Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: UKM bakal jadi pusat pembentukan, latihan negeri pintar

BANGI, 29 FEB: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih menjadi pusat pembentukan dan latihan negeri pintar (smart state), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan universiti menjadi salah satu elemen penting pembangunan Selangor.

“Nak tahu lagi berkaitan Smart State (negeri pintar), insya-Allah kita ada kerjasama dengan UKM sebenarnya dan saya baru dapat berbincang dengan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), kita telah bekerjasama dengan UKM.

“Hanya UKM yang dipilih untuk dijadikan pusat pembentukan dan latihan Smart State, akan kita rasmikan bila-bila sahaja tahun ini,” katanya pada Temu Rapat dan Makan Malam sempena Jelajah Maju Bersama Bersama Dato’ Menteri Besar di UKM, semalam.

UKM merupakan universiti pertama dipilih dalam siri Jelajah Maju Bersama tahun ini selepas Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 2019.

Amirudin berkata berbaki lima tahun menjelang sasaran menjadi negeri pintar pada 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta bagi merangka dan mempercepatkan proses pembentukan itu seperti digariskan dalam pelan induk yang disiapkan pada 2016.

Pada pertemuan sama Dato’ Menteri Besar turut menasihat pelajar supaya mengawal emosi dan berfikir secara sihat serta rasional supaya semangat untuk belajar kekal sehingga tamat pengajian.

Katanya, subsidi besar ditanggung kerajaan dalam sektor pendidikan serta pengorbanan ibu bapa yang meletakkan harapan besar perlu diganti dengan keputusan cemerlang.

Categories
BERITA UTAMA

Komuniti dan teknologi perlu terhubung untuk realisasi Smart State

PUTRAJAYA, 1 OGOS: Pembangunan teknologi yang dirangka perlu relevan kepada komuniti supaya ia dapat diadaptasi seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, gagasan ‘Smart State’ tidak memberikan makna sebenar jika rakyat di bawah tidak terhubung dengan infrastruktur teknologi selain gagal memudahkan urusan kehidupan seharian.

Menurutnya, hubungan antara manusia dan teknologi sangat penting untuk menjayakan cita-cita negeri atau bandar pintar.

“Saya pernah melawat beberapa negara dan mereka menyatakan bandar mereka adalah ‘Smart State’. Malangnya apabila bertanya kepada rakyat tempatan di bawah, mereka sendiri tidak tahu.

“Dalam saat kita pantas mengejar teknologi, cabaran kita adalah mengadaptasi kepantasan perubahan yang berlaku.

“Sebagai contoh, dalam tempoh lebih kurang 20 tahun dahulu kita menggunakan email Hotmail sebelum beralih kepada Yahoo dan sekarang semua menggunakan Gmail.

“Jika kita membiarkan teknologi ke hadapan, rakyat tidak akan dapat merasainya. Kita perlu memikirkan bagaimana teknologi dapat diseimbangkan dan mampu menyelesaikan masalah manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 di Hotel Marriot, Putrajaya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran menjadi sebuah negeri pintar dengan penubuhan beberapa komponen penting seperti Selangor Information Technology and E-Commerce (SITEC), Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Smart Sel.

Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 anjuran Pusat Pembangunan Maklumat Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan platform perkongsian idea dalam kalangan pentadbir ICT di institut pengajian tinggi ke arah amalan kampus pintar (smart kampus) untuk mendepani cabaran revolusi industri 4.0.

Bertemakan ‘Memperkasa Kampus Pintar’, antara objektif persidangan ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan kefahaman tentang urus tadbir ICT di universiri secara holistik dalam kalangan pentadbir.

Categories
NASIONAL

Perspektif global penting bagi capai Smart State 2025

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 3 MEI: Penjawat awam dan ahli politik di negeri ini perlu mempunyai perspektif bersifat global bagi mencapai sasaran ke arah ‘Smart State’, pada 2025.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika bertugas sebagai menteri dahulu, beliau banyak memberi tumpuan berkenaan hal Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Saya banyak belajar daripada perkara yang berlaku di Vietnam, Indonesia dan Filipina. Nak jadi ‘Smart State’ kita tidak boleh jadi katak di bawah tempurung. Kena tahu apa yang berlaku di dunia, apa yang Trump buat misalnya. Kena banyak membaca.

