Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pendapatan terjejas, pengayuh beca nekad jadi penghantar makanan

MELAKA, 6 DIS: Seorang pengayuh beca yang terjejas teruk pendapatannya sepanjang penularan Covid-19, nekad beralih ke bidang penghantaran makanan FoodPanda bagi meneruskan kelangsungan hidup diri dan keluarganya.

Muhammad Sobri Md Yaakub, 30, bapa kepada anak berusia tiga tahun itu berkata, pendapatannya terjejas teruk sepanjang penularan pandemik itu terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Beliau yang membawa beca sejak berusia 15 tahun berkata pendapatan sebagai penghantar makanan tidak menjadikan hidupnya mewah berbelanja, sebaliknya cukup bagi menampung kehidupan beliau dan keluarga yang tinggal di Tengkera di sini.

“Alhamdulillah saya masih mampu menanggung keluarga dan memenuhi komitmen yang ada. Sebelum ini, purata pendapatan saya sebagai pengayuh beca antara RM1,000 dan RM1,200 sebulan itu pun bergantung kepada jumlah pelanggan yang menaiki beca.

“Namun dalam tempoh PKP dan PKPB ini pendapatan memang terjejas teruk, bayangkan kadang kala empat hingga lima hari pun tak tentu ada pelanggan yang naik beca saya, sebab pelancong memang kurang, ikut nasib sahaja,” katanya kepada Bernama pada Majlis Penyerahan Bantuan Makanan serta wang tunai kepada lebih 100 pengayuh beca di Melaka, oleh pendakwah bebas dan usahawan terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih popular dikenali sebagai Ebit Lew, di sini malam tadi.

Muhammad Sobri yang mula berjinak sebagai penghantar makanan pada Februari lepas itu berkata, beliau bersyukur kerana kebajikan pengayuh beca mendapat perhatian kerajaan negeri dan kerajaan pusat, menerusi insentif ‘one-off’ sebanyak dua kali berjumlah RM800, selain bantuan barangan makanan.

Beliau berkata selain itu pengayuh beca di negeri itu juga mendapat beberapa bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak.

Sementara itu, Kamarudin Jantan, 68, dari Kampung Enam, Bachang berkata beliau terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan lain, antaranya mengambil upah memotong rumput ekoran pendapatannya yang turut terjejas sehingga kini.

“Sepanjang tempoh PKP sebelum ini pendapatan memang kosong, tetapi nasib baiklah ada bantuan makanan daripada pelbagai pihak, kerajaan dan badan bukan kerajaan,” kata pengayuh beca sepenuh masa yang telah berkhidmat hampir 40 tahun dan membesarkan enam anaknya menerusi pendapatan daripada pekerjaan itu.

Dalam pada itu, Ebit Lew berkata bantuan kecil berkenaan merupakan salah satu medium ‘Dakwah Bil Hal’, iaitu menerusi apa yang kita lakukan dan dalam konteks untuk meringankan beban golongan pengayuh beca di Melaka, yang terjejas dengan Covid-19.

“Pemberian sumbangan ini juga sebagai salah satu semangat untuk pengayuh beca di Melaka, yang terjejas pendapatan mereka kerana sektor pelancongan antara terkesan teruk, bukan di Melaka atau Malaysia tetapi di seluruh dunia. Hendak pulih semula sepenuhnya pasti ambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata bantuan yang dihulurkan itu juga diharap menjadi asbab untuk lebih ramai lagi menyumbang kepada golongan yang memerlukan, dalam situasi getir ini.

Setakat ini, setiap tiga hari seminggu bantuan sebanyak 1,000 kit bantuan berupa barangan keperluan asas atau wang tunai, mengikut keadaan, akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan di seluruh negara.

“Tetapi ada juga yang kita bagi bantuan payung untuk mereka yang ingin mula berniaga, ada yang kita bagi motosikal dan basikal untuk digunakan mencari rezeki. Sebenarnya ramai lagi yang perlu dibantu dan kita perlu kreatif, walau sedikit Allah pandang,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan, syarikat akan bincang masalah penghantar makanan

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Kerajaan akan memberi perhatian terhadap masalah dan aduan yang disuarakan penghantar makanan GrabFood dan FoodPanda tentang nasib mereka, melalui perbincangan dengan syarikat terlibat mengikut dasar sedia ada.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata masalah yang dihadapi penghantar makanan antaranya kebajikan dan ketidakadilan kadar tambang akan dibincang bersama syarikat berkenaan dalam memastikan golongan tersebut tidak tercicir dalam arus pembangunan terutamanya dalam kelembapan ekonomi.

“Saya beri jaminan, masalah mereka akan diberi perhatian. Kami cuba mengurangkan kadar pengangguran, jadi apa sahaja yang kita dapat selesaikan dengan segera secara tidak langsung akan mengurangkan beban pengangguran di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum suara nasib penghantar makanan itu di kementeriannya di sini hari ini.

