Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam nadi, tulang belakang negara

KUALA LUMPUR, 1 MMEI: Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada rakyat Malaysia terutamanya penjawat awam.

Beliau berkata penjawat awam merupakan nadi dan tulang belakang negara.

“Wabak #Covid-19 telah merubah paradigma baharu dari segi budaya kerja dan norma sosial masyarakat.

“Namun produktiviti terus diutamakan demi kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam entri terkini di laman media sosial rasmi beliau sempena Hari Pekerja, hari ini.

Terdapat kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini, termasuk petugas barisan hadapan seperti tenaga kerja kesihatan dan keselamatan yang kini bertungkus lumus memerangi penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wanita tonggak pembentukan keluarga penyayang

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Wanita adalah golongan istimewa yang menjadi tonggak dalam pembentukan keluarga penyayang serta pemangkin terhadap kemajuan negara, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dalam ucapan bersempena Hari Wanita Sedunia, Mohd Zuki melalui catatan di laman Twitter dan Facebook rasminya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah terhadap pencapaian wanita hari ini yang merentasi pelbagai aspek dari politik dan ekonomi, pembuat keputusan dalam pentadbiran, pendidikan dan juga sukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Suriani Ahmad juga tidak ketinggalan membuat ucapan ‘Selamat menyambut Hari Wanita’ dengan tanda pagar #EachforEqual.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata wanita adalah satu gabungan untuk menjadikan satu unit kekeluargaan membabitkan masyarakat, suami, anak, kawan dan sesama wanita.

Justeru itu, Dr Wan Azizah yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata dengan tema “Each for Equal”, wanita tidak seharusnya lagi menjadi bahan stereotaip dan mangsa diskriminasi.

Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac dengan tema kali ini #EachForEqual.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohd Zuki pengerusi mesyuarat khas bersama KSU kementerian

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali mempengerusikan mesyuarat khas bersama kesemua ketua setiausaha kementerian bagi meneruskan perkhidmatan seperti biasa.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat itu dilakukan bagi memastikan kelangsungan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan sedia ada untuk rakyat dan negara.

“Mesyuarat khas bersama ketua-ketua setiausaha kementerian bagi meneruskan khidmat seperti biasa untuk kelangsungan perancangan dan pelaksanaan dasar sedia ada untuk rakyat dan negara,” katanya menerusi twitter Mohd Zuki Ali hari ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatannya.

Susulan itu, Mohd Zuki dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara bagi menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Mohd Zuki turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Perdana Menteri, turut berkenan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik semalam.

– BERNAMA