“Satu lagi, antara negeri perlu ada semangat untuk bersaing dan jangan terleka. Jadikan negara berprestasi tinggi sebagai tanda aras dan bukan negara yang kurang daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Dialogue@Shah Alam bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, universiti di Malaysia perlu bertindak segera terhadap perkembangan pendidikan di seluruh dunia berasaskan kepintaran buatan (AI).

Mustapa berkata, universiti harus menyediakan dan mempersiapkan graduan Malaysia dengan kemahiran yang sesuai selaras perkembangan teknologi.

“Macam-macam perkara baru, universiti kita mesti mempersiapkan ke arah itu. Masa depan akan jauh berbeza daripada masa sekarang.

“Jadi kita kena kerja kuat, kena bersama antara penjawat awam dan politikus dalam membina negara Malaysia supaya dapat diwarisi kepada anak cucu kita,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pusat Kecemerlangan Robotik platform realisasi ‘smart state’

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 7 DIS: Usahasama penubuhan Pusat Kecemerlangan Robotik, di Malaysia mampu menjadi platform dalam usaha Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai ‘smart state’ serantau.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerjasama itu turut memberi nilai tambah kepada ekosistem dan persediaan negara berhadapan kedatangan revolusi industri 4.0.

“Satu tugas yang berat untuk menjadi ‘smart state’ pertama di dunia berbanding ‘smart city’, namun boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Usahasama antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia (MyRAS), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Yayasan Promosi Industri Bucheon (Bipf), Korea bersama Advance Technologies Innovative Alliance (ATIA), di Bangunan Pesuruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di sini, semalam.

Katanya, Korea dipilih ekoran kepesatan pembangunan teknologi di negara itu, di samping sokongan kuat kerajaan negara berkenaan.

Beliau juga tidak menolak untuk menjalin kerjasama dengan negara maju lain termasuk negara barat, pada masa akan datang.

Majlis sama turut menyaksikan ATIA melancarkan kolaborasi melalui tiga memorandum persefahaman dengan MTDC, MyRAS dan MARii.

Dalam persefahaman itu, ATIA berperanan sebagai fasilator kepada syarikat tempatan dan Korea bagi menghasilkan platform kerjasama dan mengeratkan hubungan antara institut teknologi dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi serta robotik.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor muncul ‘smart state’ pertama di dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 7 DIS: Persiapan rapi Kerajaan Negeri yang berada di landasan tepat bakal menjadikan Selangor sebagai negeri pertama bergelar ‘smart state’, menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu dimulakan lebih tiga tahun lalu dengan menubuhkan Selangor Information Technology and e-Commerce (SITEC).

Katanya, lebih membanggakan SITEC turut menerima anugerah daripada Malaysia Digital Economy Corporation sebagai agensi kerajaan pertama diiktiraf Malaysia Digital Economy Corporation ekoran prestasi baik dalam e-dagang.

“Usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kita yakin ia boleh dilaksanakan jika semua pihak berusaha gigih.

“‘Smart State’ bukan sekadar aplikasi semata-mata tetapi satu budaya dan cara hidup masyarakat serta bagaimana kita mengkoordinasi juga mengimplementasi kepada rakyat, untuk membudayakan kehidupan di dalam negeri pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Usahasama antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia bersama beberapa persatuan dan institusi, di seluruh negara, di Bangunan Pesuruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di sini, semalam.

Antara yang terbabit adalah Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan Yayasan Promosi Industri Bucheon, Korea bersama Advance Technologies Innovative Alliance.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beberapa bandar di negara lain lebih memberi tumpuan untuk menjadikan bandar masing-masing sebagai ‘Smart City’.

 

 

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Kerjasama produktif Selangor-Casablanca jayakan pembangunan Smart State

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Selangor sedia berbincang dengan Casablanca untuk melihat kesesuaian dan keragaman wilayah yang terkenal di Maghribi itu dalam melaksanakan program ‘Smart City’.

Beliau berkata, kerjasama itu juga menjurus kepada bagaimana membina ekosistem sebuah kawasan yang dianggap sebagai ‘Smart City’ kerana ia masih baru di dunia dan banyak proses pelaksanaan serta pendekatan yang baik akan dikenal pasti.

“Kita sempat melihat perkembangan Casablanca sebagai salah satu ‘Smart City’, di peringkat dunia. Ia antara bandar yang mempunyai pelbagai bentuk kemudahan ‘Smart City’.

