Categories
AGENDA NASIONAL

Abdul Aziz Jusoh dilantik ketua pengarah Jakim baharu

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Abdul Aziz yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, dilantik bagi menggantikan Datuk Paimuzi Yahya yang meninggal dunia Oktober tahun lepas.

Dr Zulkifli berkata Abdul Aziz dipilih berasaskan justifikasi perkhidmatan beliau di Jakim selama lebih 34 tahun, selain berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam khususnya pentadbiran hal ehwal Islam.

“Beliau juga berintegriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang sepanjang perkhidmatan dan diterima baik oleh rakan strategik utama Jakim dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga warga Jakim,” katanya.

Beliau berkata Abdul Aziz berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada 2003.

Katanya, kerjaya Abdul Aziz dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1986.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2018 hingga 2020; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2017 hingga 2018 dan Pengarah Jakim Cawangan Sarawak (2013-2017).

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah (Agama), Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 2008 hingga 2009; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jakim (2005-2009) serta sebagai Pegawai Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun pada 1997.

“Dengan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kerajaan yakin bahawa beliau mampu untuk menerajui Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan.

“Ini bagi menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat,” kata Dr Zulkifli.

Dr Zulkifli berkata adalah menjadi harapan kerajaan agar pelantikan ketua pengarah yang baharu itu dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

“Saya mewakili pihak kerajaan juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham Paimuzi atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim terima cadangan guna kod QR kesan daging tidak halal

KOTA BHARU, 2 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyambut baik cadangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menggunakan sistem QR Code pada produk import di semua pintu masuk negara bagi mengesan daging tidak halal.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata selama ini memang KPDNHEP yang mengawal selia soal kemasukan daging dari luar negara dan tatacara operasi piawai (SOP) pengendaliannya berada di bawah kementerian terbabit.

Beliau berkata Jakim hanya menyediakan kelulusan terhadap pensijilan halal, bagaimanapun akan menambah baik beberapa SOP yang kini dalam kerangka perbincangan.

“Sistem QR Code ini adalah sebahagian daripada penambahbaikkan SOP yang akan dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada 20 PASTI Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid mencadangkan penggunaan sistem QR Code pada produk import bagi menangani ketirisan di pintu masuk negara dan mengelak masalah seperti kartel daging haram berulang.

Rosol dilaporkan berkata, cadangan itu adalah bagi memudahkan pegawai terlibat mengesan daging atau mana-mana barangan import yang salah, masuk ke dalam negara seperti di lapangan terbang serta pelabuhan, dan menurutnya sistem itu akan dapat mengurangkan bebanan petugas di pintu masuk negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian Kafa batal, Jakim fikir kaedah pentaksiran baharu

SHAH ALAM, 17 APRIL : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek bertulis di seluruh negara dibatalkan, kata menteri hal ehwal agama.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ujian itu sepatutnya dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

Jelasnya, keputusan pembatalan itu kerana mengambil kira keselamatan dan kesihatan murid terjamin.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kerana mereka sudah mengikuti pendidikan Kafa bermula tahun satu hingga enam di peringkat rendah.

“Malah, potensi mereka juga boleh dinilai dengan pelbagai kaedah lain. Jakim akan tetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 15 Mac lalu membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini.

KPM juga mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditangguhkan kepada 2021 ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Langkah itu diambil bagi memastikan rantaian jangkitan wabak itu diputuskan dengan sepenuhnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peperiksaan Kafa esok ditangguhkan – Jakim

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2019 bagi subjek bertulis Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) yang dijadualkan di seluruh negara pada Isnin ini (30 September), ditangguhkan ke 7 Oktober depan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan malam ini berkata penangguhan itu bagi menghormati perkabungan kemangkatan Sultan Kelantan ke-28 Almarhum Sultan Ismail Petra semalam.

“Jakim merafak sembah setinggi-tinggi ucapan takziah dan rasa dukacita terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V, ahli-ahli kerabat Diraja Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan atas kemangkatan Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

“Berikutan pengisytiharan kerajaan Negeri Kelantan bahawa 29 dan 30 Sept 2019 sebagai cuti peristiwa, Jakim memutuskan peperiksaan UPKK 2019 bagi subjek bertulis Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) yang dijadual pada 30 September 2019 (Isnin) ditangguhkan ke 7 Oktober 2019 (Isnin).

Sultan Ismail Petra, 69, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada pukul 8.11 pagi semalam dan selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar di sini, pada pukul 7.20 malam semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pensijilan halal masih dibawah kuasa Jakim

KUANTAN, 14 SEPT: Pensijilan logo halal masih tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata isu pensijilan halal tidak pernah diuruskan oleh badan atau agensi lain sekaligus dakwaan bahawa perkara itu kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) adalah salah.

“Di bawah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, ia menguruskan aspek berkenaan pensijilan termasuk prosedur pensijilan, takrifan halal serta sistem jaminan halal,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Fuziah berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar semalam, yang memetik Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai berkata pensijilan halal tidak lagi berada di bawah Jakim, sebaliknya MOF.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera didakwa berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di ibu negara, yang mana Fuziah menyifatkan kenyataan itu sebagai menyeleweng, fakta yang salah dan berunsur fitnah.

