Categories
AGENDA NASIONAL

Mustapa langgar SOP kawalan pergerakan, polis buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memohon maaf atas pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) hari ini menyebut berikutan tersebarnya gambar mengenai kehadiran Mustapa di Alfath Cafe di Jeli semalam, beliau telah dihubungi Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin tengah hari tadi yang memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka mengenai perkara itu.

“Datuk Seri Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Cafe, Kampung Kalai, Jeli pada 5.30 petang Sabtu 26 Jun,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Mustapa singgah di kafe berkenaan untuk melihat bagaimana seorang pemilik kafe berjaya meneruskan perniagaannya walaupun berdepan dengan Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mustapa: PH perlu kerja kuat tunai janji

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja kuat untuk menunaikan janji dalam manifesto walaupun berdepan desakan rakyat yang mahu melihat ia dilaksanakan secapat mungkin.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun tempoh setahun tidak cukup untuk menyelesaikan semua masalah, namun pandangan rakyat perlu didengar dan diterima sebaiknya.

“Ada janji PH yang sudah ditunaikan walaupun tidak sepenuhnya tetapi ada lagi yang belum ditunaikan.

“Maka, pada pandangan saya kita harus mendengar pandangan rakyat dan rakyat juga harus bertimbang rasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas prestasi pimpinan PH menjelang setahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei 2018.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan perlu menjaga hubungan dengan rakyat walaupun terus diasak dengan tuntutan menunaikan janji sehingga hari ini.

“Kita harus akui, setahun tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah. Pada masa sama, kita harus mengakui rakyat mahu nampak hasil secepat mungkin.

“Kita kena kerja kuat dan terus berhubung dengan rakyat. Ada program yang sudah dilakukan dalam bidang integriti umpamanya, pencapaian reformasi Parlimen. Saya menyaksikan perubahan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

67% penjawat awam Selangor puas hati hubungan dengan pemimpin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Sebanyak 67 peratus penjawat awam berpuas hati hubungan mereka bersama pimpinan politik, sepanjang Pakatan Harapan mentadbir Selangor sejak 10 tahun lalu.

Peratusan itu diperoleh melalui satu bancian dibuat pada Dialogue@Shah Alam, yang berlangsung pagi tadi.

Dihadiri hampir 400 peserta terdiri daripada penjawat awam pelbagai peringkat, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berpandangan, perkara itu masih boleh diperbaiki menerusi komunikasi dua hala antara kedua-dua pihak.

“Kita lihat 67 peratus berpuas hati antara hubungan ahli politik dengan penjawat awam. Walaupun ada 33 peratus yang tidak berpuas hati, ia boleh diperbaiki.

“Sebab itu perlunya persyarikatan Malaysia supaya kita bekerja sebagai satu pasukan. Apa pun, pegawai kerajaan adalah pelaksana dasar dan mereka perlu bekerja dengan penuh komitmen dan sepenuh hati tanpa sebarang pertikaian berkenaan kesetiaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas dasar persyarikatan Malaysia sejurus selesai berkongsi pengalaman sebagai penjawat awam dengan tajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Katanya, pandangan itu juga relevan untuk diberikan perhatian di peringkat Kerajaan Persekutuan, malahan negeri lain boleh menjadikan Selangor sebagai contoh kerana penjawat awam perlu memahami dasar kerajaan sebelum melaksanakannya.

“Yang penting, sudah pasti penjawat awam harus meyokong kerajaan hari ini yang dipilih rakyat, itu prinsipnya. Bekerja dengan kerajaan tanpa ada fahaman politik, berdasarkan Perlembagaan negara kita.

“Kalau ada isu dan masalah perlu ada dialog dan komunikasi, supaya kedua-dua pihak dapat memahami. Saya ada sedikit pengalaman sebagai pegawai kerajaan dan ahli politik, saya memahami apa yang perlu dilakukan serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Perspektif global penting bagi capai Smart State 2025

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 3 MEI: Penjawat awam dan ahli politik di negeri ini perlu mempunyai perspektif bersifat global bagi mencapai sasaran ke arah ‘Smart State’, pada 2025.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika bertugas sebagai menteri dahulu, beliau banyak memberi tumpuan berkenaan hal Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Saya banyak belajar daripada perkara yang berlaku di Vietnam, Indonesia dan Filipina. Nak jadi ‘Smart State’ kita tidak boleh jadi katak di bawah tempurung. Kena tahu apa yang berlaku di dunia, apa yang Trump buat misalnya. Kena banyak membaca.

“Satu lagi, antara negeri perlu ada semangat untuk bersaing dan jangan terleka. Jadikan negara berprestasi tinggi sebagai tanda aras dan bukan negara yang kurang daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Dialogue@Shah Alam bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, universiti di Malaysia perlu bertindak segera terhadap perkembangan pendidikan di seluruh dunia berasaskan kepintaran buatan (AI).

Mustapa berkata, universiti harus menyediakan dan mempersiapkan graduan Malaysia dengan kemahiran yang sesuai selaras perkembangan teknologi.