“Saya sempat berbincang secara asas dengan Presiden Wilayah Casablanca, Mustafa Bakkoury. Kita sedang meneliti apakah kesesuaian di Casablanca yang boleh dilaksanakan, di Selangor,” katanya.

Pada pertemuan itu, Amirudin dan Mustafa turut berbincang berhubung kolaborasi ekonomi dan teknologi antara Selangor dengan Casablanca.

“Selangor dilihat bakal mendapat manfaat daripada kerjasama produktif dengan Casablanca terutama dalam visi mencapai ‘Smart State’ menjelang 2025, sekali gus membina reputasi sebagai ‘aktor’ serantau, di Asia Tenggara,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi dan Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Konvensyen Bandar Pintar Selangor fokus 3 isu utama

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018 menyaksikan lebih 200 pempamer dalam bidang berkenaan, pada penganjuran kali ketiga itu.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, konvensyen terbabit adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIE 2018) yang merangkumi tiga tema iaitu pembuatan, revolusi runcit dan ‘startup fest’.

Katanya, persidangan itu juga akan meneroka topik ‘Traffic and Mobility’, ‘Communications and Connectivity’ dan ‘Smart Waste Management’.

“Ia menyaksikan bandar antarabangsa dan tempatan, CIOs, pemimpin akademik serta pakar industri dari United Kingdom, China, Indonesia juga Perancis.

“Selain itu, ia turut membabitkan peneyrtaan gergasi teknologi global seperti Microsoft, Huawei, Microsoft, Axiata, German Malaysia Institute (GMI) dan MaGIC.

“Antara topik yang akan dibincangkan adalah Revolusi Perindustrian 4.0, AI, Fintech dan blockchain serta pembuatan mesin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, turut diadakan meja bulat antara 150 Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, di seluruh Malaysia untuk berkongsi pendapat dalam usaha menjadikan negeri masing-masing sebagai ‘Smart State’.

Beliau berkata, Selangor juga akan berkongsi pengalaman dan pandangan sebagai negeri pertama yang melaksanakan gagasan ‘Smart State’ itu.

“Kita berharap akan dapat bekerjasama selain berkongsi pengalaman selama empat tahun melaksanakan gagasan ini dan berharap pendekatan efektif dapat dilaksanakan.

“Antara kejayaan dicapai Selangor dalam merealisasikan salah satu usaha ke arah ‘Smart State’ adalah memperkenalkan bas percuma.

“Setakat ini, kita menerima lebih 10 juta pengguna perkhidmatan itu dan kita menyasarkan 133 bas disediakan akhir tahun ini,” katanya.

Konvensyen itu akan berlangsung bermula 13 September hingga 15 September ini.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Smart State digarap, sedia hadapi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yakin usaha Kerajaan Negeri ke arah membangunkan ‘Smart State’ mampu digarap.

Baginda bertitah Kerajaan Negeri dilihat turut bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 ke arah mencapai matlamat itu.

Titahnya, usaha itu memperlihatkan penyediaan perkhidmatan pintar melalui Internet of Things, Big Data dan Artificial Intelligence.

“Memanda Dato’ Menteri Besar yang inovatif dan kreatif membangunkan Selangor sebagai negeri pintar atau ‘Smart State’ dan bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Usaha ini pastinya dapat menyediakan perkhidmatan pintar melalui Internet of Things, Big Data dan Artificial Intelligence,” titahnya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gagasan Smart Selangor adalah teras utama untuk memacu pembangunan negeri mencapai status Smart State.

Inisiatif itu tidak tertumpu kepada pembangunan semata tetapi turut menggarap nilai kerohanian, kemanusiaan, amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat.

Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) turut optimis pembangunan evolusi Smart Selangor dapat dijayakan untuk tempoh 2025.

MBI akan melihat keseluruhan industri dan gelombang baru yang mampu mewujudkan sebuah ekosistem baru di negeri itu.

 

Categories
SELANGOR

Selangor – Pulau Pinang meterai MOU laksana bandar pintar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang memeterai memorandum persefahaman hubungan kerjasama pembangunan inisiatif bandar pintar membabitkan kedua-dua negeri itu.

Perjanjian ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sarul Bahiyah Abu di Setia City Convention Centre (SCCC), petang ini.

Permeteraian disaksikan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurut perjanjian itu, Jawatankuasa Bandar Pintar terdiri daripada wakil kedua-dua negeri ditubuhkan bagi merealisasikan perancangan dan pelaksanaan usaha bagi aktiviti yang dilaksanakan di bawah perjanjian persefahaman itu.

