Categories
NASIONAL

Sasar satu Parlimen satu Masjid Rahmah

TASEK GELUGOR, 22 APRIL: Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya satu Parlimen mempunyai satu program Masjid Rahmah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata mana-mana masjid sedia ada yang mengamalkan ciri-ciri RAHMAH (ramah, aman, harmoni, mesra, a’lamin dan hormat) boleh diiktiraf sebagai Masjid Rahmah.

Beliau berkata program masjid rahmah itu adalah sebahagian daripada dasar rahmatan lil a’lamin ke arah mewujudkan sebuah negara rahmah.

“Kami sedang mengadakan jelajah di seluruh negara untuk menyampaikan dasar ini. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan dengan harapan kita dapat membebaskan masjid daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian.

“Masjid akan menjadi sebuah institusi ummah yang bebas daripada segala apa-apa kepentingan dan menjadi sebuah masjid yang hanya menyampaikan kebaikan dan berlumba-lumba atas kebajikan kepada seluruh masyarakat yang ada di sekeliling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Masjid Rahmah di Masjid Simpang Empat, Permatang Buloh, di sini hari ini.

Mujahid berkata setakat ini pihaknya telah mengadakan jelajah di Wilayah Persekutuan, Kedah dan Pulai Pinang.

“Saya berharap sebelum puasa kami dapat pergi dua buah negeri lagi iaitu Melaka dan Johor,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program pelancaran buku dan forum mengenai “Wanita Muslim dan Tudung” yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Mujahid berkata buku tersebut telah disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau berkata perkara itu di bawah bidang kuasa JAIS dan jabatan itu sedang menjalankan siasatan lanjut.

Mujahid turut menasihatkan mana-mana penganjur yang ingin mengadakan program supaya menjaga sensitiviti kaum terutamanya membabitkan agama Islam.

Carian di Twitter mendapati program itu berkisar perkongsian pengalaman wanita bertudung sebelum menemui dunia baharu tanpa tudung yang dilihat mendapat maklum balas negatif daripada netizen. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mujahid: Pilih kedamaian, bukti taraf kita lebih tinggi daripada pengganas

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Prinsip kedamaian yang diangkat pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini, membuktikan taraf rakyat negara ini adalah lebih tinggi daripada seorang pengganas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat Malaysia senada menolak sifat kebencian dan memilih jalan kedamaian di saat sedang berduka susulan tragedi serangan pengganas di Chrischurch, New Zealand, 15 Mac lepas.

“Kononnya kita marah dan mahu balas dendam, jadi apa bezanya kita dengan si pengganas ini. Kita cuba dipengaruhi (sifat benci) kita seharusnya kata tidak.

“Taraf kita lebih tinggi dari seorang pengganas. Kita di atas mereka, kita di sebalik mereka kerana mesej kita ialah kedamaian untuk semua,” katanya berucap pada perhimpunan itu, di Dataran Merdeka, pagi ini.

Perhimpunan yang bermula pada jam 7 pagi itu adalah sebagai tanda solidariti Malaysia susulan kejadian tembakan di dua masjid di Chrischurch yang mengorbankan 50 nyawa termasuk remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Mujahid yang turut membacakan Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019, percaya deklarasi serta simbolik bunga raya dan merpati putih akan menjadi contoh di mata dunia.

Ribuan peserta yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama termasuk pemimpin tempatan, ketua agama dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu.

Antara yang hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy; Menteri Wilayah Pesekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri Indusri Utama, Teresa Kok; dan wakil keluarga Mohamad Haziq, Zarina Shuib (ibu saudara).

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage; Duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci; dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski juga hadir dan menyampaikan ucapan.

Sementara itu, pemimpin tempatan senada mengecam tindakan prinsip keganasan dan menyeru agar keharmonian pelbagai kaum di negara ini terus dipelihara.

Teresa Kok dalam ucapan ringkasnya berkata: “Hari ini kita datang bersama hati yang damai dan kasih. Kita mahu Malaysia terus damai dan berkongsi kedamaian ini ke serata dunia,”

Waytha Morthy pula berkata, kedamaian lebih 62 tahun negara ini perlu dikekalkan tanpa ada perasan kebencian.