“Macam-macam perkara baru, universiti kita mesti mempersiapkan ke arah itu. Masa depan akan jauh berbeza daripada masa sekarang.

“Jadi kita kena kerja kuat, kena bersama antara penjawat awam dan politikus dalam membina negara Malaysia supaya dapat diwarisi kepada anak cucu kita,” katanya.

Categories
NASIONAL

Orang politik harus rendah diri dekati penjawat awam

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 3 MEI: Orang politik harus memiliki sifat kemanusiaan dan rendah diri untuk memahami kelompok penjawat awam, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, sebagai pemimpin, merekalah yang perlu terlebih dahulu mendekati penjawat awam dan bukan sebaliknya.

“Orang politik harus ada kemanusiaan dan perasaan tawaduk, maknanya kena turun bawahlah. Kata pepatah, ular menyusur ke akar takkan hilang bisanya.

“Sebagai pemimpin, kita harus turun ke bawah dekati penjawat awam. Lebih baik kita masuk dengan penjawat awam berbanding mereka yang datang kepada kita, supaya dapat memahami mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Dialogue@Shah Alam bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan harus menghormati pandangan dan pendapat rakyat berkenaan prestasi mereka hari ini.

“Jika pendapat negatif itu disebabkan penyampaian komunikasi yang lemah, maka kita perlu perbaiki komunikasi, manakala jika ia memang berpunca daripada dasar dan polisi, jadi kita kena periksa perkara itu.

“Apa pun kita perlu dengar maklum balas daripada rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pemimpin perlu terbuka dengar pandangan penjawat awam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menasihatkan pemimpin politik turun ke bawah dan bersikap terbuka mendengar pandangan penjawat awam bagi memastikan setiap polisi dicadang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sikap mesra bersama penjawat awam menerusi perhubungan secara rasmi atau tidak rasmi perlu diteruskan kerana mereka adalah aset untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.

“Perhubungan ada dua, secara rasmi atau tidak rasmi. Secara rasmi seperti hari ini, duduk, datang dan dengar. Tetapi lebih penting adalah (perhubungan) tidak rasmi. Minum kopi, pergi ke rumah dia, ziarah, tahlil dan berbuka puasa.”

“Kalau orang politik hanya menumpukan kepada perhubungan rasmi seperti mesyuarat sahaja, maka tidak berapa berkesan,” katanya.

Mengupas tajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam pada program Dialogue@Shah Alam, Mustapa berkata, komunikasi dua hala turut memberikan kesan besar terutama dalam mendapatkan maklum balas di peringkat bawahan.

Katanya, kerajaan juga perlu melabur untuk memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat dengan bentuk yang mudah difahami terutama kepada masyarakat luar bandar.

“Kalau kita mahu sumbat maklumat sahaja tanpa mahu mendapatkan maklum balas, maka ia tidak berkesan. Apabila ada orang mahu berjumpa dengan kita, kita kena lihat secara positif.

“Yang pertama, kita boleh sampaikan mesej kita dan kedua tidak kurang pentingnya kita boleh dapat maklum balas,” katanya.

Mustapa berkata, secara keseluruhan Malaysia mempunyai 1.6 juta penjawat awam, 800,000 kakitangan kerajaan berpencen dan 400,000 kakitangan swasta di peringkat GLC yang perlu diberikan perhatian.

“Kita kena bercakap dengan satu suara, bercakap sebagai Malaysia sebuah negara hebat.

“Penjawat awam dan politikus kena bekerjasama kerana kita nak bina Malaysia sebagai negara hebat, untuk anak cucu mewarisi negara kita,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tok Pa curah pengalaman kepada penjawat awam Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 APR: Datuk Seri Mustapa Mohamed akan berkongsi pengalamannya sebagai menteri kabinet dengan penjawat awam Selangor Jumaat ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, yang menyertai BERSATU pada Oktober, dijadual membentangkan ideanya pada Dialogue@Shah Alam yang julung kali diadakan.

Program ini, yang bermula 9 pagi di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Institut Kajian Dasar (IKD).

Mustapa, mesra disapa Tok Pa, akan mengupas tajuk ‘Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam’.

Program ini siri pertama dalam usaha Kerajaan Negeri menjadikan banda raya ini sebagai pusat intelektual di negara dan seterusnya dikenali di rantau ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dijadualkan merasmikan program selama tiga jam. Penyertaannya terhad kepada tetamu undangan dalam kalangan penjawat awam Selangor.

Tok Pa, Ahli Parlimen Jeli, berpengalaman selama sembilan tahun mengemudi Kementerian MITI sehingga 2018. Beliau pernah memimpin Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (2008) dan Kementerian Pengajian Tinggi (2006-2008).

Beliau telah menyertai BERSATU pada 26 Oktober 2018 merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Kelantan.

Sebelum menyertai politik, Tok Pa adalah Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Kewangan pada 1974.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pensyarah di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 1982 sebelum dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pada 1984.

Antara lain, beliau juga adalah bekas Pengarah Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) menguasai Putrajaya pada Mei tahun lalu, penjawat awam masih mempelajari pendekatan dan dasar kerajaan baharu.