IMG_6873Memorandum persefahaman turut ditandatangani sebagai inisiatif secara bersama untuk melaksanakan pembangunan Bandar Pintar yang mula dilaksanakan di Selangor sejak 2014.

Di Selangor, pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara positif menerusi pembangunan Selangor Cyber Valley yang mendukung kepada pelaksanaan gagasan Smart State.

Terdahulu, Selangor mendahului negeri lain dengan mendukung agenda pembangunan negeri pintar, Smart Selangor meliputi beberapa komponen antaranya internet of things, bandar hijau, jaringan pengangkutan dan pelaksanaan dasar bermanfaat buat seluruh masyarakat.

Categories
SELANGOR

Tingkat ilmu realisasi Smart State – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 JULAI: Hasrat Kerajaaan Negeri merealisasikan gagasan ‘Smart Selangor’ perlu didukung dengan amalan pembacaan dalam kalangan rakyat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata elemen diterapkan dalam pembikinan gagasan Smart State mencakupi aspek pemahaman ilmu pengetahuan dan amalan membaca.

“Gagasan Smart Selangor yang kita imbau perlu didukung dengan usaha menyemarakkan ilmu, membudayakan amalan membaca dan pencerahan.

“Kerajaan Negeri melihat kegiatan ini secara holistik dan tidak hanya terbatas kepada pengeluaran bersifat fizikal,” katanya ketika berucap pada program perasmian Pesta Buku 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan gagasan Smart Selangor terhadap penumpuan bidang pemahaman ilmu mampu mengangkat identiti masyarakat Selangor yang lebih berdaya saing.

PPASKejayaan itu sekali gus mengukuhkan peranan gagasan itu untuk menjadikan Selangor sebagai Smart State mecakupi bidang keilmuan dan pembangunan pendidikan.

Sebelum ini, Mohamed Azmin konsisten memastikan Selangor terus berada di landasan terbaik menerusi pelaksanaan Smart Selangor berteraskan modal insan berilmu dan berkemahiran.

Beliau berkata, tumpuan gagasan itu bukan menjurus kepada aspek pengukuhan ekonomi negeri sahaja, namun penekanan terhadap isu keilmuan dan pengetahuan tetap menjadi fokus utama.

“Industri pembacaan perlu menyahut cabaran ini dengan meningkatkan dan meluaskan cakupan penerbitan di Selangor.

“Justeru, untuk memastikan komitmen ini dilaksanakan, PPAS bertangungjawab di bawah projek keilmuan termasuk prospek penterjemahan dan pembacaan,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Kerjasama penjawat awam dan swasta realisasi gagasan Smart State

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MEI : Kerjasama daripada penjawat awam dan pihak swasta diperlukan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata komponen gerak kerja perlu dibangunkan secara konsisten untuk melahirkan kakitangan kompeten dan berdaya maju.

mb - majlis inovasi kerajaan negeri selangor 2“Kerajaan Negeri menggalakkan warga kerja supaya lebih ‘tech savvy’ dengan menggunakan ‘smart applications’ dalam melaksanakan tugas mereka selain memperbaiki pengurusan kerja dan terus komited membudayakan kerja.

“Perkara ini amat kritikal kerana gagasan Smart Selangor memerlukan anjakan paradigma dalam membentuk kerangan ‘internet of things’ dalam memberikan perkhidmatan sofistikated kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini, 27 April lalu.

Beliau diminta mengulas inisiatif penjawat awam dan swasta untuk memacu kepada pertumbuhan pembangunan Smart Selangor yang peduli.

Mohd Amin berkata, golongan sekerja khususnya penjawam awam perlu memainkan peranan secara proatif dan responsif dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita perlulah terus komited dalam membudayakan penyampaian perkhidmatan awam profesional, berintergriti tinggi dan bekerja dalam satu pasukan kuat bagi memastikan aspirasi Smart Selangor berjaya direalisasikan,” katanya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata strategi menerajui gagasan Smart Selangor tertumpu kepada aspek pembangunan dinamik, dan organik melalui lima strategi.

Antaranya, penjanaan sumber pendapatan secara strategik, mempertingkat pembangunan berkualiti dan inisiatif peduli, pengukuhan kualiti pendidikan,latihan serta membangun kapasiti wanita, penjawat awam, generasi Y dan ekonomi kreatif.

EZY