Categories
NASIONAL

SPRM perlu segera bertindak atasi politik wang dalam Umno

SPRM Siasat Umno

SHAH ALAM 18 OKT : Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu proaktif dan berani tanpa terperangkap di bawah kongkongan Umno dalam menyiasat dakwaan berlakunya politik wang membabitkan tiga penyandang jawatan Naib Presiden parti berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata beliau menyambut baik gesaan Transparency International Malaysia (TI-M) yang menggesa SPRM campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan amalan politik wang yang berlaku dalam Umno.

Katanya, SPRM tidak boleh menganggap masalah politik wang itu sebagai masalah dalaman yang berlaku dalam Umno sahaja kerana kesannya akan memudaratkan masa hadapan negara jika tidak dibendung dalam kadar segera.

Sebelum ini, Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar, berkata pihaknya menerima maklum balas terdapat jumlah wang diguna dan diedarkan pada program ‘khas’ yang dianjurkan bagi tiga Naib Presiden yang turut memegang jawatan kabinet kerajaan.

Tiga individu itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mereka bakal dicabar Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Shamsul berkata, masalah politik wang juga boleh membawa negara ke arah kepimpinan yang dipertikaikan kredibiliti mereka dalam memacu pembangunan dan kemajuan untuk jangka masa panjang.

Katanya, pembaziran dan keborosan wang negara berjumlah RM30 bilion yang dilaporkan dalam Laporan Audit 2012 adalah natijah daripada amalan sistem politik wang yang berlaku dalam Umno dan masalah itu harus dihentikan segera.