Categories
SELANGOR

Ahli MBPJ Cadang Fail Saman KSN

PETALING JAYA, 31 OKT : Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memfailkan saman terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa kerana mengeluarkan arahan pertukaran Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman secara mengejut baru-baru ini.

Menurut ahli majlis MBPJ, Derek Fernandez, walaupun arahan pertukaran sera-merta yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah tidak sah, namun ia menimbulkan tanggapan buruk terhadap Mohamad Roslan.

Beliau berkata, arahan itu juga bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membelakangi Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan.

“Datuk Bandar diberi arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam melalui surat daripada JPA bertarikh 27 September lepas tanpa mengemukakan sebarang sebab dan alasan. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau (Mohamad Roslan) membuat satu kesilapan besar atau tidak membuat kerja,” katanya dalam satu Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat MBPJ di sini.

Sehubungan itu, katanya Ahli Majlis akan merujuk kepada Unit Perundangan MBPJ bagi mendapatkan khidmat guaman profesional untuk memfailkan saman tersebut.

“Kita akan pergi ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara ini. Segala prosedur kita serahkan kepada pihak peguam,” katanya lagi.

Mohamad Roslan sebelum ini menerima arahan pertukaran daripada JPA sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan mengekalkan Mohamad Roslan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.