“Kenyataan ini adalah berniat jahat demi menanam ketakutan dalam kalangan orang Melayu Islam kononnya kerajaan Malaysia baru dipimpin parti DAP. Saya menggesa beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan ini,” katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan juga menuntut supaya Ismail Sabri membetulkan semula kenyataan itu bagi mengelakkan salah faham berkaitan aspek halal atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim sokong Johor guna tulisan jawi dalam urusan agama Islam

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong inisiatif Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menggunakan tulisan jawi dalam urusan surat menyurat kerana ia dilihat dapat memartabatkan tulisan jawi.

Pelaksanaan inisiatif itu akan bermula 1 Januari tahun depan yang melibatkan JAINJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta urusan diperingkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.

Mujahid berkata di Jakim, bagi setiap program kira-kira 25 peratus daripada poster atau bahan-bahan berkaitan program menggunakan tulisan jawi.

“Esok kita akan lancar satu program iaitu minggu jawi dan setiap hari Jumaat, kita akan minta semua staf pakai tanda nama bertulisan jawi,” katanya kepada media selepas merasmikan forum antarabangsa pertama mengenai ‘Pemikiran Islam (I-FiT): Menggalakkan Maqasid Syariah Ke Arah Tadbir Urus yang Ehsan’, di sini hari ini.

Mengenai forum hari ini, Mujahid berkata program itu akan dijadikan acara tahunan bagi membincangkan prinsip Maqasid Syariah khususnya dalam kerangka Malaysia.

“Kita akan menggunakan platform ini untuk menyentuh isu-isu Islam semasa yang mana kita ambil juga pandangan-pandangan dari luar negara lalu kita jadikan ia sebagai prosiding yang kita ambil untuk kita baiki dasar-dasar yang kita sedang rangka,”katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAKIM: Jangan tularkan isu hina Nabi

SHAH ALAM, 24 JUL: Netizen di negara ini dinasihatkan supaya tidak berkongsi status menghina Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Facebook, Wendy Loong.

Unit Pemantauan Isu Hina Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, hal itu kerana jika status itu masih dikongsikan di mana-mana platform, pihak berkenaan menjadi penyebar kepada penghinaan Nabi SAW.

“JAKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara ini selaras dengan inisiatif pihak kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara Rahmah,” katanya dalam kenyataan.

JAKIM berkata, pihaknya menerima mesej aduan dalam jumlah yang banyak melalui aplikasi WhatsApp berhubung isu itu.

Pada masa sama, katanya, melalui semakan dan carian di Facebook didapati akaun berkenaan sudah tidak dijumpai.

“Ia sama ada ditutup atau dinyah aktif oleh Facebook. Sementara laman ‘Kiub Batu Itu Berhala’ di Facebook ditukar kepada status kumpulan tertutup khusus untuk ahli kumpulan tersebut sahaja,” katanya.

JAKIM menegaskan, usaha mengesan pemilik akaun itu tetap diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Polis menerima 11 aduan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan mengenai entri menghina Nabi Muhamad SAW oleh pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong.

Categories
SUKANKINI

Lebih 2,000 pelajar sertai KESSUMA 2019

BANGI, 15 JUL: Seramai 2,100 pelajar daripada 13 kontinjen dari seluruh negara menyertai Kejohanan Sukan Sekolah Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-20 tahun 2019 bermula pada hari ini hingga 19 Julai.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Paimuzi Yahya berkata, ia bertujuan melahirkan jaguh sukan dalam kalangan pelajar Sekolah Agama Malaysia yang cergas fizikal dan minda.

“Kejohanan ini bertepatan dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang sudah menetapkan kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Ia penting bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan 10 markah merit bagi tujuan kemasukan ke IPTA dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kejohanan berkenaan di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Antara Sekolah yang terbabit dalam kejohanan itu adalah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Pada masa sama, Paimuzi berkata, amalan riadah atau sukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberikan perhatian umat Islam bagi melahirkan masyarakat yang cergas pemikiran dan kekuatan fizikal.

“Dengan melakukan riadah dan bersukan, ia mengekalkan kecergasan tubuh badan.

“Selain itu, ia dapat menunaikan amal ibadah yang difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk,” katanya.

Antara acara dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan adalah bola sepak lelaki, sepak takraw lelaki, bola jaring, bola tampar lelaki dan perempuan, badminton lelaki dan perempuan dan ping pong lelaki dan perempuan.

Categories
NASIONAL

JAKIM- Kedutaan Argentina bincang perkukuh agenda halal

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 15 APR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Republik Argentina di Malaysia bagi meneruskan agenda mengukuh kerjasama dalam aspek halal, pada 12 April lalu.

Menurut kenyataannya di Facebook, pertemuan itu merupakan jemputan balas daripada Duta Besar Republik Argentina ke Malaysia, Manuel Jose Balaguer Salas kepada beberapa siri pertemuan dan perbincangan sebelum ini.

