Categories
NASIONAL

PR kenal pasti punca kenaikan harga gula

tony-pua

KUALA LUMPUR 29 OKT : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa harga gula melonjak naik disebabkan tindakan kerajaan pusat menandatangani perjanjian beli gula mentah dengan harga terlalu tinggi dan bukan kerana penghapusan subsidi.

Tony mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Penggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga US25 setiap 100lbs, pada Januari 2012.

Katanya, ekoran perjanjian itu rakyat terpaksa menikmati gula yang lebih mahal dan mendakwa mengkritik kerajaan ketika perjanjian itu dimeterai ekoran pembelian gula mentah dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran iaitu US23.42.

“Harga gula ketika ini US18.91 setiap 100lbs yang membolehkan kerajaan tidak perlu menanggung sebarang subsidi dan harga gula menjadi lebih murah daripada RM2.84 sekilogram yang ditetapkan.

“Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai helah sebagai alasan untuk menghapuskan baki subsidi RM521 juta setahun. Alasannya, dengan mengaitkan kematian mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak akibat diabeties, termasuk nasihat dengan mengurangkan gula dapat meningkatkan libido, tetapi rakyat yang terpaksa membayar mahal,” katanya di Parlimen, di sini, hari ini.

Tony berkata, perbezaan harga kontrak melebihi 10 peratus daripada harga pasaran menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun.

“Ketika itu, saya sudah memberi amaran kepada kerajaan bahawa semua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan harga gula akan menurun akibat ‘excessive supply’. Tetapi, tidak dihiraukan dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir menjawab harga gula mentah dunia diramal terus meningkat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan membeli gula dengan 55.7 peratus lebih mahal daripada harga pasaran, bulan ini kerana harga gula antarabangsa menjunam sehingga serendah US16.70 setiap 100lbs, pada September 2013.

“Walaupun harga gula mentah meningkat sedikit bulan ini pada kadar US18.91, namun ia masih jauh lebih murah daripada harga yang diimport kerajaan. Kerajaan terlebih bayar RM194 juta atau pengimportan 2.37 bilion paun gula mentah setiap tahun dan perlu bertanggungjawab kerana membuat keputusan tidak wajar serta menyusahkan rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR yakin pengurangan 10 peratus belanja boleh dicapai – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 22102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pakatan Rakyat (PR) yakin hasrat menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 10 peratus dan defisit 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh dicapai walaupun diragui pelbagai pihak.

2. Pindaan peruntukan kerahsiaan dalam Seksyen 203A Kanun Keseksaan bakal menyaksikan rakyat tidak lagi berpeluang memperoleh akses maklumat kepada penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) jika diluluskan.

3. PAS Selangor berkeyakinan tinggi untuk menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

4. Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Categories
SELANGOR

Kekalahan Mukhriz bukti ahli Umno tolak Tun Dr Mahathir

mukhriz umnoSHAH ALAM 22 OKT : Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata kegagalan Mukhriz memenangi jawatan di peringkat tertinggi Umno itu memberi isyarat bahawa wujud di kalangan ahli parti tidak senang dengan pengaruh bapanya.

Katanya, kredibiliti Mukhriz masih diragui ahli Umno kerana beliau tidak merasai ujian seperti yang dihadapi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah cuba diusir Mahathir ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Kita lihat majoriti ahli Umno menolak Mukhriz dan secara tidak langsung menolak Tun Mahathir. Hal ini memperlihatkan pengaruh Tun Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan ahli walaupun jasa beliau cukup besar untuk Umno.

“Mukhriz masih belum teruji dengan sebarang bentuk situasi dan membuktikan beliau masih diragui oleh ahli Umno. Selain itu, kita nampak kekuatan Tun Mahathir sebelum ini tidak lagi mampu memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih anaknya memegang jawatan di peringkat tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Pada pemilihan tertinggi Umno baru-baru ini, ahli Umno sebulat suara mengekalkan penyandang  jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara itu, Fariz berpandangan pertembungan ‘battle of proxy’ di antara dua pemimpin muda Umno itu akan berterusan untuk tempoh yang panjang kerana sudah pasti Mukhriz tidak mahu ketinggalan bersaing dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Katanya, pertembungan antara dua pemimpin muda itu akan menyebabkan perpecahan yang berlaku dalam Umno menjadi semakin besar dan parah.

“Pertembungan ini akan terus berlaku dan akan menjadi bibit perpecahan di dalam Umno. Tidak ada tokoh hebat yang mampu membawa parti itu ke arah yang lebih baik daripada senarai pimpinan yang dipilih dalam keseluruhan pemilihan Umno kali ini,” katanya lagi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

SPRM perlu segera bertindak atasi politik wang dalam Umno

SPRM Siasat Umno

SHAH ALAM 18 OKT : Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu proaktif dan berani tanpa terperangkap di bawah kongkongan Umno dalam menyiasat dakwaan berlakunya politik wang membabitkan tiga penyandang jawatan Naib Presiden parti berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata beliau menyambut baik gesaan Transparency International Malaysia (TI-M) yang menggesa SPRM campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan amalan politik wang yang berlaku dalam Umno.

Katanya, SPRM tidak boleh menganggap masalah politik wang itu sebagai masalah dalaman yang berlaku dalam Umno sahaja kerana kesannya akan memudaratkan masa hadapan negara jika tidak dibendung dalam kadar segera.

Sebelum ini, Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar, berkata pihaknya menerima maklum balas terdapat jumlah wang diguna dan diedarkan pada program ‘khas’ yang dianjurkan bagi tiga Naib Presiden yang turut memegang jawatan kabinet kerajaan.

