Categories
SELANGOR

Ibu Tunggal, Warga Emas Terharu Terima Bantuan

KUALA SELANGOR 16 OGOS : Sambutan lebaran tahun ini dirasakan lebih bermakna buat 200 individu terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) apabila mereka diberi sumbangan barang keperluan harian sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sumbangan diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Harmoni, Kampung Bukit Badong, di sini semalam.

Seorang ibu tunggal, Zarina Zamani, 44, berkata tiada apa yang lebih menggembirakan buat dirinya serta empat orang anaknya yang masih bersekolah apabila dipilih untuk menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri.

Beliau yang berpisah bersama suaminya lebih sepuluh tahun lalu mengatakan tidak pernah menerima sebarang bantuan sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Aidilfitri. Saya benar-benar gembira,? katanya.

Bagi seorang warga emas, Azizah Ehsan, 70, beliau berterima kasih kepada Menteri Besar atas sumbangan itu yang serba sedikit akan meringankan bebannya lebih-lebih lagi dalam menyambut kedatangan Aidilfitri.

Beliau yang juga merupakan seorang balu berasa terharu apabila tidak perlu menunggu lama untuk menerima bantuan tersebut.

“Saya sangat gembira kerana tidak perlu lagi bersusah payah untuk membeli keperluan raya. Kerajaan Negeri benar-benar prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Penyerahan bantuan yang merupakan ehsan daripada Kerajaan Negeri itu diserahkan kepada penduduk dari kawasan Bukit Badong, Ijok dan Desa Coalfield.