Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kompromi terhadap syarikat dera pekerja – menteri

BANTING, 31 MAC: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang didapati mendera pekerja mereka.

Namun katanya, jika syarikat terbabit didapati tidak bersalah, ia tidak wajar “dihukum” seperti mengenakan sekatan import dan sebagainya oleh negara lain.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat yang dilapor telah memulakan sitaan ke atas produk sarung tangan pakai buang Top Glove di semua pintu masuk pelabuhan negara itu, atas alasan syarikat tersebut menggunakan buruh paksa.

“(Tapi) Top Glove masih ada ruang untuk merayu,” kata Saravanan kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Pekerja-pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad, di sini semalam.

Tahun lepas, Saravanan dilaporkan berkata dakwaan bahawa Top Glove menggunakan buruh paksa adalah tidak berasas susulan siasatan yang dijalankan kementerian itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal laksana saringan Covid-19 pekerja asing, PLKS tidak diperbaharui

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Majikan yang gagal membuat ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing sehingga 28 Februari ini boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara tersebut dan menggesa majikan yang belum melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing untuk segera berbuat demikian.

“Ini memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini termasuk kluster berkaitan tempat kerja yang membimbangkan. Arahan ini adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Malah, melalui operasi dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut mendapati masih banyak majikan yang gagal memastikan pekerja asing yang digajikan mereka membuat ujian saringan Covid-19 meskipun arahan telah dikeluarkan untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan majikan yang menanggung kos saringan Covid-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun ini.

Bermula 1 Januari, majikan diwajibkan memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan perlu sedia pusat kuarantin pekerja asing positif Covid-19

PUTRAJAYA, 8 JAN: Majikan perlu menyediakan pusat kuarantin untuk mengasingkan pekerja asing mereka yang disahkan positif Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing.

Majikan juga digesa melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan segera sekiranya ada dalam kalangan pekerja asing mereka, positif Covid-19 selepas saringan dilakukan, katanya.

“Majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan. Ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes,” katanya.

Saravanan berkata majikan juga perlu melakukan ujian saringan Covid-19 untuk pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

“Ini bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif Covid-19 dan seterusnya membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain,” kata Saravanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran balik PTPK tangguh tiga bulan lagi mulai 1 Oktober

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Kerajaan bersetuju melanjutkan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan lagi, mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata jumlah yang terlibat ekoran penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh tiga bulan itu dianggarkan RM70 juta dan bakal memberi manfaat kepada 178,906 peminjam.

“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK ini adalah secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penangguhan untuk tiga bulan lagi itu juga adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lepas mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar untuk melindungi dan mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19, katanya.

Saravanan berkata anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK secara keseluruhan berjumlah RM220 juta sehingga 31 Disember ini, melibatkan 178,906 peminjam.

Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK untuk tempoh enam bulan mulai 1 April hingga 30 September berjumlah RM149.2 juta melibatkan 174,500 peminjam, di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kemalangan maut di tempat kerja turun lapan peratus tahun lalu

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Prestasi Keselamatan dan Kesihatan (KKP) negara menunjukkan kadar kemalangan maut di tempat kerja mencatat penurunan sebanyak lapan peratus tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata statistik itu bersamaan 3.83 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding 4.14 bagi setiap 100,000 pekerja yang direkodkan pada 2018.

“Bagi sektor pembinaan secara khususnya kadar kemalangan maut melibatkan pekerja menurun 16 peratus (11.28 bagi setiap 100,000 pekerja) berbanding 13.44 per 100,000 pekerja pada 2018.

“Penurunan kadar kemalangan maut ini jelas menunjukkan majikan dan pekerja mulai sedar akan kepentingan, serta memastikan tempat kerja mereka selamat dan sihat,” katanya ketika berucap pada lawatan kerja di tapak projek Menara Merdeka 118, Stadium Merdeka, di sini, hari ini.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyenaraikan kemalangan maut tersebut melibatkan sektor seperti pengilangan, perlombongan, pertanian, perhutanan, perikanan, kemudahan (gas, air, elektrik dan kebersihan), pengangkutan, penyimpanan, komunikasi dan pembinaan.

Saravanan, bagaimanapun, berkata bagi kadar kemalangan di tempat kerja meningkat sebanyak 13 peratus (2.71 bagi setiap 1,000 pekerja) tahun lepas, berbanding 2.40 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2018.

Susulan itu, beliau berkata, peraturan khusus untuk menjadikan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 atau OSHCIM yang dibangunkan oleh JKKP sebagai mandatori sedang di peringkat akhir perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.

“OSHCIM sebagai mekanisme pihak kerajaan dalam memastikan setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Garis panduan tersebut memberikan panduan praktikal untuk klien, pereka bentuk dan kontraktor tentang aspek pengurusan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semasa merancang dan menjalankan projek pembinaan.