Pada mulanya, hanya 10 wakil daripada Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), GrabFood dan FoodPanda dibenarkan masuk ke perkarangan kementerian itu untuk menyerahkan memorandum, namun selepas mendapat tahu terdapat lebih 100 orang berkumpul di luar, Saravanan keluar dari pejabatnya untuk bertemu serta mendengar rintihan mereka.

Sementara itu, penghantar makanan GrabFood, Khairi Hasim, 41, berkata antara masalah ialah wujudnya tatacara operasi piawai (SOP) sentiasa berubah dalam proses upah pada setiap penghantaran, yang bukannya bersifat menambah baik tetapi menyebabkan penghantar makanan itu menjadi mangsa.

“Satu lagi isu ialah penghantaran makanan oleh GrabCar yang masih diteruskan. GrabCar sekarang boleh ambil penumpang dan juga makanan. Ini menjejaskan penghantar makanan (bermotosikal) sekali gus mewujudkan lambakan penunggang,” katanya, yang berharap kerajaan dapat campur tangan dalam menyelesaikan masalah penghantar makanan.

Bagi penghantar makanan FoodPanda, Jeffry Rizal Jamaluddin, 45, berkata sistem syarikat itu menganiaya penghantar makanan kerana sering berlakunya kekurangan pada gaji.

Ini kerana sistem pengiraan gaji dilakukan secara manual dengan menggunakan aplikasi ‘Excel’ dan individu yang mengawal serta mentadbir kewangan penghantar makanan sering melakukan kesilapan, katanya.

Selain itu, katanya prestasi penghantar makanan sering terjejas kerana kelemahan sistem GPS Aplikasi Roadrunner yang tidak dapat mengesan semasa penghantar makanan bergerak dan direhatkan selama 30 minit.

“Ketika direhatkan, penghantar makanan tidak akan mendapat pesanan. Jika seorang penghantar makanan sekalipun telah sampai di restoran serta mengambil pesanan dan telah mengambil gambar sebagai bukti kepada khidmat pelanggan, penghantar makanan tetap akan direhatkan tanpa budi bicara kerana alasannya masalah pada sistem,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Foodpanda nafi penghantar makanan dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 27 MAC: Foodpanda Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda) menafikan dakwaan salah seorang penghantar makanannya dijangkiti Covid-19 selepas tular menerusi video dan mesej WhatsaApp.

Kenyataan dilaporkan NST Online memaklumkan perkara itu kecoh dalam kalangan warga maya yang menunjukkan petugas Foodpanda dari salah sebuah kompleks di Klang Lama, pengsan di koridor salah sebuah pangsapuri.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan kami mengesahkan tiada dalam kalangan penghantar makanan Foodpanda disyaki atau disahkan menghidap Covid-19,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Foodpanda akan terus memantau dengan teliti dan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan sebaiknya dalam menghadapi penularan wabak berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Foodpanda disaran kembalikan skim bayaran asal penunggang

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kabinet menyarankan syarikat penghantaran dalam talian, Foodpanda untuk kembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan para penunggang mereka, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, kerajaan percaya kepada persaingan pasaran bebas, tetapi ia tidak boleh mengorbankan nasib pekerja.

“Setelah mendengar cerita kedua-dua belah pihak (pengurusan Foodpanda dan penunggang) saya bawakan isu ini ke kabinet. Kabinet menyarankan Foodpanda mengembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan riders (penunggang),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Syed Saddiq berkata, kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan pasaran yang lebih kompetitif bagi pemain sektor itu terutamanya apabila ada pihak mendakwa mereka yang mengawal pasaran.

“Bagi rancangan jangka masa panjang, kabinet juga memutuskan untuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membentuk Jawatankuasa Khas untuk menilai isu ‘gig economy’ dengan lebih mendalam.

“Terdapat ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa. Mereka perlu mendapat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka. Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga,” katanya.

Terdahulu, beliau telah bertemu dengan pihak pengurusan Foodpanda di pejabatnya sebelum mengadakan sesi pertemuan di kediamannya bagi mendengar keluh-kesah para penunggang Foodpanda.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, Foodpanda juga mendakwa mereka mempunyai kawalan pasaran yang besar dan kebanyakan penunggang mereka kecuali di Johor telahpun bersetuju dengan skim yang baharu.

“Ini adalah kurang tepat kerana riders daripada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga membantah keputusan baru Foodpanda ini,” katanya dan menambah ada ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa, dan mereka perlu mendpaat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka.

“Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga,” katanya.

Isnin lepas, kira-kira 200 penunggang ‘Foodpanda’ mengadakan mogok membantah skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil di luar ibu pejabat syarikat itu di sini.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya memberitahu, mereka akan memastikan wujudnya situasi menang-menang antara penunggang syarikat penghantaran dalam talian Foodpanda dan pihak pengurusannya berhubung bantahan skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil.

Menurut kementerian itu, pihaknya sentiasa memberi perhatian dan penekanan khusus terhadap kebajikan dan perlindungan terhadap golongan yang berada dalam ‘gig economy’.

– BERNAMA