“Insiden yang berlaku di New Zealand membuktikan kebencian boleh menggugat negara yang damai. Kita perlu jadikan teladan dan jangan ikutkan perasaan benci,” katanya.

Perhimpunan itu diakhiri dengan para peserta bersama-sama membersihkan sekitar kawasan perhimpunan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah Khas Perkahwinan beroperasi Mei ini

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang antara lain akan diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dijangka beroperasi, pada Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, setakat ini proses pengoperasian mahkamah berada pada peringkat akhir bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung pentadbirannya, sebelum ia dibentangkan di mesyuarat Kabinet.

“Ia dah berada di peringkat akhir yang mana di pihak AG (Peguam Negara), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memberikan pandangan masing-masing.

“Mungkin dalam tempoh dua minggu lagi ia dah bersedia untuk diserahkan kepada peringkat Kabinet. Kalau sudah serahkan ke Kabinet ia makan masa dua hingga tiga minggu sebelum diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hari Wanita 2019, di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Katanya pelaksanaan mahkamah tersebut menggambarkan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membela nasib bekas isteri yang diabaikan bekas suami.

Sementara itu, Mujahid berkata, tiga teras utama gagasan pentadbiran Islam di bawah kerajaan PH iaitu Rahmatan Lil Alamin (agama yang membawa rahmat), Maqasid Syariah dan Modul Malaysia akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

Katanya tiga teras tersebut telah dibincangkan, dibahaskan dan dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang pertama kali bermesyuarat pada Khamis lepas.

“Apa yang telah dipersetujui oleh majlis tersebut akan dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja. Dengan itu Raja-raja akan tahu apa yang dalam hal ehwal Islam yang dibuat oleh kerajaan baharu ini,” katanya.

Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 yang dianjurkan bersama oleh IKIM dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) membincangkan isu-isu berkaitan wanita termasuk penglibatan wanita dalam masyarakat dan organisasi.

Turut hadir pada majlis perasmian selama sehari tersebut adalah Ketua Pengarah IKIM Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin dan Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Unit pemantau isu hina Islam beroperasi 24 jam ditubuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 MAC: Satu unit khas di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditubuhkan bagi memantau penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di semua landasan termasuk media sosial.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, unit itu akan menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam sebelum membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM).

“Meskipun JAKIM sebelum ini mempunyai Unit Kawalan Media di bawah Bahagian Penyelidikan JAKIM berfungsi memantau isu agama untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa khususnya SKMM, namun saya lihat perkara itu tidak memadai dan ia perlu diperkemaskan dengan lebih tegas supaya pemantauan secara 24 jam dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mujahid berkata, orang ramai juga disarankan membuat aduan menerusi aplikasi WhatsAap ke talian hotline 011-22334455 atau emel ke [email protected] sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau aduan yang menyentuh isu terbabit.

Beliau juga berharap supaya semua pihak dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara.

Katanya, sebagai Menteri Agama, beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

“Saya percaya, pihak berkuasa sudah melakukan tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu ini.

“Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak bersalah mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pendeposit TH tidak perlu kembalikan hibah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 8 JAN: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu mengembalikan semula hibah diterima walaupun terdapat unsur penyelewengan akaun sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kesalahan penyelewengan sebenarnya berpunca daripada pihak pengurusan dan ia bukan masalah yang perlu ditanggung pendeposit.

“Kami tidak mahu menimbulkan kesukaran kerana kesalahan ini dibuat pihak yang menerima dan bukan pendeposit. Jadi, pendeposit tidak perlu bimbang untuk membayar balik.

“Kami mendedahkan isu penyelewengan ini supaya masalah pengurusan dapat diperbaiki semula mengikut cara yang betul, sekali gus mengelakkan perkara sama berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Penyerahan Cek Sekolah Pondok Berdaftar, di Aras 12, Blok Tengah Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Presint 2, di sini, hari ini.

Penyerahan cek berjumlah RM25 juta itu disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membabitkan kesemua 228 buah Sekolah Pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang berdaftar, di seluruh negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Pendedahan itu diperoleh hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan, di Dewan Rakyat bulan lalu.

Malah, TH didakwa menggunakan simpanan pendeposit untuk membayar hibah sehingga menimbulkan kegusaran kepada pendeposit berkaitan status hibah diterima mereka selama ini.