Jelasnya, sebanyak 10 projek perintis diiktiraf sebagai Projek Perintis OSHCIM iaitu melibatkan tiga projek kerajaan di bawah kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tujuh lagi merupakan projek swasta.

Sementara itu, Saravan berkata dari sudut penguatkuasaan, JKKP telah menjalankan 301,635 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera pada tahun lepas.

Katanya, sebanyak 26,980 notis dikeluarkan iaitu 1,481 kesalahan dikenakan kompaun manakala 421 kes didakwa di mahkamah.

Beliau berkata penalti keseluruhan bagi tindakan kompaun dan pendakwaan bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak RM8.05 juta.

Mengenai lawatan ke tapak projek Menara Merdeka 118 hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berkata kemajuan pembinaan menara tersebut yang dibangunkan PNB Merdeka Ventures kini 52.2 peratus siap, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2022.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan, syarikat akan bincang masalah penghantar makanan

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Kerajaan akan memberi perhatian terhadap masalah dan aduan yang disuarakan penghantar makanan GrabFood dan FoodPanda tentang nasib mereka, melalui perbincangan dengan syarikat terlibat mengikut dasar sedia ada.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata masalah yang dihadapi penghantar makanan antaranya kebajikan dan ketidakadilan kadar tambang akan dibincang bersama syarikat berkenaan dalam memastikan golongan tersebut tidak tercicir dalam arus pembangunan terutamanya dalam kelembapan ekonomi.

“Saya beri jaminan, masalah mereka akan diberi perhatian. Kami cuba mengurangkan kadar pengangguran, jadi apa sahaja yang kita dapat selesaikan dengan segera secara tidak langsung akan mengurangkan beban pengangguran di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum suara nasib penghantar makanan itu di kementeriannya di sini hari ini.

Pada mulanya, hanya 10 wakil daripada Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), GrabFood dan FoodPanda dibenarkan masuk ke perkarangan kementerian itu untuk menyerahkan memorandum, namun selepas mendapat tahu terdapat lebih 100 orang berkumpul di luar, Saravanan keluar dari pejabatnya untuk bertemu serta mendengar rintihan mereka.

Sementara itu, penghantar makanan GrabFood, Khairi Hasim, 41, berkata antara masalah ialah wujudnya tatacara operasi piawai (SOP) sentiasa berubah dalam proses upah pada setiap penghantaran, yang bukannya bersifat menambah baik tetapi menyebabkan penghantar makanan itu menjadi mangsa.

“Satu lagi isu ialah penghantaran makanan oleh GrabCar yang masih diteruskan. GrabCar sekarang boleh ambil penumpang dan juga makanan. Ini menjejaskan penghantar makanan (bermotosikal) sekali gus mewujudkan lambakan penunggang,” katanya, yang berharap kerajaan dapat campur tangan dalam menyelesaikan masalah penghantar makanan.

Bagi penghantar makanan FoodPanda, Jeffry Rizal Jamaluddin, 45, berkata sistem syarikat itu menganiaya penghantar makanan kerana sering berlakunya kekurangan pada gaji.

Ini kerana sistem pengiraan gaji dilakukan secara manual dengan menggunakan aplikasi ‘Excel’ dan individu yang mengawal serta mentadbir kewangan penghantar makanan sering melakukan kesilapan, katanya.

Selain itu, katanya prestasi penghantar makanan sering terjejas kerana kelemahan sistem GPS Aplikasi Roadrunner yang tidak dapat mengesan semasa penghantar makanan bergerak dan direhatkan selama 30 minit.

“Ketika direhatkan, penghantar makanan tidak akan mendapat pesanan. Jika seorang penghantar makanan sekalipun telah sampai di restoran serta mengambil pesanan dan telah mengambil gambar sebagai bukti kepada khidmat pelanggan, penghantar makanan tetap akan direhatkan tanpa budi bicara kerana alasannya masalah pada sistem,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

24,000 aduan kebajikan, buang pekerja semasa PKP

SHAH ALAM, 22 JUN: Kementerian Sumber Manusia menerima 24,000 aduan mengenai kebajikan dan pembuangan pekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menterinya.

Datuk Seri M Saravanan berkata perkara itu akan diselesaikan secara berperingkat kerana Jabatan Tenaga Kerja memerlukan masa lebih panjang menyiasatnya, lapor Berita Harian.

“Kementerian memberi jaminan mengambil langkah segera bagi mempercepat dan menyelesaikan semua aduan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mendapat aduan berhubung sebahagian majikan enggan membayar Program Subsidi Upah (PSU) kepada pekerja melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) diluluskan.

Saravanan menegaskan PSU adalah hak pekerja dan sekiranya majikan ingkar pekerja boleh membuat aduan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).