JAKIM berkata, kunjungan terbabit adalah satu penghormatan terbaik lanjutan kesediaan Malaysia dalam menghulurkan bantuan pembangunan kapasiti teknikal halal sekali gus berkongsi kejayaan Malaysia dalam aspek halal.

“Program pembangunan kapasiti ini adalah skop baharu yang diperkenalkan sebagai usaha untuk memberikan maklumat langsung dan pemahaman berkaitan halal serta keperluan peraturan halal yang dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Kunjungan itu diketuai oleh Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia (MHM), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee bersama pegawai kanan MHM, iaitu Mohd Asri Abdullah dan Muhammad Naim Mohd Aziz.

Sementara itu, sehingga Februari lalu, JAKIM sudah mengiktiraf lebih 70 logo halal daripada badan pensijilan luar negara yang merangkumi 45 negara.

 

Categories
SELANGOR

Selangor negeri pertama anjur Muhadharah Murabbi Ummah

OLEH NADIAH ZAMLUS

CYBERJAYA, 10 APR : Selangor sekali lagi mendahului negeri lain apabila berjaya menganjurkan Program Muhadharah Murabbi Ummah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penganjuran itu selari dengan matlamat Kerajaan Negeri yang sentiasa komited mendekati para murabbi ummah.

Katanya, Kerajaan Persekutuan dan negeri sentiasa mengiktiraf dan menghargai peranan murabbi dalam membimbing dan membentuk sikap murni masyarakat, sekali gus menjadi penyumbang kepada keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama.

“Peranan dan tanggungjawab para murabbi seperti imam dan ahli jawatankuasa masjid adalah penting bagi menyebarkan syariat Islam yang syumul serta menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

“Peranan mereka juga sangat diperlukan kerana ajaran Islam merupakan perkara penting bagi membangunkan modal insan cemerlang dan berkualiti,” katanya dalam ucapan perasmian Mudhaharah Murabbi Ummah peringkat Selangor di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini , semalam.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri lebih 500 hadirin termasuk imam dan guru agama itu dibacakan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Amirudin berkata, selain tanggungjawab mendidik ummah berteraskan panduan Al-Quran dan hadith, para murabbi berperanan untuk mengajak masyarakat menghayati nilai-nilai murni yang diajar Islam.

Katanya, penghayatan nilai murni yang tinggi dalam masyarakat dapat membantu ke arah pembentukan disiplin diri yang baik kepada individu.

“Matlamat utamanya adalah untuk membentuk personaliti muslim dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi serta melahirkan insan kamil dan mukmin yang bertakwa kepada ALLAH SWT,” katanya.

Categories
NASIONAL

Unit pemantau isu hina Islam beroperasi 24 jam ditubuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 MAC: Satu unit khas di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditubuhkan bagi memantau penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di semua landasan termasuk media sosial.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, unit itu akan menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam sebelum membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM).

“Meskipun JAKIM sebelum ini mempunyai Unit Kawalan Media di bawah Bahagian Penyelidikan JAKIM berfungsi memantau isu agama untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa khususnya SKMM, namun saya lihat perkara itu tidak memadai dan ia perlu diperkemaskan dengan lebih tegas supaya pemantauan secara 24 jam dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mujahid berkata, orang ramai juga disarankan membuat aduan menerusi aplikasi WhatsAap ke talian hotline 011-22334455 atau emel ke [email protected] sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau aduan yang menyentuh isu terbabit.

Beliau juga berharap supaya semua pihak dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara.

Katanya, sebagai Menteri Agama, beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

“Saya percaya, pihak berkuasa sudah melakukan tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu ini.

“Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak bersalah mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jakim bantu perjelas isu suntikan vaksin dari sudut fatwa

KUANTAN, 2 MAC: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membantu Kementerian Kesihatan untuk membuat dasar berkenaan suntikan vaksin imunisasai dari sudut pandangan fatwa sama ada perlu mewajibkan pengambilannya atau sebaliknya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, dalam masa yang sama Jakim akan turut membantu memperjelaskan kepada orang ramai mengenai suntikan vaksin itu memandangkan terdapat sesetengah ibu bapa berpandangan ia mempunyai elemen yang tidak halal.

“Kita akui hak mereka sebagai ibu bapa tetapi kalau kita lihat dari sudut lebih besar apabila anak itu (tidak mendapatkan suntikan vaksin) mungkin tidak terlindung daripada sesetengah penyakit dan kemudian dia boleh merebak membawa penyakit itu kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Moh Sambung Belajar 2019 Kolej Poly-Tech Mara Kuantan di sini, hari ini.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kemaslahatan ummah perlu sentiasa difikirkan di samping menghormati pendirian golongan ibu bapa terhadap soal anak-anak mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar kepada jemaah menteri supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Katanya, kementerian mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan menyebabkan berlaku jangkitan penyakit yang membawa kematian.

SUMBER: BERNAMA