Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SDEC 2021 tampil Siti Nurhaliza, fokus pulih ekonomi digital

SHAH ALAM, 5 NOV: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan membuat penampilan istimewa pada Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 yang dijangka berlangsung 19 hingga 21 November ini.

Siti Nurhaliza yang juga usahawan akan menampilkan produk jenamanya iaitu SimplySiti, kongsi penganjur konvensyen, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Facebooknya.

Agensi itu berkata konvensyen digital terbesar yang memasuki edisi keenam penganjuran itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bertemakan Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi.

“SDEC 2021 adalah acara tahunan di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang mengumpul pemain industri, ahli akademik, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan individu dari pelbagai sektor.

“Mereka akan berkongsi dan mempamerkan kepelbagaian pendigitalan untuk ekonomi digital dan masa hadapan,” katanya di sini, semalam.

Mereka yang ingin membeli tiket berharga RM79 untuk tiga hari ke konvensyen berkenaan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/sdec2021.

Layari www.sidec.com.my/sdec2021 untuk maklumat lanjut.

Categories
SELANGOR

Siti nafi calon PRK Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 FEB: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menafikan desas desus bahawa beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menerusi laman Facebooknya, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Siti berkata, dirinya tiada kaitan dengan PRK berkenaan.

Malah, katanya, beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa atau Datuk K hanya berbasikal bersama kawan-kawannya di kawasan Empangan Semenyih.

“30km ????‍♀️????‍♀️????‍♂️????‍♂️ Dam Semenyih, Sg Tekala ..#BukanDunSemenyih #sayabukancalonbertanding ???? #sayacumakayuhje,” tulisnya.

Pada masa sama, Siti turut berkongsi gambar mereka di Facebooknya itu.

Baru-baru ini, plantun yang popular dengan lagu baharunya, Anta Permana dikaitkan dengan PRK berkenaan.

Penamaan calon PRK Semenyih akan diadakan pada 16 Februari ini manakala hari mengundi pada 2 Mac depan.

Kerusi DUN Semenyih kosong apabila Ahli Dewan Negerinya, Bakhtiar Mohd Noor meninggal dunia akibat sakit jantung.