Categories
NASIONAL

Pemuda Pas turun ke himpunan PROTES Kenaikan Harga Minyak

SHAH ALAM, 6 OKT: Himpunan aman membantah kenaikan harga bahan bakar di pintu hadapan Parlimen Malaysia 8 Oktober depan bakal menyaksikan pertembungan keluhan rakyat dan agenda pemerintah merasionalisasi subsidi.

Ketua Pemuda PAS Malaysia (PPM), Suhaizan Kaiat berikrar untuk menurunkan kekuatan sayap pemuda Parti Islam Se-Malaysia itu ke himpunan anjuran PROTES Kenaikan Harga Minyak nanti.

“Saya sendiri bersama pimpinan Exco PPM akan turun bersama bagi menyatakan sokongan terhadap PROTES. Saya juga ingin mengajak seluruh anak muda supaya dapat hadir bersama-sama dalam himpunan ini.

Tunjukkan kemarahan dan protes kita terhadap kenaikan harga petrol dan diesel kerana anak muda sudah tidak tertahan dengan bebanan hidup yang meningkat ini,” tegas Suhaizan dalam satu kenyataan yang diterima pihak kami sebentar tadi.

Berkuat kuasa 2 Oktober lepas subsidi petrol dan diesel dikurangkan 20 sen seperti yang diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Sehubungan itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Ramai pihak termasuk Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat langkah rasionalisasi kali ini akan memberi kesan riak bukan sahaja kepada harga barangan jualan, tetapi juga kos pengangkutan dan sara hidup bulanan.

Apa yang menyedihkan, ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol di negara ini, harga minyak petrol di Eropah jatuh merudum di kebanyakan negara. Apakah alasan kerajaan untuk menaikkan sewenang-wenangnya harga petrol sedangkan ianya jatuh dan menurun di negara lain,” soal Suhaizan.

HM

Categories
NASIONAL

Hampir 1,000 berhimpun di Masjid Negara bantah kebiadaban Kassim Ahmad

KUALA LUMPUR 21 FEB: Hampir 1,000 umat Islam hari ini berhimpun di perkarangan Masjid Negara sejurus solat Jumaat bagi membantah kebiadaban pelopor antihadis Kassim Ahmad.

Rata-rata mereka membawa plakad antaranya bertulis “Ambil tindakan segera”, “Kassim Ahmad taubat” dan “Pertahan Islam”.

Mereka mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap Kassim yang secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan akidah Islam.

Kassim dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad lalu dilaporkan mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata rambut bukan aurat wanita.

demo kassim1Seminar ‘Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian’ itu turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad ketika berucap menyelar tindakan Dr Mahathir yang menyokong pandangan Kassim Ahmad dan menyifatkannya sebagai memalukan negara apatah lagi beliau ialah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

“Kita desak supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan beliau sebagai Yang Dipertua Perkim,” kata beliau dipetik Harakah Daily.

mahathir kassimKetua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan membisu pihak berkuasa terhadap Kassim Ahmad dan pada masa sama dipertahan pula oleh Mahathir, telah memberi gambaran salah kepada dunia.

“Seolah-olah kita memberi gambaran bahawa Malaysia, sebuah negara umat Islam, perdana menterinya Islam, menteri-menteri besar beragama Islam, bersekongkol dan membenarkan ajaran sesat ini diamalkan,” kata beliau.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mendesak Yayasan Kepimpinan Perdana selaku penganjur seminar pemikiran Kassim Ahmad, untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Beliau juga menyeru semua umat Islam menggunakan semua medium yang ada termasuk laman sosial untuk menyatakan bantahan terhadap pemikiran sesat tersebut.

EZY

Lebih 10,000 rakyat berhimpun bantah kenaikan harga di Ambang 2014

Sinopsis 10,000 Rakyat keluar berarak ke Dataran Merdeka bagi membantah kenaikan kos kehidupan yang mendadak. Protes ini dianjurkan oleh NGO TURUN.