Categories
NASIONAL

Himpunan bantah potong subsidi bahan bakar berlangsung aman

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kira-kira 300 orang berhimpun dalam satu tunjuk perasaan aman di hadapan bangunan Parlimen bagi membantah pengurangan subsidi bahan bakar dan menghentikan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (3)

Biarpun berlaku kekecohan kecil pada peringkat awal demonstrasi, keadaan tetap terkawal dengan semua peserta dan pihak berkuasa menjaga kelakuan dan mematuhi peraturan.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (11)

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat bersama tujuh wakil jawatankuasa dari Gabungan Bantah Cukai GST (Bantah) dan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) berjaya menyerahkan memorandum kepada Pegawai Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Mohd Zain Zainal dan Pegawai Khas Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan, Omar Daud.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (17)

“Kami telah menyatakan kekesalan kita terhadap kenaikan harga minyak 20 sen dan dalam tempoh setahun berjumlah 40 sen yang mana ia membebankan rakyat,” kata Suhaizan dalam sidang media selepas itu.

Mohd Najib Abdul Rahim dari Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyatakan pihaknya menyokong demonstrasi itu sepenuhnya kerana apabila harga minyak dinaikkan dan GST dilaksanakan, golongan pelajar akan turut terkesan.

“Orang-orang di luar yang suka memperlekehkan kami yang mengatakan mahasiswa tidak membayar cukai kerana tidak bekerja. Hentikan perkara mengarut itu. Kami juga akan terkesan bila harga barangan meningkat apabila kos pengangkutan meningkat,” katanya.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (13)

Antara tuntutan disenaraikan jawatankuasa penganjur Bantah dan protes kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah membatalkan pengurangan subsidi minyak, menghentikan rancangan melaksanakan cukai GST, mengadakan referendum pelaksanaan GST, serta menuntut Ahli Parlimen membawa usul tergempar berkaitan ke Parlimen.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula menjelaskan barisan ahli Parlimen PR akan membangkitkan keluhan rakyat itu di dalam sidang Dewan Rakyat.

“Segala saranan yang termuat di dalamnya akan kami bawa ke Parlimen sama ada dalam perbahasan bajet atau di sepanjang perbahasan dijalankan.

“InsyaAllah saya berjanji bagi pihak Ahli Parlimen PR kami sentiasa menjiwai semangat yang dibawa oleh anda semua,” katanya.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (23)

HM

Categories
NASIONAL

Pemuda Pas turun ke himpunan PROTES Kenaikan Harga Minyak

SHAH ALAM, 6 OKT: Himpunan aman membantah kenaikan harga bahan bakar di pintu hadapan Parlimen Malaysia 8 Oktober depan bakal menyaksikan pertembungan keluhan rakyat dan agenda pemerintah merasionalisasi subsidi.

Ketua Pemuda PAS Malaysia (PPM), Suhaizan Kaiat berikrar untuk menurunkan kekuatan sayap pemuda Parti Islam Se-Malaysia itu ke himpunan anjuran PROTES Kenaikan Harga Minyak nanti.

“Saya sendiri bersama pimpinan Exco PPM akan turun bersama bagi menyatakan sokongan terhadap PROTES. Saya juga ingin mengajak seluruh anak muda supaya dapat hadir bersama-sama dalam himpunan ini.

Tunjukkan kemarahan dan protes kita terhadap kenaikan harga petrol dan diesel kerana anak muda sudah tidak tertahan dengan bebanan hidup yang meningkat ini,” tegas Suhaizan dalam satu kenyataan yang diterima pihak kami sebentar tadi.

Berkuat kuasa 2 Oktober lepas subsidi petrol dan diesel dikurangkan 20 sen seperti yang diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Sehubungan itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Ramai pihak termasuk Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat langkah rasionalisasi kali ini akan memberi kesan riak bukan sahaja kepada harga barangan jualan, tetapi juga kos pengangkutan dan sara hidup bulanan.

Apa yang menyedihkan, ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol di negara ini, harga minyak petrol di Eropah jatuh merudum di kebanyakan negara. Apakah alasan kerajaan untuk menaikkan sewenang-wenangnya harga petrol sedangkan ianya jatuh dan menurun di negara lain,” soal Suhaizan.

HM