Tiga individu itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mereka bakal dicabar Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Shamsul berkata, masalah politik wang juga boleh membawa negara ke arah kepimpinan yang dipertikaikan kredibiliti mereka dalam memacu pembangunan dan kemajuan untuk jangka masa panjang.

Katanya, pembaziran dan keborosan wang negara berjumlah RM30 bilion yang dilaporkan dalam Laporan Audit 2012 adalah natijah daripada amalan sistem politik wang yang berlaku dalam Umno dan masalah itu harus dihentikan segera.

Categories
NASIONAL

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir

SHAH ALAM, 17 OKT: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013.

Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau.

Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam.

“Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib,” ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil.

“Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara.

“Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu.

Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno,” ujar Mohamad lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mukhriz digesa teladani keadilan, kebijaksanaan PR Selangor, Pulau Pinang

Mukhriz-pp

SHAH ALAM 13 OKT : Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir digesa belajar daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pulau Pinang memberikan bantuan kebajikan kepada semua dengan ikhlas serta tidak berunsur politik.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata laporan media melaporkan Kerajaan Kedah tidak melayan sebarang permintaan bantuan daripada sekolah jenis aliran Cina sebaliknya hanya menumpukan keutamaan sekolah kebangsaan sahaja.

“Kenyataan sedemikian oleh seorang Menteri Besar, pemimpin tertinggi negeri, bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan bersifat dendam, tetapi seolah-olah tidak belajar dari sejarah,” katanya.

Zairil berkata, Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor menerima elaun tambahan RM8,620 sebulan termasuk penggunaan kereta rasmi kerajaan.

Sementara, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan peruntukan RM40,000 setahun diberikan kepada Adun pembangkang BN bagi projek infrastruktur.

“Langkah Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang ini bukan sahaja menghormati demokrasi dan pilihan rakyat, tetapi juga selari dengan hasrat persepaduan nasional,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Categories
NASIONAL

Dakwa enggan amal nepotisme, Mukhriz patut nasihati bapanya dulu

nepotisme

SHAH ALAM 15 OGOS: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir patut menasihati bapanya terlebih dulu sebelum membuat kenyataan untuk tidak memberi projek kepada ahli keluarga.

Seumpama ‘cakap tidak serupa bikin’, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata kenyataan Mukhriz itu meragukan kerana bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pengamal nepotisme yang ekstrem.

“Sebaik-baiknya Mukhriz menasihati dahulu bapanya yang sebelum ini pernah mengatakan dirinya bersih dan amanah tetapi ‘kotor’ dan kronisme,” katanya kepada TV Selangor.

Semalam, Mukhriz membuat kenyataan kononnya tidak mahu memberi sebarang projek kepada ahli keluarga bagi mengelakkan konflik kepentingan tetapi mahu meminta ‘nasihat’ mereka.

Pada 1997, Mahathir cuba menyelamatkan syarikat anak-anaknya melalui ?bail-out? menggunakan dana Petronas ketika negara berdepan dengan kegawatan ekonomi hingga membawa kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Johari bagaimanapun, menyambut baik kenyataan itu yang disifatkan sebagai petanda baik jika dilaksanakan kerana bapa Mukhriz gagal melakukan perkara sama.

“Lihat saja bapanya, cakap mengenai ketuanan Melayu, bersih dan amanah tetapi hakikatnya beliau mengamalkan nepotisme yang ekstrem.

“Bukan sahaja mengaut keuntungan harta kekayaan rakyat untuk diberi kepada kroni tetapi juga memberi projek besar kepada anak-anaknya dan syarikat milik keluarga,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Beliau berkata, Mukhriz harus terlebih dahulu mengamal tender terbuka dengan mendahulukan anak-anak Kedah, sebelum sebelum membuat kenyataan ‘tidak memberi projek kepada keluarga’.

-FZL

Categories
NASIONAL

Pelaburan Di Kedah: Mukhriz Perlu Rujuk Laporan Mida

Mahfuz

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Mukhriz Mahathir dinasihati agar merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) berikutan dakwaan beliau yang memperkecilkan kemampuan Pakatan Rakyat(PR).

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menambah, selain Pulau Pinang dan Selangor, Kedah yang diterajui oleh PAS turut mencatatkan nilai pelaburan yang memberangsangkan.

Menurut Mahfuz yang memetik laporan yang dikeluarkan MIDA, bagi tempoh 2008 hingga 2012 Kedah berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM15.89 bilion.

Dalam tempoh sama Kerajaan Kedah juga berjaya mewujudkan sebanyak 22,440 peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.

“Negeri yang mecatat pelaburan terendah adalah Perlis yang ditadbir oleh BN, Kedah tak pernah lagi,” ujar Mahfuz lagi.

Sebaliknya Mahfuz menggesa Mukhriz mengakui dua negeri penyumbang tertinggi pelaburan di negara ini merupakan negeri yang ditadbir oleh PR.

“Datuk Mukhriz sepatutnya kena akui dua negeri yang menyumbang pelaburan tertinggi adalah negeri PR iaitu Pulau Pinang dan Selangor,” kata Mahfuz dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat hari ini.

Terdahulu, Mukhriz dalam satu kenyataannya kepada media memberitahu, beberapa pelabur bersedia untuk melabur di negara ini sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke -13 nanti.

Kenyataan beliau tersebut memberikan persepsi negatif kepada kemampuan pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat pusat dan negeri membawa masuk pelabur ke negara atau negeri masing-masing.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu tidak disertakan dengan sebarang bukti dan senarai syarikat yang dimaksudkan.