Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

726 projek pelaburan RM36.7 bilion dirancang – Mida

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan sebanyak 726 projek dengan cadangan pelaburan sejumlah RM36.7 bilion dalam perancangan untuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama sehingga Jun 2020.

Walaupun jumlahnya menggalakkan, ia mengingatkan bahawa 2020 akan menjadi tahun yang mencabar kepada semua negara, termasuk Malaysia, katanya dalam kenyataan untuk mengumumkan data pelaburan suku pertama pada tahun ini.

Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM37.4 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama tahun ini, iaitu RM26.3 bilion atau 70.4 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI) manakala baki adalah sumber asing.

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengunjurkan aliran FDI global akan merosot sehingga 40 peratus pada 2020, daripada nilai pada 2019 sebanyak US$1.54 trilion (RM6.6 trilion).

Tahun lepas, Malaysia menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM207.9 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, naik 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan diluluskan pada 2019 sebanyak RM118.1 bilion, diikuti sektor pembuatan (RM82.7 bilion) dan sektor utama (RM7.0 bilion).

Agensi pelaburan itu memberi jaminan bahawa usaha penggalakan pelaburan akan diteruskan berikutan 20 pejabatnya di luar negara dan 12 pejabat serantaunya akan terus menarik pelaburan yang berkualiti dari kawasan liputan mereka walaupun ekonomi merosot berikutan COVID-19.

Mida, yang merupakan agensi utama kerajaan untuk mempromosikan sektor pembuatan dan perkhidmatan, mempunyai pejabat di luar negara meliputi Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Memandangkan program promosi tidak dapat dijalankan secara fizikal berikutan Covid-19, Mida memulakan beberapa pendekatan untuk berbincang dengan pelabur yang berpotensi sejak Mac 2020.

“Ini termasuk perbincangan dengan pelabur sedia ada dan baharu dengan kerjasama pengupaya ekosistem pelaburan kami seperti institusi kewangan dan dewan perniagaan,” katanya kepada Bernama melalui e-mel awal bulan ini.

MIDA juga terus mengadakan pertemuan perniagaan dalam talian dengan pelabur sedia ada dan baharu untuk memudahkan projek pelaburan mereka di Malaysia, selaras dengan dasar kerajaan untuk menarik pelaburan dengan nilai tambah tinggi ke negara ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor Dahului Semua Negeri Dalam Nilai Pelaburan

SHAH ALAM 19 NOV : Selangor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia dengan nilai RM 6.08 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah tersebut melibatkan pelaburan domestik sebanyak RM 4.59 bilion dan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM 1.49 bilion.

Pelaburan tersebut telah menawarkan 13,197 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Selangor yang merangkumi jenis pekerja mahir, separa dan kurang mahir serta golongan profesional.

Jumlah tersebut diberikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah pelaburan dianggarkan meningkat sebanyak RM 7.7 juta setakat September lalu.

Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan berjaya masuk ke Selangor.

Abdul Khalid menambah sepanjang tahun 2008 hingga 2011, Selangor menduduki kedudukan pertama dan kedua bersama-sama Pulau Pinang daripada segi jumlah pelaburan masuk ke dalam negeri dengan nilai purata sekitar RM 38 bilion sepanjang empat tahun.

Nilai pelaburan masuk ke negeri Selangor adalah sebanyak RM11.87 bilion (2008), RM6.76 bilion (2009), RM10.64 bilion (2010), dan RM8.74 bilion (2011).

Manakala nilai pelaburan domestik (DDI) sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 adalah sebanyak RM2.87 bilion (2008), RM2.75 bilion (2009), RM5.49 bilion (2010) dan RM4.5 bilion (2011).

Bagi pelaburan asing (FDI) pula, sepanjang tahun 2008 hingga 2011 mencatatkan angka pelaburan sebanyak RM9.0 bilion (2008), RM4.01 bilion (2009), RM5.15 bilion (2010), dan RM4.24 bilion (2011).

“Jumlah projek yang telah dan berjaya dilaksanakan di negeri Selangor sepanjang tempoh 4 tahun tersebut adalah sebanyak 302 projek (2008), 278 Projek (2009), 325 projek (2010) dan 263 projek (2011).

“Peluang pekerjaan yang berjaya disediakan hasil pelaburan masuk ke negeri Selangor sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 30,890 orang (2008), 22,753 orang (2009), 27,865 orang (2010) dan 20,750 orang (2011),” katanya dalam ucapan pembentangan belanjawan 2013 di DUN, hari ini.