh pertukaran kementerian manakala lima lagi membabitkan kenaikan pangkat sebagai KSU baharu.

Antaranya, KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya dan tempat beliau digantikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas yang sebelum ini di Kementerian Pendidikan.

Ketika ditanya berhubung ura-ura sama ada Alwi terus kekal di Kementerian Dalam Negeri, Ismail menjelaskan, senarai rombakan itu tetap diteruskan dan tidak akan berlaku perubahan.

Ismail berkata, pertukaran jawatan KSU di beberapa kementerian akan diteruskan memandangkan terdapat KSU yang akan bersara wajib dalam masa enam bulan akan datang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azhar Azizan Pengerusi SPR baharu

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pakar undang-undang, Azhar Azizan, dilantik sebagai Pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar ketika mengumumkan hari ini berkata, Azhar, 56, mengambil alih jawatan daripada Mohd Hashim yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 1 Julai.

Katanya, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V juga memperkenankan pelantikan berkenaan.

“Azhar memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang dari King’s College, University of London, adalah peguam bela dan peguamcara dengan Messrs Azhar & Goh dan mempunyai kepakaran dalam undang-undang pilihan raya.

“Beliau melancarkan kariernya dalam undang-undang pada 1987 di Allen & Gledhill. Dari 1992, beliau berkhidmat sebagai peguam di Tetuan KH Koh, Azhar & Koh,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata, Azhar juga pernah berkhidmat di beberapa firma undang-undang terkemuka termasuk Messrs Khaw & Hussein; Tetuan TH Su & Partners; Messrs Lamin & Co; Tetuan Hisham Sobri & Kadir; Tetuan Shafee & Co dan Messrs Cheang & Ariff.

“Saya yakin kelayakan dan pengalaman membolehkannya menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik sebagai Pengerusi SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-Bernama